Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Janji temu dos kedua vaksin di Klinik Selcare, semak SELangkah

BANGI, 19 OGOS: Individu menerima dos pertama pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bermula 14 Ogos lalu akan diberi janji temu dos kedua di klinik panel Selcare.

Penyelaras PPV Evo Mall berkata perpindahan lokasi dibuat atas arahan Kerajaan Negeri berikutan kewujudan banyak PPV yang mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini sehingga menyebabkan kehadiran peserta berkurang.

“(Langkah ini) untuk mengelakkan daripada menanggung kos seperti tenaga kerja, jadi operasi di seluruh PPV dalam program Selvax Komuniti akan berakhir pada 3 September ini.

Penyelaras pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Amiroel Zhafran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peserta akan dialih ke klinik panel berdekatan untuk dos kedua. Masa dan lokasi (klinik) akan dipaparkan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebaik selesai tempoh menunggu di ruang pemerhatian,” kata Amiroel Zhafran Ismadi.

Beliau turut memberi jaminan tidak berlaku kesesakan di klinik terbabit memandangkan slot janji temu diberi secara berkelompok tanpa bertumpu di satu lokasi.

“Kita memiliki lebih 2,000 klinik panel dan kemungkinan terdapat beberapa kelompok dialihkan ke klinik lain. Peralihan ini juga berdasarkan kapasiti klinik itu sendiri.

“Sekiranya lokasi diberikan kepada peserta jauh dari tempat tinggal, kita akan pertimbang untuk tukar ke klinik lebih dekat dan mereka boleh tekan butang ‘helpdesk’ di SELangkah. Bagaimanapun, kita percaya peratusan bagi kes seperti ini rendah,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.