Categories
BERITA UTAMA

Bekas pengerusi SPR kini ketuai Mais, ganti Mohammed Khusrin

SHAH ALAM, 30 DIS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) baharu kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu berkuat kuasa 1 Januari ini menggantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Setiusaha Mais berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut melantik 20 anggota majlis termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-undang, Datuk Salim Soib@Hamid dan Pegawai Kewangan, Datuk Nor Azmie Diron bagi sesi 2021-2023.

Katanya, lantikan juga dibuat kepada Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan bekas Timbalan Ketua Polis, Tan Sri Mazlan Mansor.

“Tiga anggota Mais iaitu Tan Sri Hashim Meon, Tengku Datuk Ardy Esfandiari Alhaj Tengku Abdul Hamid Alhaj dan Datuk Mohd Effendi Abdullah dilanjutkan pelantikan mereka.

“Ketua polis Selangor turut dilantik namun ketika ini jawatan berkenaan masih belum diisi manakala bilangan selebihnya adalah dari kalangan ahli sebelum ini,” kata Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Penerima watikah pelantikan bersama selepas istiadat pengurniaan watikah pelantikan Anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor bagi sesi 2021 – 2023 di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 30 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu Sultan Sharafuddin menyempurnakan watikah pelantikan itu di Istana Bukit Kayangan hari ini.

Dr Ahmad berkata, dalam majlis sama Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan watikah pelantikan kepada 11 Ahli Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor (ALPA LZS) sesi 2021-2023 diketuai Pengerusinya, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pula dilantik sebagai timbalan pengerusi ALPA LZS.

“Pelantikan ini mengikut kelulusan Mais dan perkenan Sultan Selangor. Baginda berkenan melantik Mohamed Khalid Share@Shaii sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Selangor berkuat kuasa 16 Disember lalu dan semoga ia dapat mengukuhkan lagi tadbir urus hal ehwal Islam seterusnya memacu kemajuan ummah,” katanya.