Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MBSA: ‘Scan To Ride’ galak masyarakat guna aplikasi tanpa tunai

SHAH ALAM, 1 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyokong usaha Kerajaan Negeri mewajibkan penggunaan ‘Scan To Ride’ kepada penumpang Bas Smart Selangor.

Datuk Bandar Dato’ Haris Kasim berkata usaha itu selaras dengan saranan Majlis Keselamatan Negara yang menggalakkan transaksi tanpa tunai dan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Kita percaya ramai dalam kalangan pengguna Bas Smart Selangor akan memuat turun aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat) untuk menggunakan sistem tersebut.

“Sehingga kini sebanyak 34 bas itu bergerak di lapan laluan sekitar Shah Alam yang rata-rata pengguna dalam kalangan pelajar dan kakitangan awam,” katanya pada Pelancaran ‘Scan To Ride’ Perkhidmatan Bas Smart Selangor di Menara Bank Simpanan Nasional semalam.

Beliau menambah pihaknya juga berusaha menyediakan pelbagai platform digital untuk memudahkan urusan orang awam dan pihak berkuasa tempatan tersebut.

“Kita juga sedang bergerak ke arah teknologi digital dengan mewujudkan pelbagai jenis aplikasi untuk beri kemudahan kepada orang ramai mendapatkan perkhidmatan atau berurusan dengan MBSA,” katanya.