Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: 98.18 peratus penjawat awam lengkap terima vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jumlah penjawat awam yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 mencecah 98.18 peratus setakat ini kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Beliau berkata ini bermakna hanya baki 1.92 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih belum mengambil vaksin itu.

“Program vaksinasi masih lagi berjalan dan ia dibuat secara sukarela termasuk kepada kakitangan awam,” katanya pada sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang-Sri Gading) yang meminta penjelasan tentang status dan hak penjawat awam yang enggan mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap penjawat awam itu.

Abdul Latiff berkata jika kerajaan mahu mewajibkan penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin untuk menerima vaksin itu, ia memerlukan peraturan dan libat urus supaya boleh dilakukan dengan cara yang berhemah.

Tambah beliau setakat ini kerajaan belum bercadang mewajibkan pengambilan vaksin seperti di negara lain contohnya Singapura dan Kanada.

Namun katanya kerajaan setakat ini menggunakan pendekatan melarang mereka yang enggan menerima vaksin menikmati kemudahan termasuk tidak boleh makan di dalam kedai makan atau aktiviti lain yang boleh dinikmati oleh individu yang telah lengkap vaksin.

“Dengan cara begini lama-kelamaan mereka akan sedar, mereka tidak boleh hidup tanpa mengikuti nikmat yang orang lain (dapat), mereka juga terdedah kepada risiko jangkitan teruk jika dijangkiti Covid-19,” katanya.

– BERNAMA