Categories
AGENDA NASIONAL

1,800 anggota ditugas pastikan SOP cegah Covid-19 dipatuhi

KOTA KINABALU, 15 OKT: Sebanyak 248 pasukan terdiri daripada 1,800 anggota pelbagai agensi ditugaskan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) mengekang Covid-19 dipatuhi di seluruh Sabah, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata antara agensi terlibat adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, sehingga kini lebih 1,800 tangkapan dibuat dan 1,454 kompaun dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan ingkar SOP mengekang Covid-19 antaranya tidak memakai pelitup muka, berkumpul beramai-ramai dan tidak melakukan penjarakan fizikal.

“Kita tidak akan berkompromi untuk membuat tangkapan atau mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan ingkar SOP (mengekang Covid-19),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 660 kes baharu Covid-19 dilaporkan dengan Sabah masih mencatat jumlah tertinggi iaitu 429 kes.

Sementara itu, Hazani berkata polis sedang menyiasat satu pesanan suara tular di media sosial sejak dua hari lepas, menuduh rakyat Sabah menjadi punca penularan Covid-19 di Johor susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Beliau menyeru orang ramai agar tidak terpengaruh dengan pesanan suara tersebut.

“Ia (percakapan itu) agak kasar dan tidak gambarkan budaya kita sebagai bangsa Malaysia. Tiada laporan polis dibuat, namun kami tetap akan jalankan siasatan,” katanya.

-BERNAMA