Categories
AGENSI SELANGOR

LZS santuni penduduk Medan 88 terjejas PKPD

SHAH ALAM, 31 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyantuni penghuni Pangsapuri Medan 88 di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Agensi berkata pihaknya menyalurkan bantuan keperluan asasi daripada pelbagai agensi kepada penduduk yang terputus bekalan akibat pergerakan yang terhad dan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh itu.

“Berdasarkan pemerhatian dan siasatan dijalankan, didapati 37 penghuni disyorkan bantuan kecemasan dan tunggakan sewa bilik atau rumah, selain bantuan barangan asas secara berkala melalui pelbagai agensi berkaitan.

“Membuka peluang pekerjaan dari agensi atau syarikat berkaitan dan membuat syor agar mereka dimasukkan ke dalam skim Bantuan Alternatif Insan Terkesan (Bait),” katanya menerusi Facebook.

LZS menambah penyampaian bantuan dibuat dengan mengambil kira tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dengan memakai peralatan pelindung peribadi (PPE).

PKPD di Medan 88 berkuat kuasa 11 hingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petugas PKPD Medan 88 jalani saringan Covid-19- polis

SEPANG, 24 NOV: Kesemua 138 petugas daripada pelbagai agensi yang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi dekat sini, menjalani saringan Covid-19 hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan berkata daripada jumlah keseluruhan petugas yang menjalani saringan Covid-19 itu, 67 daripadanya adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata mereka yang turut menjalani saringan Covid-19 terdiri daripada 19 petugas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 16 petugas Jabatan Sukarelawanan Malaysia (RELA), Pejabat Daerah Sepang (13 orang), Jabatan Kebajikan Masyarakat (18) dan Jabatan Penerangan (lima).

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata Medan 88 masih berada di bawah PKPD dan pelaksanaan arahan berkenaan akan ditamatkan pada tengah malam Rabu.

Katanya, sejak PKPD dilaksanakan pada 12 November, seramai 43 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman sejurus mendapat maklumat kawasan itu dikenakan PKPD tampil menyerah diri.

Jumlah berkenaan membabitkan 32 lelaki dan 11 wanita, terdiri daripada 14 warga tempatan (11 lelaki dan tiga wanita); 19 warga Indonesia (15 lelaki dan empat wanita); tujuh Thailand (tiga lelaki dan empat wanita) dan masing-masing satu (Myanmar, India dan Nepal).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Medan 88: Empat lagi penduduk serah diri

SEPANG, 17 NOV: Empat lagi penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi yang tidak pulang ke kediaman masing-masing sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tampil menyerah diri hari ini, kata Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof.

Dengan tambahan empat penduduk menyerah diri hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penduduk kawasan itu yang telah pulang ialah 36 orang.

Menurut beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, 13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, 11 menyerah diri pada Jumaat, tiga pada Sabtu manakala lima lagi menyerah diri pada Ahad.

Beliau berkata 27 lelaki dan sembilan wanita yang menyerah diri itu terdiri daripada 13 warga tempatan, 13 warga Indonesia, tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Myanmar, India dan Nepal.

“Setakat ini jumlah semasa penghuni dalam Medan 88 ialah seramai 350 orang, manakala jumlah pekerja yang bekerja di Medan 88 tetapi menjalani kuarantin di luar kawasan ini ialah seramai 50 orang,” katanya.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 346 penduduk Medan 88 sudahpun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuat kuasa dari 12 hingga 25 Nov ini.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sanitasi kawasan Medan 88, zon Sri Dengkil

SHAH ALAM, 17 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melakukan sanitasi di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi semalam.

Yang Dipertua Dato’ Abd Hamid Hussain berkata proses yang bermula jam 8 pagi hingga 1 petang turut dijalankan di 24 zon di Sri Dengkil.

“Operasi sanitasi di seluruh kawasan dengan keluasan 7,240 kaki per segi melibatkan kekuatan 15 anggota MPSepang selain dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat (23 anggota), Pejabat Kesihatan Daerah Sepang (lima anggota) dan polis (dua anggota).

“Kita menggunakan satu water jet (pancutan air), empat mist blower (penyembur kabus) dan 16 spray can (tin semburan) untuk melengkapkan proses sanitasi yang memakan masa hampir lima jam ini,” katanya ketika dihubungi.

Kakitangan kesihatan melakukan proses nyahkuman di Post Kawalan Keselamatan dan khemah agensi di Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang dikenakan PKPD pada 16 November 2020. Foto MPS

Senarai lokasi sanitasi:

  • Medan 88, BBST – Post Kawalan Keselamatan dan Command Centre (khemah agensi)
  • Kawasan Perumahan Taman Topaz, Dengkil
  • Lot Komersial Pekan Dengkil
  • Medan Selera Dengkil
  • Gerai PLB Dengkil
  • Lot Komersial Cybervalley
  • Lot Komersial Taman Dengkil Jaya
  • Lot Komersial Dengkil Centrepoint
  • Lot Komersial Taman Deluxe Dengkil
  • Lot Komersial Taman Timah Langat
  • Lot Komersial Taman Intan
  • Pasar Awam Dengkil
  • Balai Polis Dengkil
  • Masjid Pekan Dengkil
  • Pejabat Pos Dengkil
  • Lot Komersial Taman Gemilang
  • Lot Komersial Pekan Dengkil
  • Tokong Kampung Baru Dengkil
  • Lot Komersial Taman Cemperai
  • Lot Komersial Taman Bintang Mas
  • Shell Dengkil
  • Petronas Dengkil
  • Lot Komersial Taman N S Maniam
  • Surau Taman Dengkil Jaya
  • Surau Taman Desa Dengkil
Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD Medan 88: 27 penduduk serah diri jalani saringan Covid-19 – polis

SEPANG, 15 NOV: Seramai 27 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, yang tidak pulang ke kediaman sejurus mendapat maklumat kawasan itu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tampil menyerah diri.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata 13 orang menyerah diri pada Khamis lepas, dan 11 menyerah diri pada Jumaat.

“Semalam, tiga orang lagi yang juga merupakan rakyat tempatan berasal dari Sabah, pulang untuk menjalani saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata setakat ini enam warga Indonesia, tiga warga Thailand, masing-masing seorang dari Myanmar, India dan Nepal manakala selebihnya rakyat tempatan sudah pulang ke Medan 88.

Sementara itu Wan Kamarul Azran berkata sejak pelaksanaan PKPD di kawasan itu, 324 penduduk Medan 88 sudahpun menjalani ujian calitan dan daripada jumlah itu, empat daripada mereka didapati positif Covid-19.

Khamis lepas, media melaporkan kira-kira 400 penduduk Medan 88 tidak pulang ke kediaman selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawad duri untuk pelaksanaan PKPD berkuatkuasa semalam sehingga 25 November ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Medan 88 tidak kembali sila serah diri atau ditahan polis – menteri

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang yang masih dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Rabu lepas diminta tampil menyerah diri serta-merta atau akan ditangkap polis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka diminta kembali ke kawasan berkenaan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebagai langkah memutuskan rantaian wabak itu.

“Kami tidak kisah sama ada mereka lari atau takut hendak balik (kerana Medan 88 dikenakan PKPD), apa yang penting mereka ini menyerah diri dan kami akan tangkap mana-mana majikan yang bersubahat melarikan mereka.

“Selain itu, kami hendak mereka balik supaya penduduk di kawasan itu boleh membuat ujian saringan Covid-19 dan mengetahui status kesihatan mereka agar ia tidak menjangkiti orang lain,” katanya selepas program Ruang Bicara Bernama TV : “Belanjawan 2021 : Memperkasa Pertahanan”, di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penduduk Medan 88 yang dikesan tidak kembali ke kawasan itu selepas dikenakan PKPD.

“Saya risau sekiranya mereka keluar dan pergi ke tempat lain lalu menjangkiti orang lain dengan Covid-19, maka ia akan menjadi lebih sukar untuk memutuskan rantaian wabak ini. Jika ada daripada mereka yang telah balik, alhamdulillah, yang mana belum balik jangan sampai kena tangkap,” katanya.

Pada 12 November lepas, Bernama melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan PKPD.

Sebelum ini, Ismail Sabri dalam sidang media berkata polis sedang mengesan individu yang melarikan diri berkenaan.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat lokasi pekerja yang tidak pulang daripada majikan dan rakan-rakan sekerja mereka yang terbabit.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Penduduk Medan 88 tidak larikan diri kerana PKPD

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang tidak melarikan diri sebaliknya mereka ketakutan apabila melihat kawasan perumahan mereka dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), berkuatkuasa Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ramai penduduk dari kawasan berkenaan berada di tempat kerja pada waktu siang dan tidak mengetahui apa yang berlaku di kediaman mereka.

Beliau berkata mereka pulang kerja dan melihat tentera memasang kawat berduri dan polis mengepung bangunan, menyebabkan mereka takut untuk masuk ke kawasan berkenaan.

“Tidak ada individu yang melarikan diri kerana kawasan mereka dikepung disebabkan PKPD seperti mana laporan berita yang dilaporkan sebelum ini.

“Terdapat antara 700 hingga 800 penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan dan lebih kurang 400 daripadanya masih belum membuat saringan Covid-19,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 13 penduduk Medan 88 yang disyaki lari dari PKPD telah kembali ke kediaman masing-masing, sejak pukul 9 malam semalam.

Wan Kamarul Azran berkata mereka yang kembali ialah 10 lelaki dan tiga wanita yang terdiri daripada tujuh warga asing dan tiada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau berkata usaha bagi mengesan saki-baki penghuni yang masih tidak pulang sedang dijalankan dengan kerjasama penduduk dan jiran-jiran di kawasan itu.

Semalam, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata polis sedang mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas kawasan itu diumumkan di bawah PKPD.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD Medan 88: Lebih 400 penduduk dicari, diminta jalani saringan segera

SEPANG, 12 NOV: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang meminta bantuan polis untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, yang tidak pulang ke kediaman masing-masing selepas mendapat maklumat kawasan itu dipasang kawat berduri bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pengerusinya Mohamad Zain A. Hamid berkata jumlah mereka yang tidak pulang itu dikesan hasil temu ramah bersama penghuni yang memaklumkan ada rakan serumah atau ahli keluarga mereka yang tidak pulang sebaik sahaja mengetahui kawasan itu akan dikenakan PKPD.

“Pihak polis akan mengesan mereka melalui pendaftaran MySejahtera yang dibuat mereka atau pendaftaran secara manual di kedai-kedai atau premis yang dikunjungi di sekitar kawasan ini.

“Tujuan PKPD dibuat ialah untuk saringan kesihatan dan bukan saringan keselamatan atau sebagainya. Jadi, saya mohon penduduk di sini yang masih belum menjalani ujian calitan untuk segera berbuat demikian,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dan Pegawai Kesihatan Daerah Sepang Dr Nasir Mohd Habib.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Medan 88, berkuat kuasa hari ini hingga 25 November, melibatkan sebanyak 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 orang penduduk.

Mohamad Zain yang juga Pegawai Daerah Sepang, berkata pemasangan kawat berduri dan kepungan awal di kawasan itu bertujuan mengelakkan penduduk lari sebagaimana yang berlaku di PKPD Plaza Hentian Kajang.

“Kami masuk ke sini 8 malam Selasa lepas untuk kepung sebagai persediaan pelaksanaan PKPD. Ini menimbulkan polemik yang besar kepada masyarakat terhadap tindakan yang kami buat lebih awal.

“(Masuk lebih awal) ini adalah strategi kami kerana telah belajar daripada beberapa PKPD yang berlangsung di Selangor yang mana apabila kami kepung kawasan itu dan buat pengumuman pada keesokannya, kami hadapi banyak masalah antaranya tidak mencapai objektif mengadakan PKPD di kawasan tersebut, iaitu melaksanakan saringan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata maklumat awal mendapati purata lebih 1,000 orang mengunjungi Medan 88 untuk pelbagai tujuan ekonomi kerana terdapat bank dan hotel di kawasan berkenaan.

“Penduduk di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi hingga Sepang sering datang ke sini untuk pelbagai urusan dan kerana itu kami perlu melaksanakan PKPD sebab tidak mahu virus ini menular kepada masyarakat di luar sana.

“Sekiranya ada pihak majikan yang mahu pekerja mereka disaring, kami juga akan terima,” katanya.

Beliau berkata tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan ke atas penduduk yang enggan menjalani ujian saringan Covid-19.

Mohamad Zain berkata sehingga Isnin lepas, sebanyak 43 kes positif Covid-19 dikesan di Medan 88 dan semua kes positif dipercayai mempunyai rekod pulang dari tempat berisiko tinggi iaitu Sabah.

Sehingga semalam, 399 penduduk di Medan 88 telah menjalani ujian calitan pertama dan keputusan masih belum diketahui.

Sementara itu, Wan Kamarul Azran berkata seramai 21 anggota polis ditempatkan di kawasan berkenaan yang bertugas mengikut tiga syif di tujuh pos kawalan Medan 88.

-BERNAMA