Categories
EXCO SELANGOR

Pelanjutan lesen sementara penjaja dibincang dalam mesyuarat negeri

PUCHONG, 5 NOV: Cadangan untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihaknya akan membawa kertas cadangan dalam mesyuarat akan datang bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

“Ada kemungkinan kita akan melanjutkan dalam satu tempoh masa lagi,” katanya ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah semalam.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Inisiatif itu membolehkan penerima beroperasi secara sah hingga hujung tahun ini.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan bermula daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.