Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kes denggi di Selangor meningkat 798, satu kematian

SHAH ALAM, 29 MEI: Sebanyak 798 kes denggi dicatatkan di Selangor dengan satu kematian bagi minggu epidemik ke-21 iaitu pada 17 hingga 23 Mei, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata jumlah mingguan itu meningkat 23.9 peratus berbanding minggu epidemik ke-20 hanya 644 kes.

Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika Majlis Apresiasi Sedekad Pusat Wanita Berdaya di Shah Alam Convention Centre pada 7 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Terdapat satu kematian dilaporkan pada minggu epidemik ke-21/2020 menjadikan kumulatif kematian sebanyak 28 kes, peningkatan 3.7 peratus berbanding pada minggu epidemik sama tahun lalu 27 kes,” kata beliau di Facebook.

Siti Mariah memberitahu, demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

“Demam denggi berdarah mempunyai tanda seperti demam denggi biasa tetapi mempunyai kesan lebam, pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi serta ia boleh diikuti dengan pendarahan di seluruh badan yang akhirnya boleh membawa maut,” jelas beliau.

Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala demam denggi perlu mendapatkan rawatan segera.

Siti Mariah turut mengingatkan penduduk Selangor, dalam usaha mencegah Covid-19, mereka juga harus mengamalkan langkah pencegahan denggi seperti memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk, membuang bekas takungan air dan menggunakan semburan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB ucap takziah tiga beradik mati lemas di Terengganu

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar mengucapkan takziah kepada keluarga tiga beradik yang mati lemas ketika mandi di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong di Hulu Terengganu Rabu lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari mengingatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika musim hujan lebat dan ribut yang melanda.

“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah menyayat hati tiga beradik yang meninggal dunia akibat lemas di Terengganu.

“Peringatan di waktu musim hujan lebat dan ribut yang sedang melanda. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga,” kata beliau di Twitter hari ini.

Dalam tragedi pada jam 6.30 petang, tiga beradik lelaki yang meninggal dunia ialah Umar Iskandar Mohamad, 21, Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 15 tahun.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Adakah anda yakin suhu badan disaring betul?

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas dan kini PKP Bersyarat (PKPB), boleh dikatakan ramai yang sudah mengamalkan normal baharu dalam urusan kehidupan seharian.

Daripada budaya kerja, bidang pembelajaran kepada perniagaan, pergantungan kepada teknologi digital semakin ketara. Begitu juga amalan tatacara operasi piwai (SOP) yang disarankan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk penjarakan sosial.

Hendak masuk ke mana-mana pejabat dan pusat beli-belah juga tidak semudah dahulu. Setiap daripada kita pada masa ini wajib melepasi pemeriksaan suhu badan sekiranya ingin melangkah masuk ke dalam bangunan.

Benarlah, pandemik Covid-19 merubah banyak perkara dalam rutin kehidupan kita.

Hanya yang bacaan suhu badan memenuhi SOP akan mendapat lampu hijau untuk masuk daripada pengawal keselamatan yang ditugaskan untuk membuat pemeriksaan. Langkah ini amat penting untuk memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

Namun begitu, adakah pengambilan suhu itu benar-benar mengikut SOP yang ditetapkan? Persoalan paling penting, adakah anda yakin bahawa bacaan suhu itu adalah tepat mahupun sebaliknya?

Suhu rendah

Ini yang dipersoalkan oleh Pakar Paru-Paru Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin dalam satu ciapan di Twitternya baru-baru ini, selepas mengunjungi sebuah restoran di sekitar kawasan Petaling Jaya.

Beliau yang ketika itu sedang menunggu giliran untuk diperiksa suhu badan oleh pekerja restoran berkenaan terkejut sebaik melihat segala rekod suhu badan pelanggan sebelum ini yang dicatatkan mereka di sebuah buku.

Agak luar biasa menurut Dr Helmy kerana kesemua suhu badan pelanggan yang datang ke restoran itu adalah di bawah suhu 36.0 darjah Selsius iaitu 33.0, 32.0, 31.5, 33.5, dan paling rendah adalah 29 darjah Selsius, sesuatu yang langsung tidak masuk akal!

Ini kerana suhu badan manusia normal adalah antara 36.0 darjah selsius sehingga 37.5 darjah selsius dan sekiranya melebihi suhu berkenaan seseorang itu dikira demam dan tidak boleh dibenarkan masuk ke dalam sesebuah premis.

Seperti diketahui, gejala utama Covid-19 adalah demam dan saringan paling mudah untuk memastikan pelanggan sesebuah restoran, pekerja ke pejabat atau sesiapa sahaja untuk melangkah ke dalam bangunan merupakan seorang yang sihat adalah melalui bacaan suhu badan menggunakan termometer.

Itu yang ditetapkan dan wajib dipatuhi sektor ekonomi kerana kegagalan mematuhi SOP akan membuatkan mereka berhadapan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Tak guna buat saringan suhu badan sekiranya peralatan yang digunakan tak jitu. Use the right equipment and check your thermometers – we don’t want false assurances! ” kata beliau di akaun @dochelmy.

Bernama yang menghubungi beliau baru-baru ini untuk bertanya lebih lanjut mengenai ciapannya itu dimaklumkan bahawa, keadaan tersebut jelas membuktikan pelanggan yang dibenarkan masuk ke restoran berkenaan tidak disaring sebetulnya dan sudah tentu ia membimbangkan.

Ini kerana kemungkinan besar ada antara mereka mempunyai suhu badan lebih daripada 37.5, mempunyai gejala Covid-19 seperti demam tetapi dibenarkan masuk apabila bacaan suhu rendah kerana tidak disaring sebetulnya oleh pihak premis.

Hal ini menjadi kerisauan Dr Helmy kerana berkemungkinan pelanggan tidak disaring sebetulnya ini merupakan pesakit Covid-19 tanpa mereka sedari yang akhirnya menjangkiti orang lain.

Kena tahu cara guna

“Kalau tengok catatan buku tersebut ada yang mempunyai suhu serendah 29 darjah Selsius dan ia sangat tidak logik kerana itu sudah suhu tahap mayat. Suhu badan manusia walau di mana saja kita berada termasuklah di negara sejuk, akan tetap sama antara 36.0 darjah Selsius sehingga 37.5 darjah Selsius.

“Sekiranya ada yang mempunyai suhu bawah 36.0 darjah Selsius adalah disebabkan mereka sakit seperti penyakit hypothermia tetapi tidaklah sampai serendah 29 darjah Selsius.

“Perkara ini perlu diambil perhatian jitu kerana normal baharu yang menetapkan setiap individu diperiksa dahulu suhu badan sebelum masuk tidak akan berguna sekiranya tidak disaring sebetulnya.

“Bayangkan, pemilik restoran sudah bersedia lengkap mematuhi SOP ditetapkan tetapi disebabkan kesilapan bacaan suhu badan, kita bimbang ada kes demam berkait dengan Covid-19 terlepas masuk,” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp.

Menurut Dr Helmy, ada beberapa faktor yang menyebabkan pembacaan suhu itu tidak tepat antaranya disebabkan kesilapan pengendalian alat berkenaan kerana tidak memahami sebetulnya tatacara penggunaan, kualiti mahupun aspek menyelaraskan fungsi tentukur termometer tidak diambil perhatian.

Walhal, amat penting sebenarnya alat tersebut diselaraskan fungsinya (menentukur) sebelum digunakan buat pertama kali dan juga sekiranya ia terjatuh mahupun apabila diguna berulang kali bagi memastikan bacaan yang akan diambil nanti adalah tepat.

Selain perlu juga memahami termometer mempunyai pelbagai jenis dan setiap alat pengimbas suhu ini adalah berbeza cara penggendaliannya.

Paling popular digunakan ketika ini oleh kebanyakan syarikat, restoran adalah termometer temporal artery atau juga dipanggil termometer dahi yang menggunakan sinaran inframerah untuk menentukan suhu pada dahi kerana agak mudah mengendalikannya serta tidak berlakunya sentuhan.

“Sebenarnya, pemeriksaan suhu paling tepat adalah menggunakan termometer merkuri di mana perlu meletakkannya di bawah lidah selama beberapa minit. Ia susah sikit berbanding dengan yang dipakai pada dahi,” jelas Dr Helmy.

Berbeza

Sementara itu, menurut Pakar Perubatan Kecemasan KKM, Dr Ahmad Zakimi Abdullah, kepentingan untuk mengetahui fungsi setiap termometer ini penting bukan sahaja untuk memastikan bacaan suhu yang diambil tepat bahkan juga disebabkan cara bacaan suhu alat pengimbas itu adalah berbeza antara satu sama lain,

Berkongsi maklumat berkenaan di laman sosial, Facebook miliknya selepas berhadapan insiden hampir serupa dengan Dr Helmy, beliau terkejut apabila ada penjaga pintu di satu premis yang dikunjunginya tidak tahu suhu yang betul untuk dibenarkan masuk.

“Tak semua orang tahu kan. Oleh itu, kita perlu memberi sedikit penerangan tentang tatacara penggunaan termometer untuk saringan awal.

“Suhu badan normal adalah sekitar 36 darjah Selsius hingga 37.4 darjah Selsius. Maka suhu 37.5 darjah Selsius atau lebih sudah dikira anda demam. Ini hanya untuk bacaan ‘thermoscan infrared’.

“Bacaan suhu dengan termometer jenis lain dikira demam adalah berbeza; ketiak >37.2 darjah Selsius, mulut >37.8 darjah Selsius dan rektum (punggung) atau telinga >38 darjah Selsius.

Menurut beliau, cara mengambil suhu tujuan saringan pintu masuk, mestilah dengan menggunakan termometer jenis infrared gun demi mengekalkan penjarakan satu meter.

“Jarak menggunakan termo gun ini taklah terlalu jauh kerana ia akan memberi ralat dan tidak tepat pada bacaan. Perlu lihat tatacara penggunaan termo gun mengikut pengeluar.

“Penyaring perlu memakai PPE sekurang-kurangnya topeng muka. Penjarakan satu meter adalah diwajibkan. Bateri termometer ini kena sentiasa diperiksa secara berkala juga,” katanya dalam status tersebut.

Golongan berisiko

Sememangnya, hal ini tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, media sebelum ini ada melaporkan terdapat ramai individu membawa golongan berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti kanak-kanak dan warga emas ke tempat awam sejak PKPB dilaksanakan pada 4 Mei lepas.

Justeru, bayangkanlah apabila golongan berisiko tinggi ini berada di tempat awam yang tidak disaring betul suhu bacaannya dan berkemungkinan besar terdedah kepada jangkitan Covid-19 tanpa disedari. Bukankah ini membahayakan mereka?

Kerana itulah, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan adalah sebaiknya setiap daripada kita mengelak untuk berada di tempat awam sekiranya tidak ada keperluan penting biarpun sesuatu aktiviti itu dibenarkan mahupun premis itu lengkap dengan SOP ditetapkan.

Jangan mudah selesa dengan angka semasa Covid-19 yang ketika ini berlegar sekitar dua digit. Kecuaian dan kelekaannya memungkinkan Malaysia berdepan peningkatan penularan Covid-19 secara mendadak pada pertengahan Jun berdasarkan pemodelan dan ramalan Covid-19 oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) .

“Janganlah kita sesekali sia-siakan pencapaian agak cemerlang yang gigih lagi tekun kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 sehingga dikitiraf di peringkat dunia!

“(Apa yang kita lalui hari ini adalah) “norma baharu yang bersifat sementara sahaja” sehingga pandemik ini dapat diperangi dengan jayanya tidak lama lagi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Bekalan air di Hulu Selangor belum pulih

SHAH ALAM, 29 MEI: Penduduk Hulu Selangor masih terputus bekalan air sehingga pagi ini berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik yang dihenti tugas kelmarin belum beroperasi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, hujan lebat semalam menyebabkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak terpaksa menghentikan kerja menyedut baki diesel yang mencemari Sungai Selisik dan akan disambung pagi ini.

“Air Selangor tidak dapat menjangka bila masalah bekalan pulih. Henti tugas LRA Sungai Selisik menyebabkan bekalan air bersih tidak dapat disalurkan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata, pihaknya akan menghantar lori tangki bagi memudahkan penduduk yang terjejas mendapat bekalan air.

Kelmarin, kemalangan melibatkan lori tangki diesel dan van keselamatan di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan diesel mengalir ke Sungai Siah.

Susulan itu, LRA Sungai Selisik yang terletak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan terpaksa dihenti tugas hingga mengakibatkan lapan kawasan mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

227 individu dikuarantin terima bantuan khas hilang pendapatan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Seramai 227 individu yang dirawat dan dikuarantin menerima bantuan khas hilang pendapatan sebanyak RM100 sehari melibatkan jumlah RM309,700 daripada Tabung Covid-19 setakat kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Mohamad Azhan Md Amir berkata ada dalam kalangan pesakit terlibat yang menjalani tempoh rawatan dan dikuarantin tidak sampai 14 hari.

“Jumlah pemberian bergantung kepada berapa hari mereka dikuarantin dan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, Nadma telah menerima lebih 8,000 permohonan untuk bantuan khas itu sejak Tabung Covid-19 dilancarkan 11 Mac lepas,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Tabung Covid-19 terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan tapisan dengan bantuan KKM untuk memastikan semua urusan pengagihan bantuan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekangan apabila terdapat maklumat yang diberikan oleh pemohon tidak lengkap.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang ingin memohon bantuan supaya membaca dan memahami syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memastikan permohonan dapat diuruskan dengan cepat.

Beliau berkata, bantuan itu hanya dikhaskan kepada warga Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh kuarantin oleh KKM selama 14 hari serta mereka yang menjalani rawatan di wad hospital akibat Covid-19.

Sementara itu, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 diserahkan kepada kepada 87 waris mangsa yang terkorban kerana Covid-19, melibatkan jumlah keseluruhan RM435,000.

Sehingga kelamrin, Tabung Covid-19 telah mengumpulkan sebanyak RM42.924 juta hasil pelbagai sumber termasuk sumbangan awal kerajaan, institusi diraja, anggota pentadbiran daripada 25 kementerian, korporat serta individu.

Menyentuh mengenai isu penipuan dalam talian, Mohamad Azhan menasihati orang ramai agar sentiasa merujuk kepada laman web rasmi Nadma dan talian 03-8870 4800 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri kesihatan jumpa MB bincang isu Covid-19

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagi membincangkan usaha mencegah penularan Covid-19.

Setiausaha politik kepada Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan di Kediaman Rasmi Menteri Besar tengah hari semalam turut dihadiri EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud, kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri.

“Perbincangan adalah berkaitan usaha menangani penularan wabak Covid-19 di Selangor. Selain itu, perbincangan turut menyentuh kerjasama Kerajaan Negeri dan KKM dalam penyesuaian norma baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” kata Borhan Aman Shah dalam kenyataan media.

Borhan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjong Sepat menafikan sekeras-kerasnya, dakwaan bahawa terdapat pertemuan sulit di antara Dato’ Menteri Besar dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama rakyat penentu kejayaan putus rantaian Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Semalam, genap seminggu tiada kematian direkodkan untuk kes Covid-19 di negara ini, manakala jumlah pesakit sembuh pula mencatatkan hampir sembilan kali ganda berbanding 10 kes positif baharu virus itu.

Ia merupakan angka terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan sekali gus menjadi pentunjuk langkah dilakukan kerajaan sebelum ini berada di landasan yang tepat.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pada masa yang sama trend penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat setempat juga semakin berkurangan.

Dalam hal ini, selain petugas barisan hadapan yang tidak jemu memerah keringat dan berkorban masa, penghargaan juga harus diberikan kepada rakyat yang patuh kepada nasihat dan tatacara oeperasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tanpa kerjasama dan pematuhan ini, perkara ini tidak mungkin dapat dicapai.

Walaupun tidak dinafikan ada segelintir rakyat yang degil dengan melanggar SOP PKPB, ibarat sebuah keluarga, kadangkala ada anak yang taat pada orang tua, kadangkala ada anak yang ‘nakal’ menyebabkan mereka terpaksa dihukum untuk memberikan pengajaran.

Jika bilangan ‘anak yang nakal’ ini terlalu ramai, tentu kerajaan akan menghadapi masalah untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Lihat sahaja keadaan yang berlaku di negara jiran, Indonesia apabila barisan petugas kesihatan kini mula berputus asa kerana semakin ramai rakyat tidak mengendahkan Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) yang dikeluarkan oleh kerajaan Indonesia sejak 15 Mac lepas.

Ia menyebabkan bilangan kes positif Covid-19 telah melebihi 23,000.

Tanda pagar #Indonesiaterserah juga menjadi sohor kini (trending) di media sosial dengan warganet Indonesia memberi komen, sindiran, dan menggunakan ‘meme’ sebagai tanda tidak puas hati kepada mereka yang tidak endah kepada arahan PSBB.

Sudah tentu kita tidak ingin perkara ini terjadi di negara kita, seperti kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pematuhan PKPB oleh masyarakat akan meringankan beban tugas petugas barisan hadapan dan ia penting untuk kerajaan merangka ‘exit plan’ sebelum PKPB ditamatkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelbagai perkara diperhalusi sebelum sekolah dibuka

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Pelbagai perkara akan dipertimbangkan termasuk kesediaan guru untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan terhadap murid sebelum sekolah kembali dibuka, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan sama ada Kementerian Pendidikan bersedia untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19.

“Mungkin kita perlu memastikan dengan Kementerian Pendidikan sama ada mereka dapat mematuhi SOP baharu di sekolah-sekolah…nak memeriksa, nak basuh tangan, nak ambil (suhu), dan adakah alat-alat semua dah sedia?”

“Dalam kelas yang saya tahu biasanya dekat 40 orang, mana boleh duduk 40 orang rapat-rapat. Sekarang tinggal separuh sahaja… maknanya kalau separuh, dah jadi dua kelas, kalau 20 orang sekelas, tak tahu jarak macam mana,” katanya dalam sidang video bersama Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang video 40 minit itu Muhyiddin berkata, jika bilangan pelajar dalam satu kelas dikurangkan kepada 15 orang, ia sudah tentu akan melibatkan bilangan kelas yang banyak dan dalam hal ini memerlukan sesi persekolahan dilaksanakan pada sesi pagi dan petang.

Semua perkara itu, katanya, antara perkara yang diambil kira dan sedang diperhalusi sebelum sekolah kembali dibuka dan setakat ini belum ada tarikh yang ditetapkan untuk sekolah mula dibuka.

Semua sekolah di negara ini ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lepas bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini berkata, pembukaan semula sesi persekolahan tidak akan dibuat secara tiba-tiba sebaliknya pengumuman tarikh akan dibuat selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.

“Sekarang ini belum pasti lagi, belum ada tarikh yang ditetapkan. Saya rasa pada satu peringkat, berdasarkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), semuanya ok, semua orang akan dapat menguruskannya, guru dan kanak-kanak di sekolah dapat mengikuti arahan… inilah yang ingin diketahui oleh ibu bapa,” kata Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata persoalan mengenai bila sekolah akan dibuka semula banyak dibangkitkan oleh ibu bapa.

“Saya jelaskan kepada mereka berdasarkan apa yang kita putuskan sebelumnya hanya yang nak ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan … yang SPM kita belum menetapkan tarikhnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat majlis kahwin di kuil semasa PKP Bersyarat

PUTRAJAYA, 25 MEI: Polis sedang menyiasat satu majlis perkahwinan yang dilangsungkan di sebuah kuill Hindu di Serdang yang didakwa dihadiri ratusan tetamu, kata Menteri Kanan (Kluster) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, tindakan tersebut nyata melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kelonggaran rumah ibadat kaum lain yang hanya akan bermula pada 10 Jun depan.

“Apa yang berlaku (majlis perkahwinan) adalah melanggar undang-undang dan difahamkan polis akan mengambil tindakan termasuklah kepada mereka yang menghadirinya,”katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini hari ini.

Katanya, kelonggaran aktiviti di rumah ibadat mengikut SOP dan setakat ini hanyalah kepada aktiviti keagamaan, perkahwinan dan acara kematian belum dibenarkan.

Semalam, tular satu video yang menunjukkan sebuah kuil di Serdang dikunjungi hampir 100 penganut agama Hindu dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan PKPB bagi membendung pandemik Covid-19

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan pada satu sidang media di Seri Kembangan berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan ke atas laporan berlakunya majlis perkahwinan tersebut.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang risaukan keselamatannya selepas melakukan pendedahan itu yang didakwanya melanggar PKPB.

“Pengadu terdahulu telah memaklumkan gambar peribadinya diviralkan oleh beberapa individu di aplikasi WhatsApp ekoran pendedahannya dalam satu artikel di sebuah laman web bertajuk ‘Majlis Perkahwinan Dilangsungkan di Kuil Ibadat Taman Serdang Raya, Seri Kembangan, Selangor.

“Susulan itu, pengadu yang risau akan keselamatannya telah meminta polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menurut beliau, polis telah berjumpa dengan pihak pengurusan kuil yang mengakui majlis itu berlangsung semalam dengan kehadiran 20 hingga 30 orang yang pada mulanya menafikan perkara itu.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan 2020) dan siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan kesemua suspek.

Justeru, Ismadi meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh menggugat keamanan dan mendatangkan kegusaran awam, dan menasihati masyarakat mematuhi SOP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tahanan imigresen dijangkiti Covid-19 dihantar ke MAEPS mulai esok

SHAH ALAM, 25 MEI: Semua pendatang asing tanpa izin (PATI) yang positif wabak di Depot Tahanan Imigresen akan dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mulai esok untuk rawatan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti kes positif di depoh dan semua pegawai bertugas serta pembekal keperluan seperti makanan turut wajib menjalani saringan bagi mengelakkan penularan wabak.

“Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depoh-depoh(tahanan) Imigresen ini merupakan tempat terkawal. PATI dan pegawai imigresen yang bertugas akan disaring untuk Covid-19 dan yang didapati positif akan dihantar ke pusat kuarantin khas ini,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, setakat ini terdapat 4,342 PATI yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen dengan 1,654 di Semenyih, 1,334 di Bukit Jalil manakala 1,358 orang di Sepang.

Katanya, pagar kawat berduri sudah dipasang di sekeliling MAEPS bagi mengelakkan PATI melarikan diri ketika mendapatkan rawatan manakala warga tempatan yang positif Covid-19 akan dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Daripada 60 kes baharu wabak yang direkodkan semalam, 53 membabitkan kes tempatan. Daripada jumlah kes tempatan itu, sebanyak 44 adalah bukan warganegara dengan 27 kes bukan warganegara dikesan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih manakala enam di Sepang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

207 tahanan warga asing di depoh imigresen positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Seramai 207 daripada 13,929 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depoh Tahanan Imigresen di Semenanjung Malaysia didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata daripada jumlah itu, 110 daripada mereka telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk mendapatkan rawatan.

“Baki pendatang yang positif jangkitan masih berada di tiga buah Depoh Tahanan Imigresen iaitu di Bukit Jalil, KLIA dan Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengiringi lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke pusat kuarantin berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 238 pegawai imigresen yang bertugas di tiga depoh tahanan terlibat dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Khairul Dzaimee memaklumkan, setakat ini terdapat seramai 14,496 pendatang tanpa izin di depot tahanan negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata lawatannya ke pusat kuarantin itu bagi melihat kemampuan tempat berkenaan menampung pesakit Covid-19 jika jumlahnya meningkat.

Beliau berkata, pusat itu berkemampuan untuk menampung seramai 600 pesakit dan kerajaan telah pun mengenal pasti beberapa lagi pusat kuarantin lain untuk menempatkan pendatang tanpa izin ini jika bilangan mereka meningkat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

14 individu beraya di kampung tanpa kebenaran dikompaun

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis mengeluarkan 14 kompaun kepada individu yang dikesan merentas negeri tanpa kebenaran dan berada di kampung untuk berhari raya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas individu terbabit selepas melakukan pemeriksaan dan mengingatkan bahawa rentas negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terus cuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun. Semalam  polis mengeluarkan 214 kompaun di sekatan jalan raya,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Selangor terus menjadi negeri tertinggi yang cuba merentas negeri semalam dengan 685 kenderaan diikuti Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72).

Katanya, sebanyak 1,243 kenderaan diarah berpatah balik berbanding 1,158 pada hari sebelumnya dalam 162 sekatan jalan di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 127,552 kenderaan diperiksa selain menahan 470 inidividu atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).