Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bayu: 18,000 pelajar Kuis, Unisel dapat manfaat

Pelepasan yuran bantu siswa

Program Bantuan Yuran Asas Universiti (Bayu) memberi manfaat kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021, program itu memberi pelepasan yuran asas kepada siswa dua institusi berkenaan.

Rektor Kuis mengakui hampir 8,000 pelajar menerima manfaat. Bagaimanapun, pihaknya belum menetapkan jumlah dan kriteria untuk pelajar yang layak mene-rima inisiatif itu.

“Dari segi kriteria pelajar dan syarat ia masih dalam perbincangan. Namun kita harap semua pelajar akan dapat manfaat. Kuis akan usahakan sebaik-baiknya untuk mengurangkan beban pelajar akibat pandemik Covid-19,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri. Beliau juga akan berbincang dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat berhubung bentuk pelaksanaannya.

Ab Halim juga menjelaskan hampir separuh pelajar baharu yang mendaftar untuk menyambung pengajian setiap kali semester berasal dari Selangor, selebihnya negeri lain.

Kuis menyepadukan kurikulum pengajian Islam dan bidang lain yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Kuis juga memiliki persekitaran cantik dan menampilkan suasana berasaskan nilai-nilai Islam. Kemudahan asrama turut disediakan. Lokasinya berdekatan perkhidmatan komuter dan lapangan terbang selain kedai.

Suntikan RM600

Pengurusan Unisel pula menganggar lebih 10,000 pelajar bakal menerima manfaat sekitar RM600 menerusi inisiatif tersebut.

Pengarah Komunikasi Korporatnya Hasril Abu Hassan berkata pihaknya bercadang manfaat itu dibahagi kepada tiga semester. Yuran bagi setiap semester tidak sama, tertakluk kepada pelbagai kriteria.

“Menerusi inisiatif Bayu, pihak universiti yakin pelajar dari kategori berpendapatan rendah (B40) secara khususnya akan menerima suntikan hampir RM600 untuk yuran asas pengajian pada tahun hadapan,” katanya.

Kampus Unisel

Hasril juga menyifatkan inisiatif sedemikian meringankan beban pelajar dan keluarga yang terjejas akibat dampak Covid-19 hingga mengakibatkan sistem pembelajaran di dewan kuliah beralih kepada teknologi dalam talian.

Pengurusan Unisel juga akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.

Kemasukan November 2020 masih dibuka. Bakal pelajar yang berminat boleh menghubungi talian 03-5522 3400 atau WhatsApp ke 018-571 4084 / 018-571 4087 atau layari www.unisel.edu.my

Insentif lain:

– Program Tuisyen Rakyat Selangor RM13 juta

– Fast Track Tahfiz RM2 juta

– Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS) RM15 juta

– Penubuhan Kursi Menteri Besar Selangor RM5 juta

– Program Khas Selangor

– Bitara RM1 juta