Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemuda ada sakit kronik lega lengkap dua dos vaksin Selangor

GOMBAK, 15 OGOS: Seorang pemuda yang menghidap penyakit kencing manis lega apabila lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 di bawah program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti hari ini.

Lau Wing Hoh, 25, berdaftar di bawah Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang menerima suntikan pelalian pertama pada 26 Julai lalu.

Lau Wing Hoh, 25. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Abangnya, Lau Wing Kit, 26, berkata adiknya menghidap penyakit kronik itu sejak tiga tahun lalu dan kini tidak mampu bekerja kerana sukar bergerak selepas penglihatan turut terjejas.

“Adik menguatkan semangat untuk hadir hari ini walaupun tidak sihat, dia lega kerana dapat lengkapkan dua dos vaksin,” katanya ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Siantan di sini.

Nor Azmin Derhaman, 57. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Perasaan lega turut dirasai bekas pesakit Covid-19, Nor Azmi Derahman, 57, yang mahu melengkapkan dua dos suntikan secepat mungkin bagi menguatkan sistem ketahanan diri.

“Vaksin dapat membantu mengelakkan jangkitan atau mengurangkan kesan, saya gesa seluruh masyarakat jangan bertangguh ambil vaksin,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Seorang guru tadika, N Jayasri, 32, hadir jam 5.30 pagi ke Dewan Seri Siantan bagi memastikan dirinya menerima suntikan sebagai persiapan sekiranya sesi persekolahan kembali dibuka.

N Jayasari, 32, guru tadika. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya datang semalam tetapi diberitahu kuota suntikan vaksin secara tanpa janji temu telah penuh, jadi saya datang seawal jam 5.30 pagi hari ini walapun pagar hanya dibuka jam 9 pagi,” katanya.

“Saya mengambil vaksin sebagai persediaan sekiranya tadika kembali dibuka, menguruskan kanak-kanak memerlukan saya bebas Covid-19 untuk mengelakkan jangkitan,” katanya.