Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.