Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dijangka cecah 4.165-4.185 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Ringgit dijangka didagangkan pada paras 4.165 hingga 4.185 pada minggu depan, didorong oleh faktor luaran termasuk hala tuju dolar Amerika Syarikat (AS) serta harga minyak, kata penganalisis.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata dolar AS itu tidak dijangkakan mencatat peningkatan ketara apabila pedagang mengurangkan dedahan mereka terhadap mata wang negara maju itu.

“Saya menjangkakan ringgit akan mengalami fasa konsolidasi minggu depan ketika pedagang lebih tertarik kepada usaha-usaha memulihkan ekonomi di peringkat domestik dan serantau.

“Paras 4.17 kekal menjadi paras sokongan kukuh dan saya berpendapat ringgit diniagakan sekitar 4.165 hingga 4.185 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Ringgit didagangkan tinggi pada awal minggu ini, malah mencecah paras tertinggi dalam tempoh lima bulan pada Rabu apabila dolar AS terus kehilangan arah dan susut di tengah-tengah kadar faedah terendah.

Namun, ringgit susut berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan aktiviti pengambilan untung.

Rizab Persekutuan AS mengumumkan minit-minit mesyuarat yang berlangsung pada Julai lepas yang menekankan keperluan sokongan ekonomi berterusan pada akhir bulan itu ketika pandemik Covid-19 terus menular dan menyebabkan jutaan pekerja terperuk di rumah selain mengancam pertumbuhan ekonomi negara maju itu.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS itu akan mengadakan mesyuarat berikutnya pada 15 dan 16 September ini.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, ringgit diniagakan mengukuh berbanding dolar AS pada 4.1780/1800 daripada 4.1910/1950 pada minggu sebelumnya.

Ringgit sebaliknya mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ia susut berbanding yen kepada 3.9561/9583 daripada 3.9260/9308 pada minggu lepas dan tinggi berbanding euro pada 4.9355/9383 daripada 4.9416/9472.

Unit tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0528/0553 daripada 3.0518/0554 dan renda berbanding pound Britain kepada 5.5012/5046 daripada 5.4785/4854 sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan getah diunjur dalam jajaran kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, kata Pertubuhan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya, Denis Low berkata permintaan dijangka meningkat secara perlahan ketika lebih banyak industri di serata dunia menyambung operasi atas dasar keperluan di tengah-tengah usaha membendung pandemik Covid-19 pada masa ini.

“Produktiviti getah terus mencatat kemajuan yang baik selepas hujan lebat pada minggu sebelumnya,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah didagangkan kebanyakannya rendah susulan perkembangan pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah di tengah-tengah penyusutan harga minyak.

Pada asas Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) SMR20 bagi gred tayar SMR 20 meningkat 5.5 sen kepada 542.50 sen sekilogram manakala lateks pukal tidak berubah pada 470 sen sekilogram.

Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM untuk SMR 20 turun setengah sen kepada 539.50 sen sekilogram dan lateks pukal turun dua sen kepada 468 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat dagangan kecil minggu depan berikutan kekurangan pemangkin untuk memacu permintaan di tengah-tengah penularan Covid-19 yang terus ketara di peringkat global.

Presiden Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Dennis Low berkata minat terhadap SMR 20 yang terhad dicatatkan pada minggu lepas dan dijangka berterusan sehingga minggu ini dengan kecenderungan kenaikan harga yang kecil berbanding paras penutup RM489.00 sekilogram (kg) pada minggu lepas.

“Bagi susu getah pukal, harganya dijangkakan kekal pada paras semasa berikutan penawaran dan permintaannya yang kekal stabil,” katanya kepada Bernama.

Low berkata pengguna utama getah itu merupakan kalangan pengeluar sarung tangan getah yang terus membeli pada kadar yang stabil.

Pada minggu lepas, harga susu getah pukal ditutup pada RM485.00 sekilogram dan kekal pada paras hampir sama minggu ini, katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan hampir bercampur-campur berikutan penyusutan pasaran hadapan getah serantau serta turut dipengaruhi oleh penurunan harga minyak dan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

Selain itu, bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 naik 8.5 sen kepada 489 sen sekilogram manakala susu getah pukal berkurangan setengah sen kepada 485.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 11.5 sen kepada 494 sen sekilogram manakala susu getah pukal susut tiga sen kepada 486 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan operasi dua pasaran utama – China dan Jepun ditutup selama hampir seminggu bersempena cuti umum.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata harga getah akan turut dijejaskan oleh unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan di serata dunia.

“Harga SMR 20 dan lateks pukal sepatutnya meningkat berikutan stok simpanan petani serta pihak pemproses yang tidak banyak.

“Jumlah simpanan lebih rendah daripada jangkaan itu kebanyakannya disebabkan oleh tekanan harga rendah sejak berminggu-minggu lamanya yang tidak menggalakkan penoreh untuk kembali melakukan kegiatan itu,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau serta data pembuatan China.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 16.5 sen kepada 461.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 8.5 sen kepada 410.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 susut 14 sen kepada 461 sen sekilogram dan lateks pukal turun enam sen kepada 411 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lemah minggu depan susulan permintaan rendah yang terus menjejaskan harga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata India yang juga pembeli terbesar komoditi itu di dunia sedang menjalani sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sehingga 14 April ini yang pasti memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

“Berikutan itu kami menjangkakan harga sekitar RM2,200 hingga RM2,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Ng berkata keputusan kerajaan Sabah untuk membenarkan operasi kilang dan kilang penapis sawit di enam daerah — Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak and Kalabakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak memberi impak terhadap minat belian.

“Bagaimana pun, ini akan meningkatkan pengeluaran apabila operasi disambung semula,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, dagangan pasaran kebanyakannya lebih tinggi selaras dengan sentimen positif dalam pasaran ekuiti Asia, kelemahan ringgit dan kebimbangan bekalan yang meningkatkan minat belian terhadap sawit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2020 dan Mei 2020 meningkat RM69 masing-masing kepada RM2,389 satu tan dan RM2,365 satu tan, Jun 2020 menokok RM67 kepada RM2,312 satu tan manakala Julai 2020 meningkat RM66 kepada RM2,285 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 257,369 lot daripada 310,509 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka berkurangan kepada 243,081 kontrak daripada 264,378 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi April Selatan pada paras RM2,380 satu tan.

-BERNAMA