Categories
AGENDA NASIONAL

Persekutuan majikan: Kekalkan SOP meski lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 12 JULAI: Cadangan garis panduan kepada individu yang sudah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 yang akan dibentangkan kerajaan haruslah jelas, konsisten dan merangkumi tatacara operasi piawai (SOP) yang sesuai bagi melindungi keselamatan serta kesihatan pekerja dan rakyat.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Syed Hussain Syed Husman berkata SOP perlu terus diamalkan oleh mereka yang telah melengkapkan vaksinasi kerana tiada jaminan bahawa vaksin itu akan memberi perlindungan sepenuhnya terhadap virus Covid-19.

“Berdasarkan pengalaman di negara lain setakat ini, individu yang sudah menerima vaksin sepenuhnya dibenarkan bergerak bebas dan mereka yang dijangkiti tidak mengalami gejala yang teruk, tidak memerlukan rawatan rapi, sekali gus tidak akan membebankan sistem kesihatan awam.

“Bagaimanapun, difahamkan tiada bukti klinikal pada masa ini yang menunjukkan mereka yang menerima dua dos vaksin akan bebas daripada dijangkiti Covid-19, ini kerana mutasi dan kemunculan varian baharu dan lebih memudaratkan tidak mempunyai bukti klinikal untuk menunjukkan bahawa vaksin akan menjadi perlindungan yang berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan berita baru-baru ini bahawa Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan membentangkan garis panduan itu kepada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat, bagi memberi lebih kelonggaran kepada mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Syed Hussain berkata MEF prihatin dengan keselamatan dan kesihatan semua pekerja termasuk mereka yang sudah menerima vaksin dan mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu platform mengenai kesan sampingan, sekiranya ada, dapat direkod, dipantau dan dilaporkan.

Selain itu, beliau berkata pihak berkuasa perlu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan garis panduan berkaitan termasuk program kesedaran mengenai manfaat dan risiko vaksinasi, selaras dengan hak individu, etika perubatan profesional dan prinsip undang-undang dalam informed consent (keizinan bertulis).

“Kehidupan rakyat harus dipelihara serta dilindungi dan dengan meletakkan intervensi seperti itu juga membantu mengesahkan keselamatan dan keberkesanan vaksin serta mengetepikan khabar angin dan berita palsu.

“Kami berpandangan bahawa cadangan garis panduan untuk mereka yang telah menerima dua dos vaksin perlu tertakluk kepada SOP dan tidak mendiskriminasi individu yang belum menerima dua dos vaksin bagi mengelakkan pelanggaran hak asasi manusia, komplikasi undang-undang dan dasar kawalan sosial yang negatif,” katanya.

MEF turut menggesa pihak berkuasa untuk melibatkan pihak berkepentingan industri, pengamal perubatan profesional dan pakar dalam bidang lain dalam merangka SOP bagi memastikan keberkesanannya untuk manfaat semua pihak.

“Perlu ada tanggungjawab kolektif antara pihak berkepentingan untuk menangani Covid-19 dengan berkesan. Kami berharap garis panduan ini akan dapat diseragamkan, jelas dan tanpa kepelbagaian bagi mengelak kekeliruan kepada majikan dan pekerja.

“Perlu ada satu sahaja dasar untuk cadangan garis panduan itu di bawah satu agensi yang mengendalikan semua pertanyaan,” katanya.

— BERNAMA