Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar patuh SOP keselamatan di lebuh raya masih lemah

MELAKA, 4 MAC: Kadar pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) keselamatan dalam kalangan pemaju dan kontraktor yang masih rendah terus mengundang risiko kepada pengguna lebuh raya, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid.

Beliau berkata kejadian runtuhan perancah besi pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak, Kuala Lumpur semalam bukan pertama kali insiden seumpamanya berlaku malah boleh dielakkan jika pihak pemaju dan kontraktor mengamalkan SOP yang betul.

“Tiada kecacatan dalam SOP tetapi pematuhan yang kurang menyebabkan ia terus berlaku. Saya lihat peraturan telah ditetapkan dan dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi masih ada pemaju atau kontraktor yang gagal mematuhi peraturan.

“Jadi denda dan hukuman sepatutnya dikenakan ke atas pemaju dan kontraktor supaya mereka lebih bertanggungjawab,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke JBPM negeri Melaka di sini hari ini, dengan diiringi Pengarah JBPM negeri Melaka Abu Obaidat Mohamad.

Tambah Soiman, pembinaan melibatkan kawasan lebuh raya yang diketahui sangat berisiko juga memerlukan pemaju sentiasa mengambil kira faktor keselamatan termasuklah menyediakan amaran ketinggian dan pencahayaan yang baik agar kenderaan yang melalui jalan tersebut tidak melanggar struktur yang merintangi jalan.

– BERNAMA