Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Kes denggi di Hulu Langat turun lebih 80 peratus

HULU LANGAT, 3 OKT: Kes demam denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan lebih 80 peratus setakat September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata lokaliti panas wabak itu juga semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

“Kes denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan drastik berbanding tahun sebelum yang mana daerah ini sering mencatat kes tertinggi.

“Saya percaya faktor kurangnya kes kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), masyarakat duduk di rumah dan mereka lebih prihatin untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini hari ini.

Pada masa sama, Najmuddin menasihatkan orang awam agar terus kekal berwaspada dan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kediaman dengan memusnahkan takungan Aedes.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Hulu Langat amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi terus berkurang,” katanya.