Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SPB-PBT: MB ucap tahniah kejayaan tiga PBT raih markah tertinggi

SHAH ALAM, 5 NOV: Dato’ Menteri Besar merakamkan ucapan tahniah kepada tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang berjaya meraih markah tertinggi bagi Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) seluruh Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT tersebut ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Semoga anugerah ini akan menyuntik warga kerja PBT di Selangor untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya di Facebook malam ini.

Sementara itu, berdasarkan semakan di Facebook tiga PBT berkenaan, MBPJ mengumpul markah 97.60 peratus, MBSA (97.50 peratus) manakala MPAJ (96.85 peratus).

Majlis Penganugerahan Bintang Perkhidmatan PBT secara maya disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dari kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Program itu merupakan julung kali diadakan melibatkan 152 PBT di negara ini bagi mengiktiraf prestasi kerajaan tempatan yang terbaik berdasarkan penilaian SPB.

10 PBT mendapat markah tertinggi dengan Majlis Perbandaran Manjung menyandang tempat pertama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (kedua) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (ketiga).

Sistem pengredan bintang dinilai berdasarkan empat kriteria utama antaranya pengurusan, pengurusan kewangan, pengurusan pelanggan dan perkhidmatan teras.