Categories
BUDAYA RENCANA

Cerita pendek tentang mikroskop

Oleh Hamizun Syah

 

LOKASI: Tidak perlu menjelaskan tentang lokasi, tidak perlu — meski tidak menyatakannya sekalipun;  sudah tentu ada lokasinya, ya;  sesuatu mesti berlokasi — tanpanya mustahil tercetus sebarang situasi.

Karier: Ada menyebutnya pekerjaan atau profesion — ah; tidak perlu mencatat apa-apa karier, setiap manusia tentu punya karier meski taraf berbeza-beza; menimbulkan jarak pada pergaulan dan pemikiran bagi menentukan tinggi-rendah tahap individu tertentu. Seorang yang berjalan mundar-mandir tanpa arah tuju sambil merungut dan merayu malah merintih dan ketawa tanpa sebab, tanpa sesiapa di sisi dan sesekali menendang perut angin di jalanan juga individu yang punya karier walaupun tidak dipedulikan atau terkadang menggerunkan manusia yang waras.

Komponen: Bukan mustahak bagi menentukan hak seseorang serasi atau sebaliknya dengan peralatan di genggaman – semua itu alat semata-mata untuk memudahkan segala maksud tercapai; juga boleh bertukar-tukar mengikut kapasiti buat seseorang yang berbagai-bagai karier dan formula, tertakluk kepada pendidikan dan pengalaman yang mendewasakan seseorang.

“Sekurang-kurangnya kau jelaskan keadaan lokasi, kaedah dipraktikkan dan komponen tersedia. Itu sudah memadai.”

Baiklah.

Jika itu yang disuarakan. Cuba bayangkan bilik agak luas dipenuhi meja-meja kaca lebar 150 sentimeter dan panjang 200 sentimeter – namun kerap kali terasa perlu menambahkan lagi lebar dan panjang meja yang padat dengan segala macam bentuk kaca jernih dan longgokan buku tidak sama tebal. Bayangkan begitu.

Elok juga gambarkan karier seseorang yang mengenakan seragam berjubah putih hingga hinggap ke buku lali, berseluar panjang dan berbaju-T serba putih di dalamnya, berkasut getah putih, kain putih menutup bulu di kepala, sentiasa ada penutup hidung dan mulut, tidak ketinggalan sarung tangan getah putih – namun petugas di situ terlalu sedikit bilangannya, kurang daripada jari-jari sepasang tangan manusia normal. Gambaran untuk karier dimaksudkan.

Molek sekali jika mengaitkan komponen tersusun bongkah berpaip daripada logam yang merupakan selinder berkanta terdiri daripada dua dan satu  teropong di samping kepingan kaca jernih lagi nipis, malah tidak ketinggalan beberapa jenis piring kaca yang berfungsi untuk menempatkan apa saja jenis mikroorganisma yang tidak mampu dikenal pasti pandangan mata manusia. Kaitkan komponennya sebegitu.

“Mungkin lokasi tersebut adalah makmal. Kariernya mungkin saintis dan komponen utama adalah mikroskop.” Suara itu separuh meneka. “Eh! Bukan mungkin lagi. Malah memang lokasinya sebuah makmal menganalisis mikroorganisma yang wujud di persekitaran kehidupan manusia. Ya! Memang sahih itu jawabnya.”

Barangkali tekaan itu tepat atau mungkin sedikit tersasar. Kali ini cuba kumpulkan seluruh bentuk bayangan lokasi, gambaran karier dan kaitan tentang komponen tadi — dan secara cermat bayangkan saiz bilik semakin sempit dan cuma terdapat meja bersaiz segi empat sama iaitu satu meter lebar juga satu meter panjang — seterusnya singkirkan seorang demi seorang berpakaian seragam serba putih yang ada di situ. Biarkan seorang saja yang tinggal. Jadikan bilik sempit hanya ada seorang petugas sebelum memadamkan satu persatu komponen tersedia hingga berbaki tiga mikroskop berbeza keupayaan dan bentuk – tumpu pada seluruh bayangan, gambaran dan kaitan tadi – kumpulkan semua menjadi  satu imaginasi sebuah cerita pendek yang  tergarap sekarang ini.

Seorang saja petugas di situ bersama tiga mikroskop. Dia berjambang dan susuk tubuhnya agak rendah tetapi tegap. Diperhatikan sungguh-sungguh ke raut wajahnya dalam lingkungan usia melebihi separuh abad tetapi belum sampai tujuh dekad. Agak tua namun roman wajahnya menampakkan di sebalik ketuaannya dia cukup berpengalaman dalam bidang kerja.

“Sejak bila lagikah lelaki  itu terkurung di bilik berkaca yang sempit dengan sebuah meja tidak berkerusi dan tiga mikroskop berbagai-bagai keupayaan? Eh! Apa pula yang memanjang di tepi pintu bilik itu?”

Ketara di sini ada dua pertanyaan yang tersembur dalam satu percakapan.

Jawab yang pertama:

Lelaki itu pernah bersama mereka yang lain di ruang luas sana. Menyelidik tentang kewujudan mikroorganisma melalui mikroskop. Penemuan biasa seperti bakteria salmonella, bakteria bacillus, fungi mukor, fungi penicillium, protozoa amoeba dan segala jenis virus, alga malah apa saja yang bersifat mikroorganisma. Ini penemuan lazim yang membawa kepada kajian apakah lagi penyakit yang mampu merebak melalui aktiviti seni makhluk-makhluk tadi atau apakah terdapat manfaat di sebalik reaksi makhluk halus yang dapat membantu kehidupan manusia? Analisis.

Kurang lebih suku dekad lampau lelaki itu berhasil memelihara sejenis kista. Kista dibekukan pada suhu sesuai agar tidak pecah. (Ya! Protozoa adalah mikroorganisma yang membentuk kista ketika persekitarannya terganggu sehingga ia kembali selamat; dinding kista akan pecah sekali gus protozoa hidup dengan normal semula). Kista yang dipelihara lelaki itu berbaur dengan sejenis herba hingga protozoa di dalamnya mati sebelum dinding kista pecah dan terhasil penawar wabak keracunan makanan akibat bakteria salmonella.

Kajian cuba diketengahkan ke kementerian. Malangnya, kajian itu tidak mendapat perhatian. Terpendam dan tersenyap begitu saja — namun beberapa tahun kemudian timbul berita mengejutkan bidang perubatan bukan hanya di negara ini malah seluruh dunia. Nama seorang saintis muda yang merupakan anak menteri kesihatan mendapat pujian dan diakui genius pada peringkat antarabangsa kerana berhasil menemukan kista yang dapat mengubati penyakit keracunan makanan akibat bakteria salmonella.

Peristiwa ini menyebabkan lelaki yang berpegang teguh dengan kepercayaan agamanya meski jarang mendirikan solat sunat namun tidak pernah terlepas solat lima waktu – tiba-tiba menjadi pemarah. Meski belum pernah berpuasa sunat Isnin-Khamis namun penuh puasanya pada Ramadan – tiba-tiba menyerang unit kementerian kesihatan, menumbuk muka saintis muda tadi dan memberitahu secara terbuka penemuannya telah diciplak. Malang sekali tidak ada bukti kukuh. Kesannya, dia diletakkan di bilik kaca yang sempit hingga ke hari ini.

Jawab kedua:

Sebuah katil memanjang tersedia di tepi pintu bilik. Lelaki itu menyiapkan mikroskop ciptaan terbarunya.  Mikroskop yang lebih potensi daripada mikroskop optik, mikroskop majmuk atau mikroskop binokular. Mikroskop ciptaan terbaru terhasil daripada penemuan kanta cerlung – kanta yang mampu memandang lebih tajam ke arah sesuatu yang diteropong. Kanta cerlung itu melekat pada salur paip tembaga yang terpasang di siling bilik dan tergantung menghala ke katil.

Di katil, lelaki itu terlentang serentak menghidupkan mikroskop cerlung rekaannya yang belum diketahui umum untuk melihat sendiri apakah lagi makhluk lebih seni dalam hatinya. Sebenarnya dia telah menemui makhluk yang selalu merebak mengikut aliran darah dan cuba memasuki hatinya sekali gus selalu memujuk jiwa dan akal supaya meninggalkan kepercayaan yang berteraskan keyakinan padu. Makhluk itu selalu membisikkan pertanyaan mengapa perlu dia bersolat lima waktu, berpuasa dan bersandar terhadap ketentuan yang ditetapkan. Makhluk itu bukan saja memujuk malah kerap mendesak agar dia meninggalkan terus kepercayaan yang lebih memerangkap diri, jiwa dan fikirnya serba keliru.

Melalui mikroskop cerlung – dia mengenal pasti makhluk seni itu adalah musuh nyata terhadap jiwa bersandarkan keyakinan padu tiada sangsi. Sejak itu, dia memohon kekuatan agar tidak mudah teransang pada hasutan musuh. Untuk lelaki itu, kekuatan begitu anugerah paling bernilai buat fakir sepertinya. Dia tidak pernah keliru pada kepercayaannya.

“Apakah lelaki itu hilang kewarasan selepas terkurung sekian lama?”

Tidak! Lelaki itu menemui kewarasan tulen sebalik mikroskop cerlung rekaannya yang belum diumumkan kepada sesiapa, memadai buat diri sendiri yang pasti kembali ke tempat asal bila tiba tempoh. Jangan ada apa-apa pertanyaan lagi — cerita pendek tentang mikroskop sudah pun tamat.

Titik.