Categories
AGENDA NASIONAL

62.5 peratus pelajar 12 hingga 17 tahun terima dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Seramai 1,967,549 (62.5 peratus) remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 5 Okt, sekali gus melebihi sasaran awal ditetapkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menerusi ciapan yang dimuat naik di laman Twitternya berkata jumlah penerima dos pertama itu termasuklah 343,231 (90.9 peratus) remaja berusia 16 tahun dan 344,933 (92.8 peratus) remaja berusia 17 tahun yang bersekolah.

“Berdasarkan perkembangan semasa, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja telah melepasi sasaran awal yang ditetapkan, iaitu 60 peratus populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun menerima dos pertama vaksin Covid-19 menjelang bulan November 2021,” katanya.

Beliau juga berkata sasaran itu telah berjaya dicapai lebih awal daripada jangka masa yang disasarkan hasil kerjasama dan bantuan daripada semua pihak khususnya para remaja, ibu bapa dan penjaga.

“Lebih manis lagi, sasaran ini tercapai hanya dalam tempoh 14 hari semenjak PICK Remaja dilancarkan pada 20 Sept 2021. Pencapaian ini sememangnya merupakan suatu perkembangan yang amat baik dalam usaha bersama kita mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya.

Dr Noor Azmi juga mengucapkan tahniah kepada kementeriannya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Bahagian Pendidikan Majlis Amanah Rakyat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha berkenaan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa lega anak divaksin, kurang risiko jangkitan luar rumah

KUALA SELANGOR, 30 SEPT: Seorang ibu mengakui gembira selepas dimaklumkan pihak sekolah anaknya menerima suntikan vaksin.

Sapinah Hanafi,51.

Sapinah Hanafi, 51 berkata beliau bimbang dengan keselamatan Muhammad Syafiq Sabri, 13, kerana terlalu aktif dan mungkin memberi risiko kepadanya apabila berada di luar rumah.

“Dia hiperaktif, lasak dan suka berkawan, itu saya risau jadi apabila cikgu cakap dia dapat vaksin, saya gembira kerana Covid-19 boleh membawa kemudaratan,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini pada program suntikan vaksin remaja dan murid berkeperluan khas di Stadium Tertutup Kuala Selangor di sini, hari ini.

Mohd Noor Yaacob, 43, memaklumkan anaknya Muhammad Danish Haiqal, 15, teruja dan tidak sabar sebaik dimaklum menerima vaksin.

Mohd Noor Yaacob, 43.

“Saya beritahu semalam (kelmarin) terus dia gembira, saya pun lega sebab dia beri kerjasama untuk menerima suntikan.

“Sebagai bapa, saya bersyukur kerana secara tidak langsung memudahkan kami sekeluarga dan berasa lebih yakin apabila berada di luar rumah,” katanya.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Categories
SELANGOR

300 penduduk DUN Sijangkang terima manfaat program Vaksin Selangor

KUALA LANGAT, 21 SEPT: Seramai 300 penduduk Sijangkang menerima manfaat daripada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak hari ini.

Ketua Kampung Sijangkang Mohd Suhaimi  Mat Kamil berkata kebanyakan mereka terdiri warga asing yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

“Program hanya menerima individu yang membuat pendaftaran sahaja, ini bagi mengelakkan kesesakan kepada yang datang.

“Kita tidak terima individu tanpa janji jemu malah dos vaksin dibawa juga mengikut jumlah berdaftar dengan penerima datang berperingkat sejak pagi,” katanya.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

76.8 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Sebanyak 76.8 peratus atau 17,973,545 individu daripada populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini memaklumkan 92.7 peratus atau 21,783,871 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin itu termasuk penerima vaksin dos tunggal CanSino.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 202,298 dos vaksin termasuk vaksin dos tunggal dan dua dos diberikan semalam, menjadikan keseluruhan dos yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 39,685,414 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 120,000 dos Selvax diberi kepada warga asing

SHAH ALAM, 27 OGOS: Sebanyak 120,030 dos Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti dan Selvax Industri diberikan kepada warga asing setakat hari ini, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata selain Selvax, seramai 333,847 warga asing yang berdaftar dengan MySejahtera telah lengkap dua dos dan 597,724 lagi menerima dos pertama.

“Kerajaan Negeri tetap mengambil berat kesejahteraan warga asing kerana golongan ini juga sebahagian daripada komuniti selain turut menyumbang kepada ekonomi Selangor.

“Selvax Industri merupakan inisiatif Selangor bagi melengkapi usaha kerajaan persekutuan untuk mempercepat suntikan dalam kalangan warga asing,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berhubung program vaksinasi warga asing pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Siti Mariah memaklumkan antara cabaran yang dihadapi dalam pemberian suntikan kepada warga asing adalah ketiadaan dokumen sah menyebabkan golongan itu tidak mahu mengambil vaksin.

“Malah terdapat warga asing yang mempunyai dokumen dengan nombor pasport yang sama tetapi negara berlainan.

“Masalah lain adalah janji temu suntikan warga asing diberikan secara berkumpulan besar menyebabkan kesesakan pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk warga yang sedang dalam kuarantin tetapi hadir ke PPV,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

13,580,934 individu lengkap dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Sebanyak 41.6 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,580,934 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,631,593 individu atau 57.1 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 32,212,527 dos.

Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 58.0 peratus setakat semalam berbanding 56.9 peratus, pada Isnin.

Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula mencatatkan peningkatan kepada 420,164 dos berbanding 396,576 dos pada Isnin, dengan 265,160 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 155,004 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10 juta individu lengkap dua dos setakat semalam

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Sebanyak 31.1 peratus atau 10,144,199 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya, beliau memaklumkan seramai 16,707,566 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 26,851,765 dos.

Mengikut peratusan, 71.4 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama manakala 43.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 462,860 dos diberikan semalam dengan 162,182 adalah dos pertama manakala 300,678 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak suntikan dos pertama semua negeri dipertingkat segera

SHAH ALAM: 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak suntikan dos pertama Covid-19 di semua negeri dipertingkat segera sebelum Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata pemberian vaksin di negeri-negeri berisiko tinggi amat penting kerana ada negeri yang masih mempunyai kadar dos pertama yang rendah.

“Sabah yang merupakan negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.

“Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus Covid-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri fasa 2,” menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, hari ini.

PAKATAN turut mendesak kerajaan membantu pemilik premis yang dibenarkan menerima pelanggan dengan memastikan pekerja mereka juga telah menerima vaksin.

“Kerajaan harus membantu premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan lengkap dua dos vaksin, untuk memastikan semua pekerja telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin,” katanya.

Selain itu, Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa serta mata pencarian.

“Langkah ini membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP menyeluruh sejak 1 Jun 2021,” katanya.

Pada 8 Ogos, perdana menteri mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran yang berkuat kuasa pada 10 Ogos itu tertakluk kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk bertemu dan ibu bapa untuk berjumpa anak bawah 18 tahun.

Lengkap dua dos vaksin bermaksud seseorang itu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima suntikan Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac manakala 28 hari bagi satu dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino.

Categories
AGENDA NASIONAL

21.3 peratus rakyat lengkap dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Sebanyak 21,200,473 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb hingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,247,659 menerima suntikan vaksin dos pertama dan 6,952,814 adalah dos kedua.

“Mengikut peratusan, 43.6 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, sementara 21.3 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” menurut JKJAV.

Bagi vaksinasi harian pula sebanyak 480,122 dos diberikan semalam dengan  298,236 adalah pemberian dos pertama manakala 181,886 lagi dos kedua.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suntikan lebih 500,000 dos enam hari berturut-turut

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Jumlah vaksinasi harian Covid-19 di negara ini mencatat angka melebihi 500,000 dos selama enam hari berturut-turut dengan 519,111 dos suntikan diberikan semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik di Twitternya berkata daripada jumlah yang diberikan semalam, sebanyak 316,492 adalah dos pertama manakala 202,619 lagi dos kedua.

Secara kumulatifnya, sebanyak 20,533,660 dos sudah diberikan kepada penduduk di negara ini sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan pada 24 Feb lalu.

Jumlah itu meliputi 13,816,971 untuk suntikan vaksin dos pertama, manakala 6,716,689 lagi bagi dos kedua.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih lima juta penduduk lengkap dua dos setakat semalam

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Jumlah pemberian vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dimulakan pada 24 Feb lalu sehingga semalam mencecah 16,904,896 dos suntikan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian di Twitternya berkata setakat 11.59 malam tadi, jumlah keseluruhan populasi yang telah melengkapkan kedua-dua dos vaksin adalah 5,397,826.

“Sementara itu, 11,507,070 lagi telah mendapat suntikan dos pertama vaksin,” katanya dalam perkongsian tersebut.

Bagi vaksinasi harian, Dr Adham berkata 417,738 dos diberikan semalam, merangkumi 284,672 individu menerima suntikan pertama manakala 133,066 penerima dos kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL

507,050 dos suntikan diberi semalam, tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Jumlah pemberian vaksin harian Covid-19 melepasi angka 500,000 semalam selepas mencatatkan sebanyak 507,050 dos suntikan, jumlah tertinggi setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau berkata daripada jumlah itu 335,977 adalah dos pertama, manakala 171,073 adalah dos kedua.

Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb sebelum ini adalah pada Jumaat lepas dengan sebanyak 460,158 dos suntikan.

— BERNAMA