Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lemah minggu depan susulan permintaan rendah yang terus menjejaskan harga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata India yang juga pembeli terbesar komoditi itu di dunia sedang menjalani sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sehingga 14 April ini yang pasti memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

“Berikutan itu kami menjangkakan harga sekitar RM2,200 hingga RM2,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Ng berkata keputusan kerajaan Sabah untuk membenarkan operasi kilang dan kilang penapis sawit di enam daerah — Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak and Kalabakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak memberi impak terhadap minat belian.

“Bagaimana pun, ini akan meningkatkan pengeluaran apabila operasi disambung semula,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, dagangan pasaran kebanyakannya lebih tinggi selaras dengan sentimen positif dalam pasaran ekuiti Asia, kelemahan ringgit dan kebimbangan bekalan yang meningkatkan minat belian terhadap sawit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2020 dan Mei 2020 meningkat RM69 masing-masing kepada RM2,389 satu tan dan RM2,365 satu tan, Jun 2020 menokok RM67 kepada RM2,312 satu tan manakala Julai 2020 meningkat RM66 kepada RM2,285 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 257,369 lot daripada 310,509 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka berkurangan kepada 243,081 kontrak daripada 264,378 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi April Selatan pada paras RM2,380 satu tan.

-BERNAMA