Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

88 klinik, fasiliti kesihatan swasta di Selangor tawar vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 OKT: Warga Selangor yang mahu mendapat suntikan vaksin Covid-19 boleh membuat tempahan di 88 klinik atau fasiliti kesihatan swasta di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berkenaan perlu menghubungi fasiliti terpilih terlebih dahulu bagi mendapatkan tarikh janji temu.

Menerusi info grafik dikongsikan di Facebook, Amirudin memaklumkan kaedah itu ditawar kepada golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu selain mereka yang terlepas suntikan dos pertama atau kedua.

Semua klinik dan fasiliti kesihatan swasta melibatkan daerah Petaling (22), Hulu Langat (18), Gombak (13), Kuala Langat (sembilan), Klang dan Sepang (lapan) manakala Kuala Selangor dan Sabak Bernam (tiga).

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan memaklumkan penduduk di Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi Covid-19 atau melengkapkan dos kedua boleh mendapatkan imunisasi secara percuma di 98 klinik swasta terpilih atau klinik kerajaan.