Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hampir 300 ahli majlis PBT turun padang beri kesedaran vaksin Covid-19

SEKINCHAN, 24 MAC: Seramai 288 ahli majlis dari 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor digerak dalam usaha memupuk kesedaran awam berhubung kepentingan vaksin Covid-19.

EXCO kerajaan tempatan berkata kumpulan itu akan ke lokasi tumpuan seperti pasar pagi dan pasar malam bagi membantu masyarakat membuat pendaftaran.

“Kami turut mengarahkan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) melakukan perkara sama. Setakat ini sambutan amat menggalakkan.

“Masyarakat yang tidak tahu mendaftar terutama warga emas akan dibantu sama ada melalui MySejahtera atau pendaftaran di laman sesawang dan talian bebas,” kata Ng Sze Han ketika ditemui selepas program serahan geran semalam.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat membuat pendaftaran suntikan imunisasi tersebut supaya semua pihak dapat menjalani kehidupan seperti dahulu.

“Dua dos suntikan ini bukan hanya untuk lindungi diri sendiri sebaliknya keluarga dan masyarakat.

“Saya minta semua lakukan segera. Tiada kesan sampingan dan hanya kawasan suntikan sahaja yang sakit,” katanya.