Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja melebihi pengangguran di Selangor

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kadar pengangguran di Selangor mencatat penurunan dan terkawal, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata peluang pekerjaan melebihi 24,000 ketika ini menjadi faktor utama penurunan berkenaan.

“Berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 18,000 penganggur direkodkan selepas kehilangan kerja namun kita ada lebih 20,000 peluang kerja.

“Kerajaan Selangor yakin kadar akan terus turun dan peluang kerja dapat memenuhi permintaan sekaligus membantu rakyat. Kita akan pastikan kadar penurunan ini berterusan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, satu pameran kerjaya melibatkan lebih 200 syarikat akan berlangsung pada September depan.

“Ini inisiatif Kerajaan Selangor membantu rakyat mendapatkan kerja,” katanya.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan kadar pengangguran negara menurun 0.4 peratus dari 826,100 kepada 773,200 bagi Mei dan Jun.