Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Galeri Shah Alam dibuka kepada orang awam, perlu buat janji temu

SHAH ALAM, 27 SEPT: Galeri Shah Alam di Seksyen 14 di sini sudah dibuka kepada orang awam mulai 10 September lalu namun terhad kepada lawatan janji temu.

Pengarahnya Alina Abdullah berkata pihaknya menetapkan hanya 15 orang boleh berada di galeri berkenaan pada satu-satu masa susulan keperluan pematuhan tatacara operasi piawai.

“Kita akan melihat pengumuman pihak berkuasa bagi meningkatkan jumlah pengunjung dan membenarkan lawatan tanpa janji temu.

“Mereka yang ingin menetapkan tarikh lawatan boleh menghubungi Galeri Shah Alam di talian 03-5510 5344 atau e-mel [email protected],” katanya.

Menurut Alina pada masa ini galeri berkenaan sedang mempamerkan karya pertandingan seni visual anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jelasnya, Pameran Maya Insan+tif 1.0 yang dianjurkan sempena sambutan ke-30 tahun penubuhan galeri juga masih berlangsung hingga penghujung Oktober.

Alina berkata penganjuran bengkel secara bersemuka yang menjadi tumpuan ramai terutama pada hujung minggu berkemungkinan diperkenal semula pada tahun depan.

“Buat sementara waktu kita teruskan bengkel secara dalam talian,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh kunjungi CAC di Selangor tanpa janji temu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor boleh dikunjungi pesakit Covid-19 tanpa melalui proses janji temu, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata perkembangan itu susulan penurunan jumlah kes wabak dan pesakit dapat diurus tanpa kesesakan berlaku di pusat tersebut.

“Di beberapa negeri, kita sudah pun beralih kepada ‘walk ini’ untuk CAC sebagai contoh di Selangor, kita sekarang ini tak perlu lagi ada janji temu.

“Beberapa negeri telah pun beralih kepada ‘walk in’ disebabkan jumlah kes yang semakin menurun dan pengumuman akan dibuat di peringkat negeri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-Bersatu) yang bertanyakan bagaimana pengoperasian CAC sama ada melalui janji temu atau sebaliknya.

Beliau menambah KKM giat berusaha mewujudkan CAC maya di negeri lain bagi menangani peningkatan pesakit Covid-19 seluruh negara.

“Semasa peningkatan kes pada pertengahan Julai lalu, CAC maya diwujudkan bagi pantau pesakit kategori satu dan dua.

“Hasil penubuhan CAC maya, kedatangan pesakit di Lembah Klang rendah dan sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun jumlah kes positif masih lagi di paras sedikit tinggi,” katanya.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Janji temu dos kedua vaksin di Klinik Selcare, semak SELangkah

BANGI, 19 OGOS: Individu menerima dos pertama pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti bermula 14 Ogos lalu akan diberi janji temu dos kedua di klinik panel Selcare.

Penyelaras PPV Evo Mall berkata perpindahan lokasi dibuat atas arahan Kerajaan Negeri berikutan kewujudan banyak PPV yang mengendalikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) ketika ini sehingga menyebabkan kehadiran peserta berkurang.

“(Langkah ini) untuk mengelakkan daripada menanggung kos seperti tenaga kerja, jadi operasi di seluruh PPV dalam program Selvax Komuniti akan berakhir pada 3 September ini.

Penyelaras pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Amiroel Zhafran. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Peserta akan dialih ke klinik panel berdekatan untuk dos kedua. Masa dan lokasi (klinik) akan dipaparkan di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) sebaik selesai tempoh menunggu di ruang pemerhatian,” kata Amiroel Zhafran Ismadi.

Beliau turut memberi jaminan tidak berlaku kesesakan di klinik terbabit memandangkan slot janji temu diberi secara berkelompok tanpa bertumpu di satu lokasi.

“Kita memiliki lebih 2,000 klinik panel dan kemungkinan terdapat beberapa kelompok dialihkan ke klinik lain. Peralihan ini juga berdasarkan kapasiti klinik itu sendiri.

“Sekiranya lokasi diberikan kepada peserta jauh dari tempat tinggal, kita akan pertimbang untuk tukar ke klinik lebih dekat dan mereka boleh tekan butang ‘helpdesk’ di SELangkah. Bagaimanapun, kita percaya peratusan bagi kes seperti ini rendah,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bilangan ibu hamil suntik vaksin bertambah sejak kematian Siti Sarah

PETALING JAYA, 13 OGOS: Kehadiran ibu hamil di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall di sini, untuk menerima suntikan pelalian meningkat sejak kematian Siti Sarah Raissuddin akibat pandemik Covid-19.

Penyelaras PPV Tropicana Gardens Mall Mohammad Zulmajdi Basyeer berkata pihaknya menerima kehadiran tanpa janji temu antara 10 hingga 20 ibu hamil pada setiap hari sejak pemergian bintang seni tanah air itu.

“Penerimaan golongan ini amat kurang sejak bermulanya program suntikan tanpa janji temu namun meningkat sejak tiga hari lalu, mungkin golongan ini mulai sedar betapa pentingnya mengambil vaksin.

“Apabila ditanya kenapa sebelum ini enggan menerima vaksin, rata-rata mereka menyuarakan kerisauan dengan kandungan serta khuatir jika ada kesan sampingan selepas menerima suntikan,” katanya.

Beliau ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti suntikan kedua DUN Bandar Utama dan Kampung Tunku di PPV Tropicana Gardens Mall hari ini.

Mohammad Zulmajdi berkata seramai 3,200 penerima di dua DUN tersebut hadir bagi mendapatkan dos kedua selepas menerima dos pertama pada 23 Julai lalu.

“Bagi suntikan pelalian tanpa janji temu sebanyak 1,100 baucar sudah ditebus. Kita menjangkakan jumlah ini terus meningkat susulan hari ini merupakan hari terakhir Selvax Komuniti tanpa janji temu.

“Secara keseluruhan sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak Selvax Komuniti tanpa janji temu diadakan bermula 3 Ogos lalu,” katanya.

Selangor menyediakan lima PPV khusus untuk orang ramai mendapat suntikan tanpa janji temu iaitu di Tropicana Gardens Mall; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Aurora Place, Bukit Jalil; Hotel De Palma, Shah Alam dan Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya.

Manakala warga asing dikhaskan pada 10 hingga 13 Ogos di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 penduduk negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Proses rawatan gigi panjang ketika pandemik, KKM had slot janji temu

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Slot janji temu bagi rawatan pergigian di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh satu hari bekerja adalah sangat terhad berikutan proses rawatan yang mengambil masa lebih panjang berbanding sebelum penularan Covid-19.

Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian) KKM Dr Noormi Othman berkata dalam situasi penularan Covid-19 yang semakin serius, KKM perlu mengamalkan beberapa norma baharu dalam penyampaian perkhidmatan selari garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) digariskan pihaknya dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini katanya termasuk proses saringan yang lebih ketat di kaunter pendaftaran, mengehadkan kehadiran pesakit ke klinik dengan menggalakkan pengambilan janji temu secara dalam talian atau melalui telefon serta memberi janji temu secara berperingkat.

“Selain itu, tempoh pembasmian bilik rawatan pergigian setelah rawatan pergigian selesai untuk setiap pesakit juga dipanjangkan bagi memastikan persekitaran selamat, seterusnya mengawal penularan penyakit Covid-19 kepada pesakit dan juga anggota pergigian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada artikel diterbitkan dua akhbar berbahasa Inggeris bertajuk ‘Six-Months Wait Unresonable’ dan ‘A six-month wait for dental treatment?’.

Dr Noormi menjelaskan setiap pesakit yang hadir ke klinik pergigian akan dikategorikan sama ada sebagai pesakit berisiko rendah atau pesakit berisiko tinggi dengan pesakit berisiko rendah dibenarkan menjalani semua jenis rawatan manakala pesakit berisiko tinggi, terhad kepada rawatan kecemasan sahaja.

Menurutnya, bagi rawatan seperti penskaleran dan tampalan yang melibatkan penghasilan semburan dan titisan air kecil (aerosol) yang bercampur air liur pesakit dan berpotensi tinggi menyebabkan penularan virus Covid-19 pula perlu dijalankan dalam bilik rawatan khas dilengkapi peralatan bagi mengawal dan mengurangkan penghasilan aerosol berkenaan.

“Semua anggota pergigian juga perlu memastikan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) yang lengkap dan mematuhi amalan kawalan jangkitan silang semasa menjalankan rawatan.

“Proses kerja ini merangkumi penyediaan bilik rawatan, pemakaian dan penanggalan PPE anggota pergigian dan pembasmian bilik rawatan pergigian setelah proses rawatan mengambil tempoh masa yang lebih panjang berbanding dengan situasi sebelum penularan Covid-19,” katanya

Bagaimanapun tegas Dr Noormi, KKM amat prihatin dan sedang mengatur strategi bagi memastikan pesakit yang hadir diperiksa pada hari sama serta mengurangkan tempoh masa menunggu mendapatkan rawatan pergigian melalui slot janji temu.

“KKM merayu orang ramai agar bersabar dan memahami kekangan perkhidmatan kesihatan pergigian yang dialami dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi mendapatkan janji temu bagi pemeriksaan pergigian secara dalam talian atau melalui telefon di klinik pergigian berdekatan dengan kediaman masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Urusan Mais diteruskan melalui janji temu

SHAH ALAM, 5 JAN: Orang ramai yang mahu berurusan di Majlis Agama Islam Selangor (Mais) perlu membuat janji temu sehingga 14 Januari ini.

Agensi berkata langkah itu dibuat susulan negeri itu masih di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pelanggan boleh mendapatkan waktu dan tarikh janji temu menerusi panggilan telefon atau e-mel kepada [email protected].

“Mais mengambil langkah proaktif bagi memastikan urusan pelanggan tetap diteruskan tetapi mereka perlu mendapatkan tarikh bagi tujuan berkenaan terlebih dahulu,” katanya menerusi kenyataan.

Waktu urusan bermula dari jam 9 pagi hingga 3 petang sahaja.

Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi:
1. Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dengan perkara berkaitan Baitulmal (019-3830032 / 019-2661404 / 03-55143772 / 3772 / 3773)
2. Sewaan hartanah (019-2302040 / 019-2640631 / 03-5514 3400 ext 2187)
3. Bahagian pendaftaran mualaf (014-3245146 / 03-33614000)
4. Bahagian pemulihan ar-riqab (019-2646277 / 03-33614088 / 03-33614080)
5. Bahagian kewangan (019-666 4123 / 03-55143753 / 03-55142741)
6. Unit guaman syarie – nasihat perundangan syariah dan permohonan bantuan guaman syarie (03-55143643)

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat Mais di talian 03-5514 2175.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPB: Operasi Mais menerusi janji temu sahaja

SHAH ALAM, 27 OKT: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) meneruskan operasinya menerusi janji temu sahaja sehingga 9 November susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Agensi berkata pelanggan boleh mendapatkan waktu dan tarikh janji temu menerusi panggilan telefon atau e-mel kepada [email protected].

“Mais mengambil langkah proaktif bagi memastikan urusan pelanggan tetap diteruskan, namun mereka perlu mendapatkan tarikh janji temu terlebih dahulu.

“Waktu urusan bermula dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang sahaja. Sementara bagi urusan pembayaran di kaunter kewangan dibuka sehingga jam 3 petang namun tidak memerlukan janji temu,” katanya menerusi kenyataan.

Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi:

1. Pengurusan wasiat, hibah, harta pusaka dengan perkara berkaitan baitulmal (019-3830032 / 019-2661404 / 03-55143772 / 3772 / 3773)
2. Sewaan hartanah (019-2302040 / 019-2640631 / 03-5514 3400 ext 2187)
3. Bahagian pendaftaran mualaf (014-3245146 / 03-33614000)
4. Bahagian pemulihan ar-riqab (019-2646277 / 03-33614088 / 03-33614080)
5. Bahagian kewangan (019-666 4123 / 03-55143753 / 03-55142741)
6. Unit guaman syarie – nasihat perundangan syariah & permohonan bantuan guaman syarie (03-55143643)

Untuk maklumat lanjut, orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat Mais di talian 03-55142175.