Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan jadikan tongkat khutbah bahan lawak

​KUALA LUMPUR, 25 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak, sebagaimana yang tular di media sosial.

Beliau mengulas gelagat segelintir individu yang menggunakan pelbagai barang termasuk kayu golf, tukul ‘Thor’ watak dalam sebuah filem antarabangsa, kayu mop serta pedang ‘gergasi’ mainan ketika membaca khutbah di kediaman masing-masing selepas solat sunat Aidilfitri semalam.

“Mengenai gambar yang tular itu, tiada masalah ke atas solat sunat Aidilfitri dan khutbah yang dibacakan.

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak. Justeru, carilah tongkat walaupun hukumnya sunat memegang sesuatu ketika berkhutbah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut beliau, solat ​​hari raya serta bacaan khutbah yang dilakukan di rumah adalah jawapan untuk penyelesaian bagi mereka yang tidak mampu solat di masjid atau surau sebagaimana ia mula menjadi kebiasaan baharu dalam beribadah dan kehidupan, dalam usaha mengekang wabak Covid-19.

Berdasarkan rujukan yang dilakukan di laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persekutuan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan menyatakan selain daripada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi pembacaan khutbah, para ulama juga menetapkan beberapa perkara sunat lain yang boleh diikuti, antaranya memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.

Sementara itu, bagi pembacaan khutbah pula, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah, untuk imam mereka membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan manakala ia tidak dituntut bagi yang melaksanakannya secara bersendirian kerana tidak ada faedah padanya.

Sementara itu, Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil menjelaskan pemakaian tongkat hanya sunat dan tidak menjejaskan solat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Cegah Covid-19: Patuhi lima larangan ketika beraya

SHAH ALAM, 25 MEI: Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, masyarakat diingatkan terus kekal mematuhi peraturan menyambut hari raya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor berkongsi lima aktiviti yang dilarang iaitu balik kampung, kunjung- mengunjungi ke rumah sanak-saudara dan rakan serta mengadakan rumah terbuka.

Tidak boleh bersalaman atau bersentuhan selain ziarah kubur, tahlil serta kenduri hari raya.

“Berayalah dengan selamat. Ingat, kita jaga kita,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Majlis Keselamatan Negera (MKN) hanya membenarkan aktiviti ziarah rentas daerah sahaja sempena Aidilfitri pada hari raya pertama semalam.

Orang ramai juga tidak dibenarkan rentas negeri bagi mengekang penularan Covid-19.

Semalam, Selangor mencatatkan 46 kes baharu Covid-19 daripada jumlah keseluruhan 60 kes di seluruh negara. Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 1,776 kes.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 1,692 kes, mencatatkan bilangan kedua tertinggi sebanyak 11 kes baharu dengan enam daripadanya kes import diikuti dua kes di Sabah manakala satu kes di Johor juga membabitkan kes import.

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia-Singapura terus kerjasama tangani Covid-19

SINGAPURA, 25 MEI: Sebagai jiran terdekat, Singapura dan Malaysia akan terus bekerjasama mengatasi tempoh sukar semasa pandemik Covid-19, kata menteri kanan republik itu, Teo Chee Hean.

“Situasi unik ini yang kita alami tahun ini mengingatkan kita tentang keakraban hubungan dengan Malaysia dan bagaimana terjalinnya takdir ini,” kata Chee Hean yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara di Facebook beliau semalam.

“Datuk Seri Ismail Sabri dan saya mengkoordinasi dengan rapat sejak dua bulan lepas mengenai respon Singapura dan Malaysia terhadap wabak Covid-19,” katanya merujuk kepada Menteri Kanan Malaysia (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi hantaran sama, Chee Hean turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada Ismail Sabri.

“Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri adalah masa kebersamaan,” katanya yang turut melampirkan sekeping gambar beliau ketika melawat pejabat Ismail Sabri di Putrajaya pada 2016.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Lagu raya klasik tak lapuk ditelan zaman

Lagu raya sebahagian sambutan Aidilfitri. Ia ibaratkan pelengkap kemeriahan, seolah-olah tidak sempurna hari raya tanpa rentak irama. Namun, tiada rekod tepat bila budaya ini bermula tetapi lagu Selamat Hari Raya nyanyian penyanyi bangsawan, Miss Aminah, nama sebenarnya Aminah Nani, dikatakan lagu pertama dikumandang melalui corong radio Tanah Melayu pada 1936. Lagu itu ciptaan Tengku Alibasha @ Che Ara Bangsawan.

Ternyata, lagu raya klasik kekal menggamit nostalgia, terus utuh sebagai pilihan. Tidak terkecuali sambutan kali ini walau disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekali-sekali akan kedengaran lagu raya berkumandang. Berdasarkan pemerhatian, wartawan NAZLI IBRAHIM dan MUNIRAH AHAMAD mengupas beberapa lagu popular yang sehingga kini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Dendang Perantau 

Dicipta dan dinyanyikan pada 1960-an ketika Allahyarham Tan Sri P Ramlee bergiat di Singapura manakala lirik ditulis S Sudarmaji. Pada awalnya, P Ramlee membawa versi asal lagu, diiringi Orkestra ‘Malay Film Productions’.

Versi asal masih boleh didengari di YouTube. Iramanya mendayu-dayu hingga mampu mengundang kesedihan khususnya buat perantau yang tidak pulang beraya.

P Ramlee kemudian memberi nafas baharu dengan memasukkan elemen pop yeh yeh untuk disesuaikan dengan peredaran muzik. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyebut judul lagu ini pada perutusan khas ketika mengumumkan PKPB.

Dari Jauh Kupohon Maaf

Alunan suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad ketika membawakan lagu ini mampu menjentik perasaan sayu. Ia diterbitkan oleh syarikat rakaman EMI (Malaysia) Sdn Bhd pada 1981.

Lagu bertema kekeluargaan menonjolkan elemen kesedihan tidak dapat beraya bersama keluarga di kampung kerana terpaksa bertugas.

Lirik dihasilkan komposer tersohor, S Atan. Lagu ini turut dirakam semula beberapa penyanyi termasuk Haiza pada 2019.

Balik Kampung 

Lazimnya, lagu ini diputarkan stesen radio sejak awal Ramadan. Berbeza kali ini, ia langsung tidak kedengaran berikutan larangan rentas negeri sepanjang Ramadan.

Nyanyian Sudirman, liriknya menceritakan keceriaan balik ke kampung. Uniknya, lirik yang ditulis Sudirman langsung tidak menyebut “hari raya.”

Asalnya, ia bukan direka sempena Aidilfitri sebaliknya kisah anak muda yang seronok pulang ke desa untuk bertemu ibu bapa dan sanak-saudara. Rakaman dibuat melalui album Dari Sebuah Bilik pada 1984.

Satu Hari di Hari Raya 

Jika tidak mahu mendengar lagu sedih kerana berjauhan dengan keluarga, ciptaan komposer terkenal, M. Nasir boleh dijadikan pilihan. Lagu ini bertema ketuhanan dengan menyelitkan unsur kesyukuran dan keinsafan.

Beliau mendendangkan sendiri lagu ini melalui album kompilasi Pemberian Di Hari Raya. Seperti kebanyakan lagu raya lain, lagu ini juga diterbitkan semula pada 1994.

Menjelang Hari Raya

Lagu nyanyian Datuk DJ Dave juga antara yang boleh dijadikan pilihan. Ia mendapat sentuhan komposer Atan yang diterbitkan pada 1978 dengan tema keceriaan menyambut perayaan.

 

Rentaknya sedikit rancak sekali gus mampu melupakan kesedihan beraya tanpa keluarga. Uniknya lagu ini
menjadi inspirasi kepada DJ Dave untuk memeluk Islam beberapa bulan selepas rakaman.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Risau Covid-19 tanpa gejala, Farah Ann tidak beraya di kampung

SHAH ALAM, 25 MEI: Atlet kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri di kampung tahun ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun, beliau tidak terlalu ralat tidak pulang ke kampung bapanya di Rantau, Negeri Sembilan sebaliknya menyambut Aidilfitri di rumah keluarga terdekat di Subang Jaya dekat sini.

“Sedih sedikit memang ada tetapi lebih baik menyambut di sini sahaja dalam keadaan sekarang, kita semua harus mengikuti arahan kerajaan yang tidak membenarkan orang ramai membuat perjalanan merentas negeri.

“Ini untuk kebaikan juga. Bayangkan sekiranya ada yang pulang ke kampung tanpa menyedari diri sebagai pembawa Covid-19 kerana tiada simptom, ia boleh berjangkit kepada lebih ramai orang,” katanya kepada SelangorKini.

Farah Ann, atlet kelahiran Selangor, berkata Aidilfitri tahun ini disambut sederhana dengan mengamalkan norma baharu yang disaran Kementerian Kesihatan.

“Semua kita harus mengambil langkah berjaga-jaga. Walaupun dengan norma baharu, saya rasa ia tetap meriah asalkan dapat bersama keluarga tersayang di hari mulia ini,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi ziarah Aidilfitri selepas ini

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Memasuki hari kedua bulan Syawal hari ini, bermakna rakyat tidak boleh lagi meneruskan budaya kunjung-mengunjung dan aktivit ziarah Aidilfitri selepas ini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagi mengekang penularan wabak Covid-19, kerajaan sebenarnya memberi kelonggaran itu hanya pada hari pertama sambutan Aidilfitri dengan syarat perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), antaranya terhad kepada 20 ahli keluarga terdekat, mengamalkan jarak sosial dan menjaga kebersihan.

Meskipun ada segelintir golongan degil enggan mematuhi SOP dengan mencuba nasib merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun sebilangan besar masyarakat di negara ini dilihat sudah dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu sambutan perayaan itu tahun ini.

Misalnya, masjid, surau dan tanah perkuburan yang menjadi tumpuan utama umat Islam pada 1 Syawal saban tahun, dilihat sepi dan lengang susulan perintah larangan yang dilaksanakan di kebanyakan negeri.

Perintah larangan itu juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada umat Islam di negara ini mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga menerusi solat sunat Aidilfitri dan penyampaian khutbah di kediaman masing-masing.

Selain itu, bagi golongan bujang yang tidak dapat pulang ke kampung beraya bersama keluarga tercinta, kemajuan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggunakan aplikasi panggilan video yang digunakan untuk mengubati rindu mereka terhadap anggota keluarga.

Sememangnya, sudah menjadi tradisi sambutan Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan sanak-saudara, sahabat handai serta jiran tetangga dan masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini dengan saling berkunjung pada hari raya.

Namun, penularan pandemik Covid-19 tidak mengizinkan tradisi itu diteruskan pada tahun ini kerana aktiviti ziarah Aidilfitri melibatkan pergerakan dan berjumpa dengan ramai orang pada satu-satu masa, termasuk dengan golongan mudah terjejas seperti warga emas, pesakit kronik dan kanak-kanak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sebanyak 62.6 peratus daripada kes kematian akibat Covid19 terdiri daripada mereka berusia 60 tahun ke atas manakala 80.7 peratus kes kematian melibatkan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan penyakit lain.

Malah, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pernah mengingatkan orang ramai supaya mendisiplinkan diri untuk elak berjumpa orang ramai walaupun kelonggaran diberikan untuk beraya kerana sudah ada kes jangkitan wabak Covid-19 di luar negara akibat aktiviti ziarah itu.

Beliau mengambil contoh kejadian di Bahrain dan New Jersey, Amerika Syarikat apabila ada keluarga yang terdiri daripada 16 individu menghadiri majlis berbuka puasa dan empat orang berkumpul untuk jamuan makan yang akhirnya menyebabkan mereka semua dijangkiti Covid-19.

Ada sebabnya mengapa kerajaan melaksanakan larangan ziarah Aidilfitri itu, bukan semata-mata untuk menyekat sepenuhnya pergerakan orang ramai ketika musim perayaan tetapi bagi mengekang penularan wabak ovid-19 yang mungkin membawa maut kepada golongan berisiko tersebut.

Justeru, umat Islam diminta supaya bersabar menerima ketetapan sambutan bulan Syawal tahun ini dalam norma baharu dengan hati yang terbuka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

IBDE bakal terbit terjemahan biografi Rasulullah, Salahuddin al-Ayubi

SHAH ALAM, 25 MEI: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) akan menerbitkan dua terjemahan biografi Rasulullah SAW dan tokoh Islam terkenal Salahuddin al-Ayubi.

Ketua pengarangnya, Al-Mustaqeem M Radhi berkata buku Muhammad. His Life Based on the Earliest Sources karangan Martin Lings dan Saladin karya John Man disifatkan biografi terbaik pernah ditulis.

“Kisah Nabi Muhammad menjadi salah satu buku sejarah Islam terlaris sepanjang masa yang ditulis berdasarkan sumber terawal sejarah Islam dan dianggap sebagai biografi nabi terbaik pernah ditulis dalam bahasa Inggeris.

“Kisah Salahuddin pula diceritakan cukup terperinci termasuk bagaimana beliau mendapat kuasa, kesukaran untuk menyatukan fraksi dalam agama, pertempuran mengambil kembali Jerusalem dan menghalau kuasa Kristian dari tanah Arab,” katanya kepada SelangorKini.

Al-Mustaqeem berkata biografi Rasulullah, terbit pada 1983, terpilih sebagai biografi nabi terbaik dalam bahasa Inggeris pada persidangan Sirah Nasional di Islamabad, Pakistan pada tahun sama.

Beliau berkata buku itu yang dicetak hingga sekarang turut diterbitkan dalam pelbagai bahasa antaranya Perancis, Itali, Sepanyol, Turki, Belanda, Arab, Jerman, Urdu dan Indonesia.

Al-Mustaqeem berkata IBDE berazam meneruskan tradisi keilmuan dengan mengetengahkan banyak lagi khazanah Islam kepada masyarakat di negara ini, khususnya penduduk Selangor.

Baru-baru ini, IBDE menerbitkan tiga terjemahan termasuk karya pemenang Hadiah Nobel kategori kesusasteraaan pada 1988, Naguib Mafouz, berjudul Khianat. Dua lagi ialah biografi Amir Abdul Kadir: Sang Pendamai, Wali dan Pahlawan karangan Ahmed Bouyerdene dan Surat Kepada Penyair Muda (Rainer Maria Rilke).

IBDE menerusi program Siri Pencerahan Selangor menerima sokongan Kerajaan Selangor bagi menghasilkan terjemahan berkualiti adikarya dunia, sebahagiannya karangan berusia ribuan tahun, meliputi bidang agama, sejarah dan falsafah.

Pada 1 Mac lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata buku terjemahan dapat menggamit masyarakat Melayu mentelaah pemikiran besar tokoh dunia melalui pembacaan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet ucap selamat Aidilfitri, beraya kena ingat Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia yang sedih dengan sambutan Aidilfitri tahun ini yang terjejas susulan Covid-19, supaya terus bersabar.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali itu berharap, kesabaran tahun ini akan dibalas dengan kenikmatan perayaan hari raya tahun-tahun akan datang untuk generasi masa depan seperti suasana sambutan sebelum ini.

“Kawan-kawan semua, saya faham semua berasa sedih sebab raya kali ini mungkin terjejas disebabkan Covid-19,” katanya di laman Facebook semalam.

“Saya, Wong Mew Choo dan dua anak lelaki, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumpul (menyusun) sepuluh jari meminta ampun serta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua yang meraikannya. Seperti sukan badminton, kita restart ya….Kosong-kosong,” katanya.

Pemain dari Pulau Pinang itu turut mengimbau kembali pengalaman zaman kanak-kanaknya mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri rakan-rakan dan jiran serta bermain mercun meriam.

“Rumah pertama itu tak kisah rumah siapa, sah ada rendang ayam, serunding, sambal sotong dan ketupat. Seronoknya. Ada lagi Kuih batik! Aduhai, keluar air liur terfikir.

“Masa masuk Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), masa raya kantin akan sediakan hidangan khas.Rombongan ramai-ramai berbaju raya serbu rumah terbuka jurulatih. Itu semua kenangan terindah,” kongsi bekas pemain perseorangan lelaki negara berusia 37 tahun itu.

Sementara itu, jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang beraya di Melbourne, Australia menasihatkan rakyat Malaysia supaya menjaga jarak sosial ketika beraya dan melawat saudara-mara.

“Kalau korang semua pergi beraya beringat-ingat sikit okay, kalau boleh elakkan bersalaman, dan jika anda bersalaman jangan lupa untuk basuh tangan atau guna hand pembasmi kuman.

“Di dalam anda bersuka ria menyambut Hari Raya Aidilfitri ini jangan dilupakan dua perkara, pertama, virus Covid-19 masih berleluasa, kedua saya dan keluarga beraya di perantauan ?,” katanya, dengan berkongsi ucapan raya dan gambar bersama keluarganya serta rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Pemain bola sepak naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh turut memuat naik gambar bersama ucapan raya, manakala penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri berkongsi gambar hari raya bersama keluarganya.

Juara Liga Super enam kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim turut memuat naik video ucapan raya di laman Facebook rasminya, Johor Southern Tigers yang menampilkan ucapan daripada kapten pasukan Hariss Harun, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Safawi Rasid.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bekas pesakit Covid-19 tidak kongsi pinggan dengan keluarga

Paranoid, barangkali itulah yang dialami bekas pesakit Covid-19, Reza
Huzairi Zainudin selepas tamat menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Sejak kembali ke kediamannya di sebuah taman perumahan di Kuala Selangor, beliau tidak pernah berkongsi pinggan-mangkuk dengan ahli keluarganya. Turut dikuarantin bersama Huzairi dalam tempoh sama, anaknya yang berusia 12 tahun.

Langkah tersebut bagi memastikan, virus itu tidak merebak sesama mereka. Malah, beliau nekad mengamalkan disiplin tersebut selagi vaksin rawatan Covid-19 belum ditemui.

Reza sendiri tidak pasti sampai bila atau sejauh mana beliau mampu melakukannya.

“Perasaan bimbang sentiasa ada kerana virus itu ada di mana-mana dan mudah menjangkiti sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan serta penjarakan sosial.

“Tanyalah mana-mana bekas pesakit, mereka pasti memberitahu perubahan ekstrem dilakukan selepas kembali pulih,” katanya kepada SelangorKini.

Kedua-dua beranak itu berdoa agar tidak lagi dijangkiti virus itu, disyaki pun jangan. Mereka tidak mahu melalui pengalaman dikuarantin. Walau kemudahan memadai tetapi cukup terseksa, bahkan seksaan itu terasa kekal.

Rasa terasing

Reza, 42, masih ingat. Sebaik disahkan positif pada petang 3 Mac lalu, beliau mula berasa takut. Segala berita berkaitan Covid-19 yang dibaca atau terpampang di televisyen mahupun media sosial, bertali-arus di kepalanya.

Beliau berdebar-debar ketika menunggu ambulans menjelang tengah malam yang membawanya ke Hospital Sungai Buloh. Sebaik tiba di depan pintu wad pengasingan, terbit pula kebimbangan terhadap ahli keluarga yang ditinggalkan.

“Bimbang jika virus ada pada saya ini menjangkiti mereka pula. Hanya kepada Allah saya berserah dan beranggapan semua ini mempunyai hikmah sendiri,” katanya.

Reza pesakit ke-46 Covid-19 di Malaysia, antara pesakit terawal di negara ini sebelum gelombang kedua memuncak pertengahan Mac hingga mendorong kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Beliau ditempatkan bersama tiga pesakit lain termasuk anaknya kerana masing-masing mempunyai gejala ringan. Bagaimanapun, beliau tidak diberikan apa-apa ubat kerana tidak menghidap penyakit kronik sebaliknya hanya dipantau dari luar oleh petugas kesihatan.

“Ia ibarat terkurung dalam sangkar. Bila dikunci 24 jam selama 11 hari dalam bilik, tekanan perasaan ketika itu bukan main-main kerana dalam resah memikirkan diri sendiri termasuk bimbang tentang isteri serta anak-anak di rumah serta rakan sekerja.

“Pintu bilik hanya dibuka tiga kali sehari iaitu untuk menghantar sarapan, makan tengah hari dan makan malam,” kata Reza.

Selepas 11 hari , Reza bersama anaknya disahkan sembuh. Sejak itulah, mereka sekeluarga memutuskan untuk mengubah gaya hidup. Tidak lagi berkongsi hidangan, tidak pergi ke pusat beli-belah. Hanya keluar apabila perlu.

Penderma plasma

Pun begitu, Reza mengakui semua itu ada hikmah besar. Kini, beliau mahu berbudi kepada masyarakat. Ketakutannya dicucuk jarum dibuangnya jauh-jauh.

Reza kini antara penderma plasma darah untuk merawat pesakit Covid-19.

“Dulu saya tidak pernah derma darah sebab takut jarum. Sekarang kena beranikan diri kerana niat hendak membantu orang lain dan perlu juga jaga pemakanan bagi mengelakkan plasma tidak sesuai diderma,” tambahnya.

Sudah tiga kali Reza berkunjung ke Pusat Darah Negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur dan setiap kali melalui proses menderma darah, hatinya gembira kerana baginya itulah sumbangannya kepada negara dan cara membalas jasa petugas kesihatan.

Beliau terpilih kerana antibodinya kuat dan sesuai untuk proses pengasingan plasma daripada darah bagi dijadikan serum merawat Covid-19. Beliau dikatakan penderma pertama dalam kalangan bekas pesakit Covid-19.

“Allah gantikan kesedihan dijangkiti Covid-19 dengan kegembiraan dapat membantu insan memerlukan,” kata Reza yang sentiasa berfikiran positif dan terbuka berkongsi pengalamannya untuk manfaat orang ramai.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada majlis kahwin di kuil Seri Kembangan – Polis

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Polis menafikan dakwaan kononnya satu majlis perkahwinan diadakan di sebuah kuil di Seri Kembangan, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Polis Ismadi Borhan berkata soal siasat terhadap penjaga kuil, tiada aktiviti atau majlis diadakan di kuil itu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Beliau (penjaga kuil) turut menyatakan bahawa majlis (perkahwinan) dalam rakaman video yang tular tidak berlangsung semalam.

“Tinjauan dan siasatan anggota polis dari Balai Polis Seri Kembangan juga mendapati tiada sebarang aktiviti dijalankan di kuil tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk rakaman video satu minit yang memaparkan beberapa individu berkumpul dan mengadakan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Seri Kembangan.

Ismadi bagaimanapun berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis sentiasa memantau aktiviti di rumah ibadat bagi mencegah penularan Covid-19.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan sebuah kuil di Seri Kembangan dipercayai mengadakan majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 100 individu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor terus rekod kenderaan paling banyak diarah patah balik

SHAH ALAM, 24 MEI: Penduduk Selangor kekal mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi apabila 460 daripada 1,158 kenderaan di seluruh negara diarahkan berpatah balik semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia diikuti Melaka 121 kenderaan dan 95 dari Negeri Sembilan.

“Angka tersebut berkurangan berbanding 1,163 kenderaan pada hari sebelumnya. Semua pihak diingatkan supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan peraturan yang ditetapkan.

“Kerjasama dan kawalan kendiri daripada anda semua amat penting dalam memerangi pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 157,364 kenderaan diperiksa polis dalam 162 sekatan jalan raya.

Secara keseluruhan, Pasukan Petugas Operasi Pematuhan memeriksa 30,702 buah kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 kapal.

Turut diperiksa ialah 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak pembinaan.

Ismail Sabri berkata, seramai 156 individu ditahan dengan 50 direman manakala 106 dikompaun atas kesalahan melanggar SOP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong solat sunat Aidilfitri di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 30 jemaah sempena sambutan 1 Syawal di Surau Utama, Istana Negara hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata ini merupakan julung kalinya Al-Sultan Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Secara lazimnya, Seri Paduka Baginda menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, solat sunat Aidilfitri tersebut dipimpin oleh Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abdul Aziz Che Yacob dan jemaah terdiri daripada pegawai serta kakitangan Istana Negara.

Solat sunat itu diadakan mengikut garis panduan PKPB yang dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Ahmad Fadil, selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah turut berkenan bersantap bersama para jemaah di Istana Negara.

Berikut pelaksanaan dan mematuhi PKPB sehingga 9 Jun ini, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga meraikan sambutan Aidilfitri di Istana Negara, bukan di Kuantan, Pahang seperti kelazimannya.

– BERNAMA