Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka hadapi pemulihan teknikal

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan pemulihan teknikal pada minggu depan selepas mengalami kerugian berbanding minggu sebelumnya.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata pasaran minggu depan juga berkemungkinan akan disokong oleh angka eksport yang lebih baik termasuk kenaikan dalam harga minyak mentah.

“Pasaran MSM tempatan dijangka diniagakan berdasarkan asas bulan Mac 2021 sepenuhnya dan data penanaman Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Peniaga Minyak Sawit, David Ng mengunjurkan harga MSM untuk didagangkan dalam jajaran kecil pada aliran kenaikan pada minggu depan berikutan dorongan sentimen eksport yang lebih baik.

Data daripada syarikat pemeriksaan bebas, AmSpec Agri Malaysia yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan eksport produk minyak sawit Malaysia bagi 25 hari pertama Mac 2021 mencecah 1,017,730 tan, naik 10.4 peratus berbanding 921,929 tan yang dihantar semasa 1 hingga 25 Feb, 2021.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih rendah, menjejaki prestasi harga minyak kacang soya yang lebih lemah dan prospek pengeluaran yang lebih tinggi pada minggu-minggu akan datang.

Secara mingguan, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2021 meningkat RM12 kepada RM4,025 satu tan, Mei 2021 menokok RM9 kepada RM3,864 satu tan, Jun 2021 merosot RM32 kepada RM3,692 satu tan dan Julai 2021 menurun RM50 kepada RM3,536 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 327,332 lot daripada 376,496 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 268,778 kontrak daripada 256,905 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi April Selatan kekal tidak berubah pada RM4,050 satu tan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan menurun minggu depan dan menjangka eksport rendah.

Peniaga berkata minyak sawit terjejas oleh pergerakan harga minyak saingan berikutan ia bersaing untuk bahagian dalam pasaran minyak sayuran global.

“Semalam, pasaran turut diniagakan rendah sebagai tindak balas kepada kadar eksport yang lemah sejak beberapa minggu ini. Kami mengesan paras sokongan akan datang pada RM2,600 satu tan dan paras halangan pada RM2,750 satu tan,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengakhiri minggu ini dengan mencatatkan rendah berikutan eksport lemah, prestasi rendah di Bursa Komoditi Dalian dan prospek pengeluaran yang tidak menentu.

“Walaupun untuk tempoh 1-20 Ogos, Persatuan Pengilang-Pengilang Kelapa Sawit Semenanjung Selatan mengunjurkan pengeluaran tidak berubah berbanding 1-20 Julai, pasaran tidak akan mengurangkan penurunan.

“MSM mengakhiri minggu ini tidak berubah dari Isnin.

“Minggu depan, pasaran dijangka meningkat semula berikutan peningkatan pengeluaran yang perlahan,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan tinggi kecuali pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada harga minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago, Bursa Komoditi Dalian, pergerakan ringgit berbanding dolar US dan jangkaan angka eksport yang rendah.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM untuk September 2020 meningkat RM41 kepada RM2,798 satu tan, Oktober 2020 dan Disember 2020, masing-masing menambah RM35 kepada RM2,721 satu tan dan RM2,655 satu tan, manakala November 2020 naik RM34 kepada RM2,681 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 211,993 lot daripada 294,006 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 237,675 kontrak daripada 241,736 kontrak pada minggu lepas.

Di pasaran fizikal, September Selatan susut RM30 kepada RM2,810 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga minyak sawit mentah diunjur RM2,600-RM2,750 satu tan

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat antara RM2,600 dan RM2,750 satu tan minggu depan, kata seorang peniaga.

Pedagang minyak sawit David Ng berkata pasaran diunjurkan kekal lengang ekoran kekurangan petunjuk baharu.

“Tidak banyak pemangkin asas minggu depan yang boleh mendorong harga untuk meningkat tinggi tetapi pasaran akan memberi perhatian kepada angka eksport yang akan dikeluarkan oleh juruukur kargo pada Isnin,” kata beliau kepada Bernama.

Untuk minggu baharu berakhir, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan kebanyakannya rendah berikutan prospek pengeluaran yang lebih tinggi untuk minggu-minggu mendatang dan aliran menurun niaga hadapan Lembaga Dagangan Chicago (CBOT) serta Bursa Komoditi Dalian.

Berdasarkan kepada perbandingan Jumaat-Khamis, kontrak niaga hadapan MSM untuk Ogos 2020 merosot RM82 kepada RM2,803 satu tan, September 2020 menyusut RM67 kepada RM2,757 satu tan, Oktober 2020 lega RM72 kepada RM2,686 satu tan dan November 2020 turun RM69 kepada RM2,647 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 294,006 lot daripada minggu sebelumnya iaitu sebanyak 221,137 lot manakala kepentingan terbuka menokok kepada 241,736 kontrak daripada 221,137 kontrak minggu terdahulu.

Di pasaran fizikal, Selatan Ogos turun RM70 kepada RM2,720 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Niaga hadapan minyak sawit mentah diniaga dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan antara paras RM2,650 dan RM2,750 setan metrik, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran dijangka kekal lengang berikutan kekurangan petunjuk baharu serta harga niaga hadapan MSM yang lebih tinggi yang boleh menjejaskan permintaan.

“Sentimen dalam pasaran juga menerima kesan daripada ketegangan perdagangan yang berpanjangan antara Amerika Syarikat (AS)-China dan peningkatan jangkitan kes baharu Covid-19 di seluruh dunia, yang menyebabkan para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan bercampur-campur berikutan pengambilan untung besar-besaran dan aliran menurun niaga hadapan minyak kacang soya di Bursa Komoditi Dalian.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, kontrak niaga hadapan MSM bagi Ogos 2020 turun RM110 kepada RM2,780 setan metrik, September 2020 berkurangan RM129 kepada RM2,725 setan metrik, Oktober 2020 susut RM101 kepada RM2,677 setan metrik dan November 2020 jatuh RM73 kepada RM2,640 setan metrik.

Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Hari Raya Hari Raya Aidiladha.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 221,137 lot daripada 311,950 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 221,137 kontrak daripada 259,670 kontrak.

Di pasaran fizikal, Selatan Ogos berkurangan RM100 kepada RM2,780 setan metrik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan minyak sawit mentah dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Dagangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka meningkat pada minggu depan, dipacu oleh kenaikan data eksport, pengukuhan prestasi Bursa Komoditi Dalian, harga minyak mentah serta pasaran ekuiti.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata permintaan daripada pembeli utama seperti India dan China diunjur meningkat berikutan tindakan Malaysia menurunkan duti eksport MSM kepada sifar bagi bulan ini.

“India dan China telah meningkatkan pembelian minyak sawit masing-masing yang berkemungkinan besar mengurangkan lagi jumlah stok simpanan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Dr Sathia Varqa berkata kontrak hadapan MSM meningkat secara ketara di akhir dagangan pada Jumaat berikutan spekulasi pasaran bahawa eksport Malaysia bagi tempoh 1-20 Jun ini meningkat sebanyak 55-57 peratus berbanding tempoh sama pada Mei lepas.

“Berikutan itu, eksport Malaysia bagi Jun dijangkakan mencatat pertumbuhan bagi bulan keempat.

“Kontrak hadapan September 2020 yang juga penanda aras ditutup pada paras RM2,475 satu tan iaitu tertinggi dalam tempoh empat bulan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimana pun, peningkatan data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia dan Persatuan Persatuan Pengilang-Pengilang Sawit Selatan Semenanjung serta kebimbangan mengenai penularan semula Covid-19 mungkin mempengaruhi harga komoditi itu.

Selain itu, penggiat pasaran juga akan turut memantau acara dalam talian Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) – ‘Pointers on Price Trends’ pada 22-28 Jun ini bagi mendapatkan unjuran harga dan pengeluaran.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran kebanyakannya meningkat berikutan aktiviti ekonomi global yang kini dibuka kembali.

Bagi perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak hadapan MSM untuk Julai 2020 naik RM24 kepada RM2,454 satu tan manakala Ogos 2020 dan September 2020 masing-masing menokok RM29 kepada RM2,400 satu tan dan RM2,367 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 256,328 lot daripada 245,808 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka susut kepada 227,871 kontrak daripada 252.401 kontrak.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan yang merupakan bulan kontrak baharu mencecah RM2,530 satu tan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Niaga hadapan minyak sawit mentah dijangka lemah minggu depan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lemah minggu depan susulan permintaan rendah yang terus menjejaskan harga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata India yang juga pembeli terbesar komoditi itu di dunia sedang menjalani sekatan pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 sehingga 14 April ini yang pasti memberi kesan terhadap pasaran tempatan.

“Berikutan itu kami menjangkakan harga sekitar RM2,200 hingga RM2,300 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat tempatan, Ng berkata keputusan kerajaan Sabah untuk membenarkan operasi kilang dan kilang penapis sawit di enam daerah — Tawau, Lahad Datu, Kinabatangan, Semporna, Kunak and Kalabakan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak banyak memberi impak terhadap minat belian.

“Bagaimana pun, ini akan meningkatkan pengeluaran apabila operasi disambung semula,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir ini, dagangan pasaran kebanyakannya lebih tinggi selaras dengan sentimen positif dalam pasaran ekuiti Asia, kelemahan ringgit dan kebimbangan bekalan yang meningkatkan minat belian terhadap sawit.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2020 dan Mei 2020 meningkat RM69 masing-masing kepada RM2,389 satu tan dan RM2,365 satu tan, Jun 2020 menokok RM67 kepada RM2,312 satu tan manakala Julai 2020 meningkat RM66 kepada RM2,285 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 257,369 lot daripada 310,509 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka berkurangan kepada 243,081 kontrak daripada 264,378 kontrak.

Di pasaran fizikal, harga MSM bagi April Selatan pada paras RM2,380 satu tan.

-BERNAMA