KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Polis tidak menolak kemungkinan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya ketika ini adalah kerana beberapa sektor baharu dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata peningkatan aliran trafik dianggar antara 12 hingga 15 peratus di kawasan bandar-bandar besar di negara ini pada waktu puncak.
“(Dijangka) Akan berlaku peningkatan pada waktu puncak iaitu pukul 7.00 hingga 9.30 pagi serta pukul 5.00 hingga 7.00 petang. Selain itu, polis percaya peningkatan jumlah kenderaan ini juga adalah kerana ada yang keluar rumah untuk berurusan di bank serta menambah stok harian,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, beliau berkata masih ada kalangan orang ramai yang ingkar dengan PKP dan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya telah diarah membuat pemeriksaan yang teliti terhadap pengguna jalan raya.
“Pemeriksaan yang teliti akan dibuat (kepada pengguna jalan raya) walaupun ia akan memakan masa dan menyebabkan aliran trafik bergerak perlahan. Walaupun begitu, ramai yang menunjukkan surat serta dokumen daripada majikan untuk membolehkan mereka berurusan dalam tempoh PKP ini,” katanya kepada Bernama.
Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan keadaan sesak di beberapa kawasan tular di laman sosial sejak semalam.
-BERNAMA