Categories
AGENDA NASIONAL

PM temui tokoh PAKATAN, setuju laksana reformasi

SHAH ALAM, 25 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan lapan mata dengan tiga tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos.

Selain pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Ismail juga bertemu Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha DAP Lim Guan Eng di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan lebih sejam, mereka mencapai kata sepakat untuk melaksanakan reformasi institusi termasuk memperkasa peranan Parlimen.

“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks keluarga Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, PAKATAN berkata ia mempertimbang tawaran Ismail dalam ucapan sulungnya pada 22 Ogos untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Namun, Majlis Presiden PAKATAN berharap penyertaan itu bukan sekadar tangkap muat atau “rubber stamp” kepada pandangan kerajaan, sebaliknya bertujuan menangani pandemik dan kemelesetan ekonomi.

Kenyataan majlis itu juga menyebut gabungan tersebut mengutamakan reformasi institusi termasuk melaksanakan Undi 18 dan menggubal Akta Antilompat Parti selain menegaskan kebebasan sistem kehakiman.

PAKATAN juga sedia membentang cadangan alternatif yang sesuai dengan dasar berkaitan usaha menangani Covid-19, menghidupkan semula ekonomi dan menyelamatkan nyawa.

“Fokus PAKATAN adalah ke arah menjadi pembangkang yang berkesan dengan mengutarakan kritikan, teguran, syor dan pandangan yang membina dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu lagi.

Gabungan tiga parti itu juga merancang pertemuan dengan pemimpin parti sekutu bagi membincangkan isu politik semasa, selain membuat persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang dijadual bermula 6 September.

Perbincangan juga meliputi kemungkinan sidang khas lebih awal untuk membahaskan usul undi percaya terhadap perdana menteri baharu, selain kekosongan jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat selepas Datuk Azalina Othman Said berundur pada 23 Ogos.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar jumpa KP SPRM petang esok

SHAH ALAM, 21 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu dengan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok.

Pertemuan presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan Datuk Seri Azam Baki dijangka jam 3 petang.

Perbincangan itu dipercayai ada kaitan dengan dakwaan ahli-ahli parlimennya cuba dirasuah agar mengalih sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Saya percaya usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa serta kedudukan adalah isu serius dan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk dalam kalangan pembangkang dan masyarakat madani.

“Semoga usaha ini menjadi titik mula ke arah Malaysia yang lebih baik, Inysa-Allah,” kata ketua pembangkang menerusi Facebook pagi ini.

KEADILAN sebelum ini mendakwa agensi kerajaan termasuk SPRM digunakan mengugut ahli-ahli parlimennya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PN kekalkan kuasa guna pelbagai cara, ugut ahli parlimen

SHAH ALAM, 16 MAC: Perikatan Nasional (PN) sanggup menyalah guna kuasa menekan beberapa ahli parlimen bagi mengekalkan kedudukan susulan tidak memiliki jumlah majoriti membentuk kerajaan, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PN juga menggunakan pihak berkuasa seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai senjata menarik sokongan.

“Dalam kes terbaharu…kalau lompat (parti) siasatan (terhadap ahli parlimen) ditangguh atau tutup. Kalau tak lompat, ahli parlimen itu akan didera. Mereka gunakan cara ini untuk mendera ahli parlimen yang tak mahu bersekongkol.

“Selain Natrah Ismail (Sekijang), ahli parlimen Padang Serai, Sungai Siput, Putatan dan Miri menyebut mereka dihubungi, diberi ugutan dan dipelawa dengan pelbagai sogokan,” katanya pada sidang media hari ini.

Berbanding Pakatan Harapan (PAKATAN), presiden KEADILAN itu menegaskan mereka tidak pernah menyokong individu yang mengamalkan jenayah rasuah selain memastikan bayaran cukai dilakukan.

“Kita tak berganjak dengan prinsip. Kita tak pertahan mana-mana pimpinan dari rasuah sama ada dari KEADILAN atau PAKATAN,” katanya.

Jelas Anwar lagi, meskipun mampu menarik sehingga enam ahli parlimen, kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih tidak dapat memiliki majoriti sokongan.

“Kita minta menteri kanan untuk buat kira-kira. Sekarang dapat tiga (ahli parlimen), jika dapat enam pun masih belum cukup 110 (kerusi),” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Guna dos kedua petugas hadapan untuk vaksin rakyat

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan disaran menggunakan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech petugas barisan hadapan untuk disuntik kepada orang awam terlebih dahulu.

Ketua pembangkang berkata langkah itu akan memberi faedah lebih baik kepada negara dalam mencegah pandemik Covid-19 berikutan ramai rakyat menerima vaksin.

“Pfizer fasa pertama ini habiskan dulu untuk rakyat. Untuk fasa kedua nanti baharu giliran mereka (petugas hadapan) semula.

“Jika tidak laksanakan langkah ini, belum tentu pada 2022 penduduk di pedalaman menerima suntikan. Kerajaan dicadang teliti perkara ini supaya rakyat dapat suntikan,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media hari ini.

Menurutnya berdasarkan beberapa kajian dilakukan, tindakan penangguhan dos kedua itu tidak akan menggugat kesihatan dan keselamatan petugas barisan hadapan.

Fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan menyasarkan suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April depan.

Fasa dua imunisasi menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan melibatkan kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan untuk 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Contohi Selangor bantu rakyat daftar suntikan vaksin – Anwar

SHAH ALAM, 16 MAC: Ketua pembangkang meminta negeri lain mengikut jejak langkah Kerajaan Selangor yang turun padang membantu masyarakat mendaftar pengambilan suntikan vaksin.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan Selangor bergerak ke kawasan tertentu dan pergi ke rumah penduduk dilihat berkesan memandangkan proses pendaftaran vaksin rumit.

“Proses dari MySejahtera, pendaftaran serta pemeriksaan terlalu rumit. Banyak borang perlu diisi, jadi untuk orang kampung dan orang biasa ia menyusahkan.

“Kerajaan perlu rangka modul untuk mudahkan dan percepatkan proses pendaftaran ini. Sekarang peratusan yang mendaftar sangat rendah,” katanya pada sidang media hari ini.

Anwar berkata beliau turut meminta semua Ahli Parlimen KEADILAN menggunakan pejabat masing-masing sebagai tempat rakyat mendaftar.

Pada 6 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’Seri Amirudin Shari memaklumkan pemimpin akar umbi digerakkan ke kawasan tumpuan awam seperti pasar selain berkunjung dari rumah ke rumah sebagai langkah menarik orang ramai melakukan pendaftaran.

Sehingga semalam, seramai 321,331 individu menerima suntikan di seluruh negara dengan Selangor kekal tertinggi membabitkan 38,632 orang.

Program imuniasi secara berfasa mulai 24 Februari mengutamakan petugas hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kerajaan atasi segera isu daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan persekutuan supaya menyelesaikan segera isu yang boleh menjejaskan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19.

Menegaskan sokongan terhadap program itu, ketua pembangkang mempersoal isu kira-kira 1.4 juta rakyat tidak mengisi maklumat lengkap untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Kita baca laporan atau celoteh warga di ruang maya bahawa terdapat segelintir mereka yang terpaksa mendaftar berkali-kali sebelum proses pendaftaran disahkan di dalam sistem.

“Justeru, apa langkah kerajaan setakat sekarang dalam menyelesaikan masalah ini?” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Anwar turut mempersoal sama ada kerajaan sudah mengenal pasti kaedah untuk meningkatkan kesedaran oramg ramai terhadap kepentingan mengambil vaksin terutama golongan antivaksin.

“Apa yang telah dilakukan kerajaan dalam meyakinkan gerombolan antivaksin memandangkan ia tidak wajib? Sudahkah kerajaan fikirkan juga isu keselamatan vaksin, memandangkan terdapat juga kumpulan warga yang mempunyai kegusaran terhadap vaksin?” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga meminta Putrajaya menjelaskan isu ketelusan dalam mendapatkan vaksin dan parameter yang diguna pakai bagi mendapatkan pelbagai jenis vaksin.

“Selain itu, terdapat beberapa laporan yang menyatakan tentang keberkesanan vaksin buatan Rusia iaitu Sputnik V yang jauh lebih murah. Namun, baru sekarang kerajaan mengumumkan telah mendapatkannya. Mengapa ia tidak diuruskan lebih awal?” katanya.

Hari ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata kira-kira 1.4 juta individu tidak melengkapkan pendaftaran menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, mereka hanya mengisi nama dan nombor kad pengenalan untuk pendaftaran penerimaan suntikan vaksin namun tidak menjawab soalan penilaian kesihatan serta melengkapkan alamat terkini masing-masing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: 114 atau 115 ahli parlimen setuju sidang Parlimen segera

SHAH ALAM, 23 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa seramai 114 atau 115 ahli parlimen bersetuju sidang Parlimen dilaksanakan segera untuk menyelesaikan isu Covid-19 dan ekonomi.

Ketua pembangkang berkata sokongan tersebut mencapai jumlah majoriti diperlukan untuk menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksana darurat dan menggantung Parlimen.

“Keputusan sokongan 94 ahli parlimen PAKATAN sekarang utuh manakala empat ahli parlimen lagi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyokong. Selain itu sokongan turut diberikan ahli parlimen dari
Parti Warisan Sabah (Warisan).

“Sekarang Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang membincangkannya dan saya tidak tahu keputusannya tetapi jika berlaku, yang sokong gantung Parlimen tidak sampai 90 ahli parlimen,” katanya.

Beliau berkata pada Program Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ anjuran Majlis Profesor Negara di Kuala Kumpur hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson berkata perubahan kepimpinan negara dibangkitan untuk memastikan kerajaan yang memimpin negara lebih stabil dan kukuh.

“Saya hanya mampu menyampaikan dan akan mempersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah mencukupi tetapi kena tunggu ihsan dan budi bicara baginda untuk mendapat maklumat berikutnya.

“Tidak ada negara yang umumkan darurat atasi masalah Covid-19 sehingga terpaksa menggantung Parlimen,” katanya.

Pada 12 Januari PAKATAN menolak alasan pengisytiharaan darurat dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengekang penularan Covid-19 dan menggantung sidang Parlimen yang merencatkan
sistem demokrasi negara.

Majlis Presiden berkata undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencukupi untuk mengumpul segala sumber serta kekuatan untuk mencegah wabak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKP: Anwar gesa Putrajaya segera bantu golongan terkesan

SHAH ALAM, 12 JAN: Kerajaan perlu menyalur peruntukan segera sejumlah RM500 juta bagi meringankan beban golongan terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua pembangkang berharap bantuan tersebut akan mengelak lebih banyak perniagaan ditutup sekaligus menyebabkan ramai hilang pekerjaan serta dihempap kemiskinan.

“Banyak perniagaan seperti PKS atau IKS masih belum menerima subsidi upah dan perniagaan mereka di ambang penutupan kerana tidak lagi tertampung kesan pandemik.

“Selain itu kerajaan juga mesti segera melaksanakan semula moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan.

Anwar turut mengingatkan kerajaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri.

“Pusat pemindahan sementara banjir perlu dipantau rapi selain mesti melaksanakan tatacara operasi piawai (SOP) ketat untuk mencegah kewujudan kluster baharu,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata rakyat berhak serta memerlukan kepimpinan lebih baik dan tegas dalam saat getir ini.

“Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan yang bertanggungjawab dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Anwar saran kerajaan ambil kira pandangan pakar

SHAH ALAM, 7 JAN: Kerajaan digesa mempertimbang pandangan pakar kesihatan supaya meningkatkan ujian Covid-19 menggunakan Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) yang lebih murah berbanding RT-PCR.

Ketua pembangkang berkata pandangan golongan tersebut mempunyai asas serta hujah kukuh yang tidak boleh diabaikan.

“Mereka juga mencadangkan kerajaan supaya mempercepatkan proses pengawal seliaan sehingga vaksin Covid-19 tiba.

“Selain mengutamakan kumpulan berisiko tinggi, kerajaan wajar mempertimbangkan pemberian vaksin kepada pekerja migran untuk melindungi industri kita,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kos vaksin juga mesti dikawal dan harus kurang daripada RM100 setiap dos.

Malaysia mencatatkan 3,027 kes baharu Covid-19 hari ini, tertinggi sejak pandemik melanda negara. Daripada jumlah itu, 3,021 kes membabitkan penularan tempatan dan enam jangkitan import.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN sedia kerjasama dengan pihak tolak rasuah

SHAH ALAM, 3 JAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempertahankan prinsip tatakelola lebih baik serta menolak rasuah.

Ketua pembangkang berkata Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak akan menjalin kesepakatan dengan pihak yang masih bersikap zalim, angkuh serta mengamalkan rasuah.

“Sama ada kerajaan atau pembangkang, yang tinggalkan amalan rasuah jijik, memiskinkan rakyat. Kita akan bekerjasama untuk dasar ekonomi lebih baik bagi jaga kebajikan negara dan rakyat.

“Perjuangan mesti istiqomah, mesti hasratnya untuk bawa perubahan tapi jika tujuan hanya untuk ambil alih kuasa politik, mengadu domba, ini tidak akan memberi makna,” katanya ketika berucap pada Mjalis Sepetang 2021 Bersama Presiden Keadilan hari ini.

Anwar berkata kepimpinan harus kembali kepada tatakelola serta pemerintahan yang baik disamping menolak amalan rasuah yang diamalkan sejak dahulu.

“Ketika penularan Covid-19. Rakyat miskin, pengangguran banyak. Melayu sengsara, Cina berselerak, India tersisih dan penduduk pedalaman seolah-olah hilang pengharapan.

“Tapi masih ada yang pentingkan kontrak dan kekayaan sendiri. Adakah wajar kita pertahankan? Sebab tu kita kena yakin untuk selamatkan negara dari kesengsaraan dan derita,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Deepavali: Anwar seru rakyat pelbagai kaum hidup rukun

SHAH ALAM, 13 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat segera menghidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian kaum di negara ini demi menghayati semangat Deepavali.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata walaupun suasana perayaan tahun ini sedikit terkesan berikutan penularan Covid-19 namun penganut Hindu diminta terus tabah dan sentiasa berwaspada.

“Makna besar dari perayaan ini adalah kemenangan cahaya atas kegelapan, benar atas batil, dan juga keadilan atas kebobrokan.

“Perayaan ini juga dimaknai dengan memasang lampu-lampu dan cahaya yang menerangi jalanan dan rumah-rumah.

“Atas semangat Deepavali, kita rakyat Malaysia harus insaf dan segera menghidupkan kerukunan sebagai jaminan kepelbagaian di Malaysia,” katanya menerusi perutusan Deepavali di Facebook hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson juga mengucapkan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu.

“Mewakili keluarga majmuk KEADILAN, saya ucapkan “Deepavali Nal Valthukal” kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar gesa kaji tarif elektrik, elak pengguna terbeban

SHAH ALAM, 17 JUN: Kerajaan digesa menurunkan tarif elektrik bagi mengurangkan beban rakyat, kata ketua pembangkang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga diminta melanjutkan tempoh bayaran bil kerana ramai rakyat terkesan dengan penularan Covid-19.

“Sekarang bil elektrik melonjak naik. Alasan sangat remeh..kerana Covid-19 kita gunakan lebih tetapi lonjakan itu terlalu tinggi membebankan rakyat.

“Ada yang hantar (tunjukkan) notis kepada saya..mesti kena bayar kalau tak kena potong. Kita gesa TNB lanjutkan pembayaran. Jangan padam (potong) elektrik ikut jadual mereka,” katanya ketika siaran langsung di Facebook hari ini.

Semalam, Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan pihaknya sedang mengkaji semula mekanisme bagi menangani aduan orang ramai mengenai caj bil elektrik tinggi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, pengurusan TNB serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama-sama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti beberapa mekanisme untuk menangani rungutan yang disuarakan.