Categories
AGENDA NASIONAL

MBI serah bantuan makanan kepada penduduk PKPD dalam 48 jam

HULU LANGAT, 19 JULAI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI akan menyerahkan bakul makanan kepada penduduk di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam tempoh 48 jam.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan perlu disegerakan selaras arahan dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) semalam.

“Insya-Allah kita akan serah bantuan tersebut dalam tempoh 48 jam dan sedang usahakan (penyerahan bakul makanan) bersama unit bencana SUK.

“Bantuan menumpukan beberapa kawasan bergantung pada keperluan kerana difahamkan di Taman Samudera, mukim Batu di daerah Gombak, bakul makanan sudah diagihkan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia semalam,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan pek makanan asas kepada 50 penghuni Pangsapuri Ghazal Balakong di sini hari ini dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Polis Bukit Aman.

PKPD di empat kawasan di Selangor membabitkan Damai Apartment, PJS 8, mukim Damansara, daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, mukim Klang, daerah Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, daerah Gombak.

Perintah tersebut berkuat kuasa selama dua minggu sejak semalam hingga 31 Julai.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Azri berkata sebanyak RM3 juta daripada RM5 juta dana diperuntuk melalui pelan bantuan khas Covid-19 tahun ini digunakan untuk membantu pihak terkesan dengan pandemik.

Beliau menjelaskan peruntukan itu dimanfaatkan untuk melaksana program sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital dan sekatan jalan raya (SJR), pusat pemberian vaksin (PPV), taman asuhan kanak-Kanak (taska) dan rakyat.

“Kita akan menggunakan peruntukan ini sebaiknya sehingga akhir tahun ini dengan matlamat memastikan semua pihak dibantu,” katanya lagi.