Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang buka pasar raya di Thailand, khusus jual produk usahawan Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Selangor merancang membuka sebuah pasar raya di Pattani, Thailand khusus untuk menjual produk usahawan negeri ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata langkah itu bertujuan membangunkan usahawan di negeri ini serta memperluas pasaran produk ke luar negara.

“Hasrat ini antara inisiatif kita menyokong program pembangunan usahawan sedia ada seperti PLATS (Platform Selangor), Seldec (Rantaian e-Bekalan Digital Selangor) dan Hijrah Selangor (Hijrah)

“Kerajaan Negeri akan merealisasikan agenda Negeri Pintar bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja  sebaliknya ke luar negara dengan permulaan di Asia,” katanya.

Beliau berkata pada program `Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19′ disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

PLATS diperkenalkan Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Program Hijrah pula membantu mengeluarkan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah enam tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.