Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP kesan pelitup muka murah di pasaran, keselamatan diragui

SUNGAI BESAR, 16 SEPT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan pelitup muka berharga semurah 50 sen di pasaran namun kualitinya tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid menasihati pengguna agar berhati-hati ketika membeli pelitup muka berharga jauh lebih murah daripada harga siling agar tidak terdedah kepada bahaya lain.

“Pelitup muka ini dijual dengan harga 50 sen dan penjual dakwa ia merupakan pelitup muka tiga lapis, bagaimanapun pemeriksaan mendapati bahan yang digunakan agak meragukan.

“Pelitup itu berdebu dan boleh menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutup program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor di Sekinchan di sini hari ini.

Katanya pelitup muka terbabit sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan kualitinya dan tidak menolak kemungkinan satu peraturan akan dibuat agar hanya pelitup muka memenuhi piawaian yang ditetapkan sahaja boleh dijual demi menjamin keselamatan pengguna.

Kerajaan pada Ogos lepas menetapkan harga siling bagi pelitup muka RM1 sehelai.

Sementara itu mengulas mengenai program jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia, beliau berkata kesedaran orang ramai didapati semakin meningkat dalam merancakkan semula ekonomi tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Rosol juga berkata pengguna tidak perlu gusar ketika membeli barangan buatan tempatan kerana kualiti produk tempatan adalah setanding dengan kualiti barangan antarabangsa malah ada yang lebih baik.

– BERNAMA