Categories
AGENDA NASIONAL

Isu lompat parti antara pindaan perlembagaan dibentang hingga Julai depan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Beberapa siri pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dibentang dalam tempoh sekarang hingga Julai 2022 termasuk isu lompat parti, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pindaan juga akan menyentuh tempoh mengehadkan jawatan Perdana Menteri.

β€œIni dalam CSA (Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan) kita yang saya dikehendaki melaksanakannya, sekurang-kurangnya mesti dibentangkan sebelum atau semasa persidangan Julai nanti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar.

Beliau berkata perkara kritikal lain termasuk isu kerakyatan anak warganegara Malaysia (sama ada ibu atau ayah) yang lahir di luar negara turut diambil kira dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan berhubung isu kewarganegaraan ini hendaklah mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (5) Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan dan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga Ahli Parlimen.

β€œSekiranya cadangan pindaan menyentuh hak orang yang lahir sebelum Hari Malaysia untuk menjadi warganegara oleh sebab perhubungan mereka dengan Sabah dan Sarawak atau jaminan layanan sama rata antara yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Borneo dengan yang lahir dan bermastautin di negeri-negeri Melayu, persetujuan Yang di- Pertua Negeri Sabah dan Sarawak hendaklah diperoleh,” katanya.

Wan Junaidi berkata dalam hal in, mesyuarat pramajlis dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah dijadualkan pada 23 dan 24 Nov ini.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 24 Sept lepas telah bersetuju supaya Peguam Negara menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai keputusan kes Suriani Kempe & Ors lwn Kerajaan Malaysia & Ors (2021) 8 CLJ 666 berhubung isu kewarganegaraan.

Menyentuh saranan supaya pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan diteliti satu jawatankuasa dwipartisan, Wan Junaidi mencadangkan ia diteliti oleh jawatankuasa sedia ada yang ditubuh di bawah Parlimen.

-BERNAMA