Categories
EKSKLUSIF NASIONAL

AmBank benar tangguh bayaran berikutan koronavirus

KUALA LUMPUR, 11 FEB: AmBank Group menawarkan penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat wabak koronavirus 2019.

AmBank dalam satu kenyataan berkata pelanggan terjejas boleh menghubungi pihak bank, yang kemudiannya menilai dan mempertimbangkan membuat penangguhan sementara atau penstrukturan semula ansuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata sebagai bank yang prihatin, AmBank bersimpati terhadap nasib pelanggannya, khususnya individu dan PKS terjejas.

“AmBank komited untuk membantu mereka dalam saat-saat yang menguji ini,” kata beliau.

Sementara itu, bahagian insurans dan takaful kumpulan, AmMetLife dan AmMetLife Takaful memperkenalkan bantuan kewangan yang mampu menyokong pemilik polisi.

Kedua-dua syarikat menawarkan liputan ke atas kemasukan ke hospital disebabkan oleh koronavirus 2019 melalui beberapa hospital kerajaan ditetapkan Kementerian Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi 03-2178 8888 atau menghantar e-mel kepada bank pada [email protected] atau kunjungi cawangan berhampiran.

-BERNAMA