SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua saluran e-dagang Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) yang diperkenal Kerajaan Negeri sempena kedatangan Ramadan tidak bercanggah dengan arahan Kerajaan Pusat, kata Dato’ Menteri Besar
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua saluran melalui pelaksanaan e-bazar Ramadan Selangor sama dengan amalan perniagaan e-panggilan yang dibenarkan menteri kanan (kluster keselamatan).
“Kita ambil keputusan ini kerana melihat peniagaan e-panggilan dibenarkan untuk penghantaran makanan daripada restoran serta (premis) makanan segera di seluruh Malaysia termasuk Selangor.
“Justeru, pelaksanaan e-bazar akan menggunakan konsep itu. Cumanya, kita gabungkan peniaga-peniaga di satu tempat dengan kawalan agar tidak menjadi tumpuan penyebaran Covid-19.
“Jadi, saya kira kita tidak melanggar kerana kita mengambil kira pandangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa operasi e-panggilan masih dibenarkan,” katanya dalam wawancara dalam talian dengan TV Al-Hijrah malam ini.
Pada 8 April lalu, Selangor mengumumkan inisiatif tempahan dalam talian menggantikan bazar Ramadan secara fizikal.
Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat yang diseliakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan kerjasama Hijrah Selangor.
Namun, Kerajaan Pusat pada 16 April lalu tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu mahupun tempah dan ambil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
Dalam wawancara berkenaan, Amirudin turut menerangkan kaedah dan syarat operasi e-bazar.
– Maksimum empat peniaga untuk satu restoran
– Antara 10 hingga 15 peniaga untuk satu dewan
– Tempahan dibuat hingga jam 1 tengah hari. Penghantaran sejam kemudian.
Sebanyak 77 pusat pengumpulan dikenal pasti meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran bakal menyediakan juadah berbuka puasa.
Penghantaran dibuat syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.