Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Khairy, MB sahkan tiada manipulasi sistem oleh SELangkah dalam pendaftaran vaksin

SHAH ALAM, 31 MEI: Tiada manipulasi sistem pemberian vaksin AstraZeneca oleh pengurusan Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) seperti dakwaan pihak tertentu.

Sebaliknya, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Kerajaan Selangor dalam kenyataan bersama menegaskan usaha untuk memastikan rakyat Malaysia termasuk Selangor memperoleh suntikan vaksin.

“Tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah sepertimana didakwa oleh beberapa pihak baru-baru ini,” menurut kenyataan yang ditandatangani menterinya Khairy Jamaluddin dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Khairy juga menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) manakala Amirudin pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Selangor.

Mereka bertemu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) hari ini bagi mencari penyelesaian isu pendaftaran dan perancangan meningkatkan kadar harian suntikan di Selangor.

Kenyataan itu juga menyebut Kerajaan Selangor membuat pendaftaran vaksin bagi pihak individu dalam ImuniSEL, sebuah program pendaftaran luar talian bagi golongan yang berdepan masalah akses digital.

Setiap individu yang membuat pendaftaran ImuniSEL telah memberi kebenaran untuk didaftar untuk suntikan vaksin.

“CITF mengambil maklum dan menghargai usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor serta pihak-pihak lain bagi membolehkan seramai mungkin individu di Malaysia termasuklah di Selangor mendaftar dan mendapat vaksinasi Covid-19,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Mosti dan Kerajaan Selangor juga bersetuju untuk membuka PPV berskala mega di beberapa lokasi di negeri ini secara berperingkat bermula minggu kedua Jun.

“Perbincangan yang telah berjalan dalam suasana harmoni ini juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak Kerajaan Negeri dan pihak CITF bagi membolehkan PICK berjalan dengan lancar serta teratur, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok.”