Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif Data Raya bantu kumpul maklumat terkini, tingkat penyampaian kepada rakyat

SHAH ALAM, 10 DIS: Inisiatif Data Raya Selangor boleh membantu Kerajaan Negeri membuat keputusan tepat apabila berdepan situasi luar jangka yang memberi kesan kepada ekonomi seperti penularan Covid-19.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketepatan maklumat dikumpul menerusi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) boleh memperbaiki pemantauan dengan lebih baik.

“Kita perlu melihat keadaan ekonomi dan membuat keputusan berdasarkan waktu nyata supaya langkah tepat diambil dalam apa jua keadaan pada masa depan.

“Pelaburan Kerajaan Negeri untuk melaksana Data Raya Selangor yang menggunakan teknologi adalah satu langkah betul,” katanya pada program Table Talk menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan RM2 juta untuk melaksanakan inisiatif Data Raya Selangor.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan, penjanaan dan perkongsian data raya secara masa nyata

Pelaburan itu juga membolehkan kerajaan menggubal dasar lebih tepat dengan lebih tersusun dan selaras menjadikan Selangor sebagai Negeri Pintar yang unggul di Asia Tenggara menjelang 2025.

Mohd Afzanizam berkata secara keseluruhan beliau melihat Belanjawan Selangor 2022 mengimbangi keperluan masa kini terutama dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan rakyat pasca Covid-19.

Jelasnya, setiap kelompok menerima manfaat seperti golongan berpendapatan rendah (B40) yang menerima bantuan RM3,600 setahun di bawah Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) selain penjagaan kesihatan rakyat dengan pelaksanaan saringan serta rawatan.

“Tumpuan juga kepada aspek memudahkan menjalankan perniagaan, pendigitalan dan usaha menarik pelabur dengan menekankan sektor tertentu seperti aeroangkasa,” katanya.