Categories
AGENDA NASIONAL

PM temui tokoh PAKATAN, setuju laksana reformasi

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan lapan mata dengan tiga tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos.

Selain pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Ismail juga bertemu Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan lebih sejam, mereka mencapai kata sepakat untuk melaksanakan reformasi institusi termasuk memperkasa peranan Parlimen.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks keluarga Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, PAKATAN berkata ia mempertimbang tawaran Ismail dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Namun, Majlis Presiden PAKATAN berharap penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan, sebaliknya bertujuan menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Kenyataan majlis itu juga menyebut gabungan tersebut mengutamakan reformasi institusi termasuk melaksanakan Undi 18 dan menggubal Akta Antilompat Parti selain menegaskan kebebasan sistem kehakiman.

PAKATAN juga sedia membentang cadangan alternatif yang sesuai dengan dasar berkaitan usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan nyawa.

“Fokus PAKATAN adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu lagi.

Gabungan tiga parti itu juga merancang pertemuan dengan pemimpin parti sekutu bagi membincangkan isu politik semasa, selain membuat persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang dijadual bermula 6 September.

Perbincangan juga meliputi kemungkinan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri baharu, selain kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat selepas Datuk Azalina Othman Said berundur pada 23 Ogos.