Categories
NASIONAL

Bina Kondo Mewah Dicerun Dibawa Ke Sidang DNS

SHAH ALAM, 16 NOV : Adun Hulu Kelang, Saari Sungib akan membawa usul bantahan penduduk di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview berhubung pembinaan kondominium mewah di kawasan cerun berhampiran Highland Towers semasa Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan berlangsung Isnin depan.

Saari berkata, perkara itu kini berada di bawah pemantauan Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu untuk penilaian sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Beliau berkata, sebagai sebuah kerajaan prihatin, Kerajaan Negeri memandang serius perkara tersebut kerana ia membabitkan isu kepentingan serta keselamatan sebilangan besar penduduk di kawasan itu.

“Nyawa dan keselamatan penduduk adalah perkara paling penting dan menjadi tanggungjawab utama kerajaan untuk melindunginya. Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) adalah pro-rakyat maka kita akan jadikan rakyat sebagai kepentingan utama. Saya sudahpun ajukan perkara ini kepada Exco dan kita akan tunggu apa tindakan selanjutnya untuk mengatasi hal ini,” katanya.

Minggu lalu, kira-kira 50 penduduk di Taman Sri Ukay dan Taman Hillview mengadakan demonstrasi secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap dua projek pembangunan berprofil tinggi di kawasan cerun berhampiran kediaman mereka.

Salah satu projek di Lot 847 berhampiran Taman Hillview akan dibina tiga buah blok bangunan 40 tingkat, sementara satu lagi projek di Lot 5 membabitkan pembinaan lima blok bangunan 17 tingkat yang dibina berhampiran runtuhan kondominium Highland Towers.

Difahamkan, kedua-dua projek tersebut bakal dilaksanakan oleh dua pemaju yang berbeza.

Penduduk kemudian menyerahkan memorandum bantahan tersebut kepada salah seorang pembantu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Leave a Reply

Your email address will not be published.