Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Harga kit ujian Covid-19 mahal, kerajaan diminta turun bawah RM5

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan diminta menetapkan harga siling kit ujian kendiri air liur bawah RM5 sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata ketika ini penggunaan kit kendiri menjadi rutin masyarakat bagi memastikan diri bebas dari jangkitan Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat diberi kemudahan membuat tuntutan bayaran balik (pembelian kit kendiri). Agak tak munasabah kita dapat manfaat tetapi rakyat yang selalu guna sebelum ke tempat kerja, sekolah.

“Jadi mohon pertimbangkan mengurangkan dan meletakkan harga siling bawah RM5. RM4.90 itu agak baik tetapi jika belasan ringgit, RM10 terlalu mahal,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata rebat cukai pembelian kit RM1,000 yang boleh dituntut turut tidak terpakai kepada rakyat berpendapatan rendah.

Semalam isu kit kendiri turut dibawa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan antaranya Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Cha Kee Chin (Rasah).

Kerajaan pada September tahun lalu menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian kendiri air liur pada harga RM19.90.