Categories
PBT SELANGOR

MBPJ beri 850 lesen sementara kepada peniaga, golongan terjejas

SUBANG JAYA, 3 MAC: Sebanyak 850 lesen sementara dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir berkata pemberian lesen itu adalah selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat di Selangor bangkit semula.

“Kita beri peluang perniagaan kepada penduduk dan peniaga yang terjejas dengan memberikan mereka lesen sementara selain menyediakan tempat bersesuaian.

“Oleh demikian, kita galakkan mereka yang ingin berniaga supaya memohon. Kita bertanggungjawab supaya perjalanan ekonomi penduduk di Petaling Jaya teratur,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Jom Shopping Kembali ke Sekolah di Pasaraya Mydin USJ Subang Jaya hari ini.

Pada 21 Februari EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19.

Pada 17 Disember tahun lalu, tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Jun ini.

Inisiatif itu sepatutnya tamat akhir tahun lalu namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terjejas bermula sejak Ogos tahun lalu. Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

EXCO: Lebih 10,000 peniaga terima lesen sementara, galak lebih ramai mohon

KLANG, 21 FEB: Kerajaan Negeri mengeluarkan lebih 10,000 lesen sementara kepada penjaja tanpa lesen dan golongan terkesan Covid-19 untuk menjalankan perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif tersebut adalah bukti Kerajaan Negeri sentiasa membantu serta memudahkan individu menjalankan perniagaan di tempat sesuai dan selamat.

“Kita mengalu-alukan peniaga kecil, peniaga di tepi jalan dan mereka yang berhasrat memulakan perniagaan memohon lesen sementara.

“Mereka hanya perlu datang ke pejabat PBT (pihak berkuasa tempatan) atau berjumpa ahli majlis. Pihak bertanggungjawab sedia membantu memberikan lokasi yang selamat dan sesuai,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penghargaan Klang Sejahtera Ke Arah Pembangunan Mampan 2020/2021 di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) hari ini.

Pada 17 Disember lalu, Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil untuk enam bulan lagi sehingga Jun tahun depan.

Sze Han berkata inisiatif itu sepatutnya tamat bulan ini namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

Pemberian lesen tersebut kepada peniaga tidak berlesen dan golongan terkesan pandemik bermula sejak Ogos tahun lalu. PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pemberian lesen niaga sementara dilanjut, bantu golongan terkesan pandemik

KUALA SELANGOR, 17 DIS: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil untuk enam bulan lagi sehingga Jun tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif itu sepatutnya tamat bulan ini namun diteruskan untuk membantu individu ingin berniaga kerana terkesan pandemik Covid-19.

“Semoga langkah diambil Kerajaan Negeri akan memberi kelegaan buat peniaga kecil kita,” katanya mengumumkan perkara itu ketika berucap merasmikan medan selera Pekan Bestari Jaya di sini, hari ini.

Sze Han berkata inisiatif itu membuktikan Kerajaan Selangor memahami kesukaran individu terkesan akibat Covid-19 yang berniaga secara kecil-kecilan bagi meneruskan kehidupan.

“Di Selangor, kita ada hampir 200,000 peniaga kecil dan sederhana. Jika kita tidak bantu rakyat dan peniaga, kesan sosioekonomi kepada masyarakat sangat besar.

“Oleh itu, tahun lalu Kerajaan Negeri setuju agar lesen sementara diberikan kepada rakyat yang mahu berniaga dan menjaja di kawasan awam dengan syarat tidak mendatangkan kacau ganggu,” katanya.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan bermula daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Pelanjutan lesen sementara penjaja dibincang dalam mesyuarat negeri

PUCHONG, 5 NOV: Cadangan untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen sementara kepada peniaga kecil akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pihaknya akan membawa kertas cadangan dalam mesyuarat akan datang bagi mendapatkan pandangan berhubung perkara itu.

“Ada kemungkinan kita akan melanjutkan dalam satu tempoh masa lagi,” katanya ditemui selepas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Puchong Indah semalam.

Pada 3 Julai, Sze Han memaklumkan sebanyak 8,386 lesen sementara dikeluarkan antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

Inisiatif itu membolehkan penerima beroperasi secara sah hingga hujung tahun ini.

Pemberian lesen sementara kepada peniaga tidak berlesen bermula sejak Ogos tahun lalu dengan bermula daripada Majlis Bandaraya Shah Alam.

Pihak berkuasa tempatan perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
PBT SELANGOR

MPKL belum lulus lesen sementara kilang bateri di Jenjarom

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) belum mengeluarkan lesen sementara kepada syarikat pengusaha pemasangan bateri di kawasan perindustrian Jenjarom kerana masih belum mematuhi beberapa syarat dan kriteria.

MPKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara kriteria tersebut ialah tidak mendapat kelulusan pelan bangunan kerana pihak Syarikat Federal Power Holding Sdn Bhd itu membuat pengubahsuaian di dalam kilang tersebut bagi mematuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Jika pihak syarikat tidak mematuhi dan melanggar syarat yang ditetapkan, pihak MPKL akan menarik semula lesen sementara yang akan dikeluarkan dan mengambil tindakan tegas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata persetujuan agar kelulusan lesen perniagaan penuh boleh dipertimbangkan sekiranya pihak syarikat mematuhi semua syarat yang ditetapkan JAS dan MPKL.

“Keputusan ini juga mengambil kira sepanjang tempoh dua tahun dengan lesen perniagaan sementara dikeluarkan dengan diperbaharui setiap tempoh enam bulan melalui kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MPKL,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus berkenaan pembukaan syarikat tersebut bersama komuniti penduduk Jenjarom, Jabatan Alam Sekitar Selangor, wakil Pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat, Ketua Polis Daerah Kuala Langat serta wakil-wakil penduduk hari ini.

Rancangan bagi pembukaan semula operasi kilang syarikat berkenaan sebelum ini mendapat bantahan penduduk setempat dan badan bukan kerajaan (NGO) susulan kebimbangan terhadap pencemaran dan keselamatan mereka.

Penduduk dan NGO terlibat turut menyerahkan memorandum bantahan kepada MPKL susulan daripada penolakan operasi kilang terbabit.

Mengulas lanjut, Amirul Azizan berkata pihak Jabatan Alam Sekitar dan MPKL memberikan jaminan kepada kerajaan negeri berhubung pemantauan berterusan yang akan dilakukan setiap minggu tanpa mengira aduan yang dilaporkan bagi memastikan syarikat mematuhi syarat-syarat dan peraturan-peraturan ketat yang dikenakan.

MPKL juga merujuk kepada JAS berkenaan pembinaan kilang yang didirikan di kawasan perindustrian sederhana Jenjarom serta cadangan aktiviti pemasangan bateri yang dibenarkan di kawasan perindustrian sederhana dan ia mematuhi syarat serta jarak zon penampan iaitu tidak kurang dari 150 meter.

Beliau berkata pihak JAS juga memutuskan dan menetapkan syarat yang perlu dipatuhi oleh Syarikat Federal Power Holding antaranya, aktiviti yang dibenarkan terhad kepada pemasangan ‘rechargeable solar battery (bateri AGM/VRLA/SLA) dengan kuantiti sebanyak 6,800 unit sehari dan sebarang proses peleburan dan pembuatan lead plate adalah tidak dibenarkan.

“Pengubahsuaian pelan lantai juga perlu dilakukan bagi mematuhi pelan lantai yang diluluskan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Permudah lesen niaga sementara, bantu golongan hilang pendapatan

SELAYANG, 21 SEPT: Kerajaan Selangor mempermudah permohonan permit berniaga sementara kepada penjaja termasuk proses kelulusan singkat, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata langkah itu sebagai inisiatif Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membantu peniaga baharu terutama yang hilang pendapatan akibat Covid-19.

“Komitmen Kerajaan Negeri dibuktikan apabila lebih 8,300 lesen sementara dikeluarkan seluruh PBT negeri ini sejak dilancarkan pada Ogos tahun lalu hingga sekarang.

“PBT akan mengenal pasti lokasi sesuai untuk peniaga menjalankan operasi mereka, kita tidak mahu tapak bermasalah atau menganggu lalu lintas,” katanya.

Terdahulu beliau menyerahkan 17 permit sementara kepada peniaga di Taman Selayang Mutiara dan Kampung Selayang Indah dekat sini.

Sementara itu Sze Han berkata pihaknya akan membincangkan sama ada tempoh sah lesen sementara yang berakhir pada 31 Disember ini dilanjutkan atau sebaliknya.

“Kita akan bincangkannya, apabila mendapat kelulusan MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) saya akan umumkan,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Penjaja Taman Puncak Jalil lega terima lesen niaga sementara MBSJ

SUBANG JAYA, 8 SEPT: Seorang peniaga nasi ganja di Taman Puncak Jalil di sini mengakui tidak lagi perlu berniaga dalam ketakutan selepas memperoleh lesen sementara.

Mohd Hafiz Mahat, 43 berkata sebelum ini setiap kali berniaga dia berada dalam situasi bimbang kerana khuatir beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Saya dah berniaga lebih tiga tahun secara ‘rambo’… ada la beberapa kali di saman dengan denda RM80 setiap kali di saman.

Penjual nasi ganja, Mohd Hafiz Mahat, 43. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Lepas dapat lesen rasa lega kerana sekarang dah ‘halal’. Alhamdulilah terima kasih kepada MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya) atas peluang yang diberikan ini,” katanya pada majlis penyerahan lesen sementara di sini, semalam.

Menurut Mohd Hafiz dia memohon lesen berkenaan pada awal tahun ini.

Penjual nasi lemak, Normiza Halim, 39 pula tidak menjangka akan memperoleh lesen kerana baru menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan beberapa hari yang lalu.

Beliau berkata sebelum ini dia berniaga di Kuala Lumpur dan berpindah ke kawasan itu kerana dimaklumkan MBSJ memudahkan urusan permohonan mendapatkan lesen sementara.

“Inilah rezeki sepanjang dua tahun berniaga dengan tujuan membantu suami yang hilang kerja ketika PKP (perintah kawalan pergerakan) kini memperoleh lesen,” katanya.

Semalam, seramai 120 peniaga menerima lesen sementara dari MBSJ yang disampaikan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan berkata langkah tersebut untuk membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana semula pendapatan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor beri lebih 8,000 lesen sementara kepada penjaja

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kerajaan Selangor telah mengeluarkan 8,386 lesen sementara antara Ogos tahun lalu hingga April tahun ini bagi memudahkan individu terkesan Covid-19 menjalankan perniagaan.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata inisiatif itu membolehkan penerima beroperasi secara sah hingga hujung tahun ini.

“Tahun lalu seramai 6,361 telah menerima lesen terbabit manakala dari Januari hingga April ini, kita keluarkan 2,025 permit.

“Pemberian lesen dijangka meningkat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan. Jadi kita minta mana-mana individu yang mahu berniaga segera memohon lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing,” katanya kepada SelangorKini.

Menurut Sze Han, Majlis Perbandaran Kajang mengeluarkan lesen tertinggi dengan 2,220 diikuti Majlis Perbandaran Petaling Jaya (1,642) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (1,172).

“Semua penerima merupakan rakyat negara ini dan kebanyakan mereka menjual makanan. Warga asing tidak dibenarkan menggunakan lesen ini.

“Dengan adanya lesen, penerima boleh beroperasi hingga hujung tahun. Setakat ini kita masih belum membuat keputusan sama ada menyambung tempoh itu atau sebaliknya kerana perlu melihat situasi semasa nanti,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Individu mahu berniaga ketika PKP digalak mohon lesen sementara PBT

SHAH ALAM, 29 JUN: Individu terjejas Covid-19 dan bercadang memulakan perniagaan kecil-kecilan digalakkan memohon lesen sementara dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO kerajaan tempatan berkata langkah itu akan memudahkan urusan perniagaan selain memastikan peniaga beroperasi di kawasan selamat serta tidak mengganggu lalu lintas.

“Kita jangka jumlah penjaja meningkat susulan PKP 3.0 dilanjutkan. Pandemik ini menyebabkan kehidupan makin terdesak dan masyarakat akan memilih bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita galakkan mereka pohon lesen sementara. Kerajaan Selangor sedia membantu penduduk bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini hari ini.

Pada Mac, Dato’ Menteri Besar menyarankan PBT memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi itu juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil dan jualan but kereta.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj serah lesen sementara kepada hampir 1,200 penjaja

SHAH ALAM, 30 SEPT: Hampir 1,200 penjaja dan peniaga kecil sekitar Kajang menerima lesen sementara bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah, kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata lesen pasca Covid-19 yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh digunakan sehingga 31 Disember tahun depan namun perlu diperbaharui mengikut tempoh ditetapkan.

“Pemberian lesen itu antara inisiatif Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah (B40) menjana pendapatan susulan pandemik wabak,” katanya selepas menyerahkan permit kepada penjaja di MPKj semalam.

Sementara itu, Sze Han berkata PBT itu juga sudah mengeluarkan hampir 10,000 lesen perniagaan kepada penjaja sekitar kawasan berkenaan.

Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara dilanjut sehingga penghujung 2021 selepas melihat kejayaan program itu membantu golongan terkesan.

Bagaimanapun had sah permit bergantung kepada PBT masing-masing mengikut kesesuaian semua faktor.

Categories
AGENDA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Program lesen sementara dilanjut hingga hujung tahun depan

SUBANG JAYA, 11 SEPT: Kerajaan Selangor memutuskan program pemberian lesen sementara kepada penjaja dan peniaga kecil dilanjut sehingga Disember tahun depan.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han berkata keputusan tersebut dibuat dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) selepas melihat program itu membantu golongan tersebut.

“Bagaimanapun had sah permit ini bergantung PBT (pihak berkuasa tempatan) masing-masing, mengikut kesesuaian semua faktor.

“Ada yang perlu perbaharui lesen setiap bulan, ada tiga bulan dan enam bulan. Ia bergantung kepada syarat,” katanya selepas Program Penyerahan Lesen Sementara Pasca Covid-19 hari ini.

Menurut Sze Han pihaknya berpuas hati dengan inisiatif berkenaan kerana memberi impak baik dan efektif kepada penjaja.

Beliau berkata setakat ini tiada laporan diterima berhubung pelanggaran syarat seperti menyewakan permit kepada pihak ketiga.

“Kita ingatkan peniaga supaya ikut ketetapan dibuat. Paling utama jaga keselamatan, kesihatan dan tidak ‘mengalibabakan’ lesen mereka.”

Pada 16 Ogos lalu, Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit niaga sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja yang kemudian diikuti semua PBT lain.

Categories
BERITA UTAMA PBT PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MPK jadi PBT kedua bantu penjaja tidak berlesen

KLANG, 19 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja tidak berlesen selepas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Langkah tersebut memberi manfaat kepada hampir 500 penjaja dan peniaga kecil meneruskan operasi mereka hingga hujung tahun ini.

Untuk permulaan, pemberian lesen sementara secara berperingkat itu diserahkan kepada 35 penerima hari ini dan dijangka semua pemohon menerima lesen masing-masing dalam tempoh sebulan.

Dengan adanya lesen berkenaan, kumpulan itu dibenar beroperasi dan tiada tindakan undang-undang dikenakan.

Minggu lalu, MBSA memberikan permit perniagaan sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh melalui program penyusunan semula peniaga dan penjaja kawasan berkenaan.

Pemohon dikenakan caj RM90 untuk mendapatkan lesen dan perlu memperbaharuinya setiap tiga bulan.