Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bina laluan basikal 80km di Shah Alam, usaha wujud bandar sukan

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang menyediakan laluan berbasikal sepanjang 80 kilometer (km) bagi menyokong aktiviti sihat berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini sepanjang 30km laluan berkenaan disiapkan sejak 2013, bermula sekitar pusat bandar Shah Alam dan terbaharu di Seksyen 7.

Menurutnya, baki 50km dilaksana secara berfasa membabitkan laluan baharu di Seksyen 13, 18, 20 dan 24 selain penyambungan laluan sedia ada di Seksyen 2, 5 dan 7.

“Inisiatif ini selaras matlamat pembangunan mapan di bawah bidang kesihatan untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar sukan serta rekreasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta program kayuhan berbasikal sempena pelancaran Hari Sukan MBSA 2021 di Pejabat MBSA Kota Kemuning di sini, hari ini.

Zamani berkata Shah Alam sesuai menjadi bandar sukan kerana mempunyai banyak tasik dan pusat rekreasi yang turut dikunjungi pengunjung dari luar.

“Masyarakat boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti joging, zumba dan senam robik,” katanya.