Categories
AGENSI SELANGOR

AADK Selangor periksa pemandu, penumpang bas

SHAH ALAM, 30 JULAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menempatkan anggota penguatkuasanya di terminal bas negeri ini sempena cuti perayaan Aidiladha untuk memastikan pemandu dan penumpang bas ekspres bebas dadah.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata menerusi langkah itu, setiap pemandu dan penumpang akan diperiksa dalam operasi empat hari iaitu semalam dan hari ini serta pada Selasa dan Rabu ini (4 dan 5 Ogos).

“Seramai 48 anggota AADK dan 180 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri turut terlibat dalam operasi ‘Op Terminal’ ini.

“Anggota AADK dan JPJ akan sentiasa berada di terminal bas Seksyen 17 di sini, Kajang dan Klang Sentral,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi itu, malam tadi.

Nazira berkata setakat semalam, seramai 54 pemandu sudah diperiksa dan kesemuanya negatif ujian dadah.

Katanya, menerusi operasi itu beliau turut berharap kemalangan membabitkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pemandu dapat dibendung.

“Pemeriksaan bas turut dilaksanakan oleh JPJ dan setakat ini keadaan memuaskan,” katanya.

-BERNAMA