Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja melebihi pengangguran di Selangor

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kadar pengangguran di Selangor mencatat penurunan dan terkawal, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata peluang pekerjaan melebihi 24,000 ketika ini menjadi faktor utama penurunan berkenaan.

“Berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), seramai 18,000 penganggur direkodkan selepas kehilangan kerja namun kita ada lebih 20,000 peluang kerja.

“Kerajaan Selangor yakin kadar akan terus turun dan peluang kerja dapat memenuhi permintaan sekaligus membantu rakyat. Kita akan pastikan kadar penurunan ini berterusan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Khairuddin lagi, satu pameran kerjaya melibatkan lebih 200 syarikat akan berlangsung pada September depan.

“Ini inisiatif Kerajaan Selangor membantu rakyat mendapatkan kerja,” katanya.

Hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan kadar pengangguran negara menurun 0.4 peratus dari 826,100 kepada 773,200 bagi Mei dan Jun.

Categories
EXCO SELANGOR

Teliti garis panduan pameran kerjaya, elak penularan wabak

SHAH ALAM, 4 OGOS: Tatacara operasi piawai (SOP) pameran kerjaya yang berlangsung hujung bulan ini kini di peringkat akhir untuk dimuktamadkan, maklum EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata permulaan program berlangsung lewat bagi meneliti garis panduan secara berperingkat untuk mencegah penularan Covid-19.

“Hari ini kita bincang bersama Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor dan beberapa agensi untuk dapatkan pandangan bagaimana kaedah serta pematuhan SOP. Tarikh (program) akan diumum kemudian,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dimeterai dalam tempoh terdekat bagi melaksanakan pameran tersebut.

“Perkeso bertanggungjawab menentukan bilangan majikan yang menyertai pameran termasuk jenis pekerjaan dan bilangan jawatan kosong,” katanya lagi.

Pameran Kerjaya Selangor menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dan pemohon perlu mengisi borang Perkeso sebelum dipilih menghadiri program tersebut.

Categories
AGENSI SELANGOR

30 majikan sertai pameran kerjaya Ogos ini

SHAH ALAM, 25 JULAI: Seramai 30 majikan dalam pelbagai sektor dijangka menyertai pameran kerjaya yang dijadual Ogos ini, menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor.

Pengarahnya Mustafa Deraman berkata majikan antaranya meliputi industri peruncitan dan perkilangan yang giat menjalankan perniagaan sepanjang tempoh perintah kawalan.

“Kita memiliki data majikan yang mengambil inisiatif menyediakan peluang pekerjaan melalui portal MyFuture Job Vacancies untuk diwar-warkan kepada masyarakat yang hilang pendapatan susulan pandemik Covid-19,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Mustafa turut menghargai usaha Kerajaan Negeri mengatasi isu tersebut dengan membantu individu terjejas mendapat pekerjaan bersesuaian.

“Hebahan promosi (pameran kerjaya) diteruskan di media sosial bagi memastikan penganjuran kali ini menerima sambutan menggalakkan,” katanya lagi.

Pameran yang berlangsung di Stadium Malawati dan Stadium Shah Alam menawarkan 24,500 peluang pekerjaan dengan pemohon perlu mengisi borang menerusi laman sesawang Perkeso sebelum dipilih menghadiri program berkenaan.