Categories
EXCO SELANGOR

Hampir 400 peserta Seldec sertai e-bazar sempena Ramadan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Hampir 400 peserta Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) menyertai program e-bazar di bawah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) pada Ramadan ini.

EXCO pembangunan usahawan berkata pendaftaran masih dibuka kepada orang ramai terutama golongan belia bagi menyertai program anjuran Kerajaan Negeri.

“Usaha ini bagi membantu penghantar makanan menjana pendapatan di samping memudahkan peniaga menjual barangan mereka agar sampai kepada pelanggan.

“Selain menawarkan perkhidmatan penghantaran bahan mentah, Seldec turut membimbing peniaga kecil khususnya ke arah pendigitalan yang mana pembelian dilakukan menerusi dalam talian,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan memperkenalkan Pengarah Eksekutif Hijrah baharu di Kelab Shah Alam di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan Seldec, Mohd Fauzan Elham berkata pihaknya menawarkan insentif RM200 kepada penghantar makanan yang berkhidmat sehingga hari terakhir Ramadan.

Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih ramai penghantar barangan yang menggunakan kereta serta motosikal bernaung di bawah syarikat itu.

Mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi http://dapur.seldec.com.my/join/rider/.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sepuluh lokasi dewan e-bazar Ramadan Selangor dikenal pasti

SHAH ALAM, 23 APRIL: Sebanyak 10 lokasi dewan di negeri ini dikenal pasti bagi pelaksanaan e-bazar Ramadan Selangor bermula esok, kata EXCO usahawan.

Rodziah Ismail berkata lokasi dewan termasuk di Ampang, Bangi Semenyih, Klang dan Petaling Jaya.

Berikut adalah lokasi dewan:

  • Dewan Dato’ Ahmad Razali Kampung Melayu Ampang
  • Dewan Komuniti Seksyen 7 Bandar Baru Bangi
  • Dewan Komuniti Bandar Rinching, Semenyih
  • Dewan Orang Ramai Taman Dahlia, Salak Tinggi
  • Dewan Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail Damansara
  • Dewan Teluk Pulai Klang
  • Dewan PJS 1/35 Utama, Seksyen 1, Petaling Jaya
  • Dewan Serbaguna MPSJ Puchong Batu 14
  • Dewan Serbaguna Sri Serdang, Seri Kembangan
  • Dewan MPSJ Batu 3, Subang Jaya

Katanya, sebanyak 151 peniaga dan penjaja memohon untuk menyertai e-bazar Ramadan setakat semalam.

Kerajaan Negeri menetapkan kaedah dan syarat operasi e-bazar iaitu maksimum empat peniaga untuk satu restoran, 10 hingga 15 peniaga untuk satu dewan dan tempahan sehingga jam satu tengah hari.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dua saluran e-dagang khas sempena Ramadan iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: e-bazar Ramadan tidak bercanggah arahan Kerajaan Pusat

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua saluran e-dagang Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) yang diperkenal Kerajaan Negeri sempena kedatangan Ramadan tidak bercanggah dengan arahan Kerajaan Pusat, kata Dato’ Menteri Besar

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua saluran melalui pelaksanaan e-bazar Ramadan Selangor sama dengan amalan perniagaan e-panggilan yang dibenarkan menteri kanan (kluster keselamatan).

“Kita ambil keputusan ini kerana melihat peniagaan e-panggilan dibenarkan untuk penghantaran makanan daripada restoran serta (premis) makanan segera di seluruh Malaysia termasuk Selangor.

“Justeru, pelaksanaan e-bazar akan menggunakan konsep itu. Cumanya, kita gabungkan peniaga-peniaga di satu tempat dengan kawalan agar tidak menjadi tumpuan penyebaran Covid-19.

“Jadi, saya kira kita tidak melanggar kerana kita mengambil kira pandangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa operasi e-panggilan masih dibenarkan,” katanya dalam wawancara dalam talian dengan TV Al-Hijrah malam ini.

Pada 8 April lalu, Selangor mengumumkan inisiatif tempahan dalam talian menggantikan bazar Ramadan secara fizikal.

Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat yang diseliakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan kerjasama Hijrah Selangor.

Namun, Kerajaan Pusat pada 16 April lalu tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu mahupun tempah dan ambil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam wawancara berkenaan, Amirudin turut menerangkan kaedah dan syarat operasi e-bazar.

– Maksimum empat peniaga untuk satu restoran

– Antara 10 hingga 15 peniaga untuk satu dewan

– Tempahan dibuat hingga jam 1 tengah hari. Penghantaran sejam kemudian.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dikenal pasti meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran bakal menyediakan juadah berbuka puasa.

Penghantaran dibuat syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor perkenal dua platform e-bazar Ramadan, patuhi SOP KKM

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerajaan Negeri memperkenalkan dua saluran e-dagang khas sempena Ramadan iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) susulan pembatalan bazar tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 77 pusat pengumpulan dikenal pasti meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 67 restoran yang akan menyediakan juadah Ramadan di seluruh negeri.

“Kesemua pusat ini akan mematuhi penjarakan sosial dan amalan kebersihan yang ketat sementara peniaga dipastikan mendapat suntikan pelalian typhoid seperti yang digariskan dalam tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan PBT.

“Kerajaan Negeri ingin menegaskan konsep e-dapur ini hanya berfungsi sebagai pusat pengumpulan sahaja. Tiada aktiviti memasak dan pembelian secara terus tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin berkata juadah tersebut akan dihantar oleh syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pada 8 April lalu, Selangor mengumumkan inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan secara fizikal dengan kerjasama Grab.

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Selangor teruskan e-bazar, patuhi jarak sosial

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pelaksanaan e-bazar di negeri ini akan diteruskan dengan memastikan penjarakan sosial dipatuhi, kata Dato’ Menteri Besar.

“Kalau (sekarang) kita benarkan kedai makan dan restoran beroperasi, kenapa e-bazar tidak boleh sedangkan kita guna kaedah yang sama? Kita akan teruskan. Hanya penghantaran dibenarkan untuk kekalkan penjarakan sosial,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media di kediaman rasminya di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah berbincang dengan beberapa syarikat e-panggilan untuk memberi ruang yang adil selain menetapkan limitasi penghantaran makanan.

Amirudin berkata kaedah pendaftaran untuk peniaga e-bazar juga akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Terengganu juga wujudkan sistem e-bazar, cuma Selangor menggunakan khidmat syarikat sedia ada.

“Setakat ini 15 dapur berpusat untuk melancarkan e-bazar sudah dikenal pasti, namun dijangkakan terdapat penambahan lokasi,” katanya.

Pada 8 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan secara fizikal dengan kerjasama Grab.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

MB: Kaedah jual-beli e-bazar Ramadan jamin kualiti juadah

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengumumkan kaedah jual-beli sistem e-bazar selewat-lewatnya minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mekanisme  itu bergantung kepada aspek logistik termasuk mengambil kira pusat penempatan barang atau makanan dan cara penghantaran.

“Sekarang cara penghantaran sudah ada misalnya Grab, FoodPanda dan Bungkusit, tetapi bagaimana kita mahu sediakan satu dapur berpusat (central kitchen) supaya kualiti makanan terjamin seterusnya dapat diagih kepada orang ramai.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan koordinasi dengan peniaga dan kemungkinan sebahagian kecil akan dapat tempat berdasarkan kelayakan,” katanya ketika diwawancara Timbalan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin melalui siaran langsung di Facebook Pemuda Amanah Nasional malam ini.

Amirudin berkata pendekatan itu dilakukan bagi membela lebih 16,000 peniaga dan penjaja yang terkesan susulan pembatalan bazar Ramadan di negeri itu tahun ini.

“Kebiasaannya, ketika Ramadan sebahagian keluarga mengambil kesempatan berniaga makanan, pakaian dan persiapan hari raya bagi menambah pendapatan, jadi keputusan membatalkan bazar Ramadan memberi kesan,” katanya.

Beliau juga menegaskan cadangan pelaksanaan e-bazar itu tidak bertentangan arahan terbaru Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkaitan larangan penggunaan syarikat pengendali e-panggilan.

“Konteks e-panggilan adalah penghantaran makanan. Jadi pada waktu ini, restoran-restoran masih boleh beroperasi dan menghantar makanan. Tidak ada bezanya dengan bazar-bazar tersebut,” katanya.

Pada 8 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan  inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan secara fizikal dengan bekerjasama dengan syarikat penghantaran e-panggilan, Grab Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Guna e-bazar di bulan Ramadan, elak berhimpun

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan orang ramai supaya menggunakan khidmar e-Bazar Ramadan bagi membeli makanan ketika bulan puasa, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu bagi mengelak rakyat dari berhimpun sekaligus membantutkan usaha mengawal penularan wabak Covid-19.

“Masalah dia bukan bazar ramadan tapi perhimpunan. Isu dia adalah pelanggan. Pelanggan datang tak terkawal, ini isu dia.

“Kelaziman kita sudah berubah, kita banyak guna e-food, Grabfood dan sebagainya. Ada peningkatan sebanyak 70 peratus penggunaan perkhidmatan ini. Jadi e-bazar mungkin dapat memenuhi kriteria KKM bagi memastikan tidak ada perhimpunan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Pada 9 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan e-Bazar Ramadan Selangor GRAB.

Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor bakal umum sistem e-bazar dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 8 APRIL: Dato’ Menteri Besar akan mengumumkan pelaksanaan sistem e-bazar dengan kerjasama syarikat tertentu dalam masa terdekat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan dengan syarikat pengendali e-panggilan sudah dibuat bagi memudahkan pelaksanaan itu susulan pembatalan bazar secara fizikal berikutan penularan Covid-19.

“Kita sedang perhalusi perkara ini termasuk kemahiran ekonomi serta beberapa peraturan termasuk tukang masak dan ini akan diuruskan pihak berkuasa tempatan.

“Ikut rekod tahun lepas 15,600 penjaja terbabit dengan bazar Ramadan dan bazar Raya. Sekiranya e-bazar tidak dilaksanakan, ia memberi kesan besar,” katanya ketika temu ramah bersama Bernama Radio melalui panggilan video hari ini.

Jelas Amirudin lagi, sistem e-bazar akan dibuat secara sistematik dan jitu bagi mengelakkan masalah timbul serta semua pihak puas hati walaupun melibatkan harga.

“Kita tak mahu ada orang ambil kesempatan. Makanan tak sedap, tak berkualiti dan sampai lewat hingga lepas tarawih.

“E-bazar di Selangor mungkin akan menggunakan perkhidmatan Foodpanda, GrabFood dan Bungkusit bagi mudahkan urusan,” katanya.

Pada 1 April lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri tahun ini susulan wabak Covid-19.