Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Medan 88: Empat lagi penduduk serah diri

SEPANG, 17 NOV: Empat lagi penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tampil menyerah diri hari ini, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Dengan tambahan empat penduduk menyerah diri hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penduduk kawasan itu yang telah pulang ialah 36 orang.

Menurut beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, 13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, 11 menyerah diri pada Jumaat, tiga pada Sabtu manakala lima lagi menyerah diri pada Ahad.

Beliau berkata 27 lelaki dan sembilan wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 13 warga tempatan, 13 warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.

“Setakat ini jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 ialah seramai 350 orang, manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan ini ialah seramai 50 orang,” katanya.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 346 penduduk Medan 88 sudahpun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa dari 12 hingga 25 Nov ini.

-BERNAMA