Categories
AGENDA NASIONAL

10,000 anggota bomba siap siaga hadapi kecemasan menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA, 27 APRIL: Hampir 10,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk sebarang kecemasan menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata kesemua kira-kira 15,000 anggota pasukan itu bertanggungjawab memastikan perkhidmatan bomba tidak terjejas walaupun ketika musim perayaan.

“Kita telah keluarkan surat arahan kepada 322 balai melibatkan kira-kira 15,000 anggota seluruh negara mengenai pembekuan cuti pada Aidilfitri ini. Ini bagi memastikan kesemua anggota sentiasa bersedia dalam pelbagai kes kecemasan seperti kebakaran, kemalangan, lemas serta khidmat kemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan JBPM di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohammad Hamdan menyentuh mengenai aspek pengekalan kompetensi anggota dan dengan itu tiga ‘simulator’ latihan sedang dibangunkan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Marang, Terengganu yang dijangka siap pada Oktober 2024.

Selain itu, katanya JBPM sedang dalam perancangan membina dua akademi Bomba iaitu di Sabah dan Sarawak yang akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Mohammad Hamdan turut melancarkan ‘Bomba Fighters Malaysia Virtual Run’ sejauh 10 kilometer, bermula pada 1 Jun hingga 1 Julai 2021 secara maya yang menyasarkan 15,000 penyertaan orang awam serta anggota JBPM.

– BERNAMA