Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Malaysia kongsi rasa sedih korban gempa bumi kuat di Turki

KUALA LUMPUR 25 JAN: Malaysia berkongsi kesedihan dengan rakyat Turki yang dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat pada awal pagi hari ini sehingga mengorbankan nyawa, termasuk ramai yang cedera, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia sedia menawarkan bantuan kepada negara itu jika diperlukan.

“Rakyat Malaysia bersama dengan rakyat Turki dalam tempoh sukar ini dan bersedia menawarkan bantuan disebabkan malapetaka ini.

“Doa saya bersama dengan mereka yang cedera dan keluarga mereka yang kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 6.8 skala Richter itu berlaku di Timur Turki pada 1.55 pagi tadi (waktu Malaysia).

Gempa berpusat di bandar kecil Sivrice di wilayah timur Elazig itu sekurang-kurangnya mengorbankan 18 mangsa dan lebih 500 cedera serta menyebabkan runtuhan bangunan dan mencetuskan keadaan panik penduduk.