Categories
AGENDA JENAYAH

Rugi RM67,664 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

KUCHING, 4 OGOS: Polis Sarawak menerima empat laporan berkaitan kes penipuan pinjaman tidak wujud yang melibatkan kerugian berjumlah RM67,664, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes pertama membabitkan wanita berusia 33 tahun, yang bekerja sebagai kerani di Serian.

“Katanya, mangsa telah melayari facebook dan berminat dengan satu iklan berbentuk pinjaman peribadi, dan membuat pinjaman berjumlah RM30,000.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi untuk proses pengeluaran pinjaman. Mangsa kemudian menukar fikirannya dan mahu membuat pembatalan pinjaman, namun perlu pembayaran berjumlah RM27,164 untuk proses pembatalan dan kononnya duit itu akan dikembali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustafa berkata, mangsa telah membuat transaksi sebanyak 19 kali ke akaun berlainan yang melibatkan kerugian berjumlah RM55,604.

Kataya, kes kedua melibatkan lelaki berusia 30 tahun dari Sibu yang membuat pinjaman melalui aplikasi Whatapps berjumlah RM20,000.

“Mangsa telah diarahkan membuat bayaran berjumlah RM2,400 sebanyak untuk polisi insuran, bayaran syarat perjanjian pinjaman, membersihkan nama di CCRIS dan pembukaan akaun baru. Mangsa menyedari diri ditipu apabila duit pinjaman itu tidak dimasukkan ke akaun miliknya, walaupun bayaran telah dibuat,” katanya.

Kes penipuan ketiga dan keempat masing-masing di Miri yang melibatkan wanita berusia 26 tahun dan lelaki berusia 45 tahun.

“Wanita yang bekerja sebagai jururawat itu kerugian RM9,060 setelah membuat pinjaman melalui facebook. Manakala lelaki yang bekerja sebagai pengurus operasi mengalami kerugian RM600 setelah terpedaya untuk membuat pinjaman menerusi panggilan telefon,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Op Ice Breaker: 98 ditahan atas pelbagai kesalahan dadah

KOTA KINABALU, 4 OGOS: Seramai 98 individu ditahan dalam ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan bermula 27 Julai hingga semalam di sekitar daerah Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata, mereka yang ditahan itu terlibat dalam pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah termasuk di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas.

Beliau berkata, daripada jumlah yang ditahan itu, 75 adalah warga tempatan manakala selebihnya warga asing berumur antara 14 hingga 56 tahun.

“Sebanyak 23 serbuan telah dibuat sepanjang tempoh itu dan polis berjaya merampas sebanyak 74.50 gram syabu dianggarkan bernilai RM11,175,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Habibi berkata, orang awam amat dialu-alukan menyalurkan sebarang maklumat ke hotline ibu pejabat daerah Kota Kinabalu di talian 088-529220.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki lemas diserang sawan ketika memancing

PADANG BESAR, 4 OGOS : Seorang lelaki mati lemas dipercayai akibat diserang sawan ketika sedang menangkap ikan bersama enam rakannya di Empangan Timah Tasoh, Bukit Manik di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Muhamad Halim Yatim berkata mangsa Fazli Aziz, 31, dari Kampung Baru, Bukit Chabang dekat sini keluar untuk menangkap ikan bersama rakan-rakannya kira-kira 9 malam.

Katanya ketika mereka sedang menangkap ikan, salah seorang rakan mangsa menemuinya dalam keadaan tertiarap di permukaan air kira-kira 10.20 malam.

“Polis menerima panggilan daripada rakan mangsa kira-kira 11.15 malam untuk mendapatkan bantuan. Hasil pemeriksaan polis tidak menemukan unsur jenayah.

“Abang mangsa turut memaklumkan adiknya itu mempunyai sejarah penyakit sawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk bedah siasat. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Hina Nabi: Kemungkinan pemilik guna akaun palsu

GEORGE TOWN, 4 OGOS : Polis tidak menolak kemungkinan pemilik akaun Facebook yang mengunakan nama Wendy Loong dan memuat naik hantaran laman sosial yang menghina Nabi Muhammad S.A.W menggunakan akaun palsu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor berkata kemungkinan individu berkenaan menggunaan akaun Facebook palsu dan sehingga kini polis masih giat menjalankan siasatan berhubung perkara terbabit.

“Besar kemungkinan ia menggunakan akaun facebook palsu, besar kemungkinan… kalau tidak kita mesti kita sudah dapat tahu lama dah. Perkara ini (perbuatan ) ini di alam maya, jadi ia ambil masa sedikit, kena lihat dari sudut teknikal, sumbernya dari mana, Apapun siasatan sedang giat dijalankan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Pegawai Kor Suksis Universiti Awam (UA) KE -15 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Setakat ini polis menerima lebih dari 400 laporan polis berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Sebelum ini tular di laman sosial facebook berhubung satu akaun facebook menggunakan nama seorang wanita dan telah memuat naik satu gambar yang dikatakan menghina Agama Islam dan Nabi Muhammad.

Sementara itu Mazlan berkata seramai 1,167 pelatih Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Kor SUKSIS) dari 20 universiti awam menerima sijil pengtauliahan itu.

Mazlan berkata sukatan (silivers) bagi SUKSIS dalam pembelajaran akan digubal dan dimasukkan beberapa undang-undang baharu dalam subjek bagi pelatih SUKSIS.

“Jika sebelum ini siliversnya yang lama kita masih ada undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ISA sudah dimansuhkan jadi kita akan masukkan pembelajaran undang-undang yang baharu yang lain seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012), POCA (Akta Pencegahan Jenayah ).

“Undang-undang ini kita telah gubal dan masih belum dimasukkan dalam silivers. Pendekatan ini akan kita gunakan bagi membolehkan SUKSIS memperoleh lebih banyak ilmiah dalam bidang undang-undang,” katanya. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Padah pinjam wang untuk berkahwin

KUANTAN, 4 OGOS : Tindakan seorang pemandu membuat pinjaman kewangan untuk majlis perkahwinan menjerat diri apabila kerugian RM20,650 kerana diperdaya syarikat pemberi pinjaman tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa mendakwa membuat permohonan pinjaman pada 16 Mei lepas, selepas dihubungi wakil syarikat itu.

Mangsa mendakwa tertarik untuk membuat pinjaman sebanyak RM30,000 selepas suspek mendakwa syarikat itu berdaftar di bawah Bank Negara dan memiliki lesen yang disyaratkan kerajaan untuk menjalankan perniagaan pemberi pinjaman kewangan.

“Suspek seterusnya didakwa mengumpan mangsa dengan mengatakan mereka menawarkan kadar faedah pinjaman sebanyak lima peratus yang terhad dan mangsa merupakan antara individu bertuah untuk menerima kemudahan itu.

“Untuk mendapatkan tawaran itu, mangsa diminta mengemukakan dokumen peribadi kononnya bagi tujuan pengesahan kelayakan permohonan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata suspek menghubungi mangsa pada keesokan hari memaklumkan pinjaman telah diluluskan dan menghantar salinan surat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp bagi menyakinkan mangsa.

Suspek, bagaimanapun memberitahu mangsa perlu membuat bayaran RM500 sebagai bayaran pemprosesan untuk mengeluarkan pinjaman itu, yang diikuti dengan pelbagai bayaran lain yang akhirnya berlanjutan sehingga 12 transaksi.

“Mangsa akhirnya berasa marah kerana wang pinjaman masih tidak diterima sedangkan telah menjelaskan bayaran yang besar dan menuntut supaya wangnya dikembalikan namun suspek melarikan diri,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan lima lelaki main judi atas talian

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Lima lelaki termasuk penjaga premis judi atas talian ditahan sepasukan polis dalam serbuan di dua premis di Cheras, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam serbuan pertama, tiga lelaki ditahan termasuk penjaga premis kerana menjalankan perniagaan pusat snuker tanpa mempunyai lesen yang sah serta disyaki menjadi agen dalam menjalankan perjudian atas talian.

“Serbuan oleh cawangan Perjudian, Anti Maksiat dan Kongsi Gelap D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras itu turut menahan dua lagi lelaki yang ketika itu sedang leka bermain judi melalui telefon bimbit. Ketiga suspek yang ditahan berusia unmur antara 43 dan 69 tahun.

“Dalam kes kedua, dua lelaki berusia 29 dan 32 tahun ditahan di depan sebuah kedai snuker di Taman Tenaga, Cheras, pada pukul 8.00 malam kerana kesalahan yang sama, dan mereka didapati positif ujian saringan awal air kencing,” katanya kepada Bernama.

Tegasnya, kesemua lima suspek ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1982 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Keputusan bicara bersama kes rasuah Tan Eng Boon, Tengku Adnan 9 Ogos

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Keputusan permohonan pihak pendakwaan supaya kes rasuah RM1 juta yang dihadapi ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon dibicarakan bersama kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan diketahui pada 9 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan peguam, Faisal Moideen yang mewakili Tan hari ini.

“Keputusan akan diberikan pada Jumaat depan pukul 9 pagi,” kata hakim itu.

Terdahulu, Julia berhujah bahawa kes rasuah itu perlu dibicarakan bersama Tengku Adnan kerana pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh adalah berasal daripada kejadian, butiran transaksi, tarikh dan masa yang sama.

“Yang Arif, dalam kes ini, pemberi adalah Tan dan Tengku Adnan adalah penerima mengikut butiran dokumen yang sedia ada. Sepatutnya mereka (Tan dan Tengku Adnan) dituduh bersama tetapi ada kesilapan dalam e-filing ketika itu. Pendakwaan sejak awal lagi berhasrat untuk kes itu dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam Faisal membantah permohonan pendakwaan dengan alasan anak guamnya dan Tengku Adnan dituduh secara berasingan dan sekiranya mereka dibicarakan bersama ia akan memprejudiskan anak guamnya.

“Tengku Adnan tidak boleh jadi saksi dalam kes ini jika dibicarakan bersama,” katanya dan memohon mahkamah menolak permohonan pendakwaan itu.

Pada 15 November 2018, Tan yang juga pengarah syarikat pemaju hartanah, mengaku tidak bersalah atas dakwaan telah secara rasuah memberikan suapan bagi faedah kepada Tengku Adnan, 69, iaitu wang berjumlah RM1 juta melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang telah didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan.

Tan, 70, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi Tengku Adnan kerana telah meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, di sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013, mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Tan juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Tengku Adnan sebagai penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan yang menerima untuk dirinya wang tunai RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tengku Adnan, yang diketahui Tan sebagai Pengarah Nucleus Properties, ada perhubungan dengan kerja rasmi Tengku Adnan, yang kesalahan itu dilakukan hasil persubahatan tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tempat dan tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 165 kanun serupa, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan juga menghadapi satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan berhubung kelulusan permohonan sebuah syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak, di sini pada 2013. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Peranti IED di Bukit Damansara, ancaman bom palsu di KL Sentral, Kedutaan Rusia

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Polis menemui satu peranti letupan di laman sebuah rumah di Bukit Damansara, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil pemeriksaan Unit Pemusnah Bom (UPB) mendapati objek yang ditemui orang awam pada 5 petang dan memaklumkan mengenainya pada 10 malam itu adalah ‘Improvised Explosive Device’ (IED) yang tidak sempurna.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap objek itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, polis juga mengesahkan ancaman bom di KL Sentral dan Kedutaan Rusia di ibu negara malam tadi sebagai palsu.

Ancaman bom di kedua-dua tempat itu diterima melalui ciapan akaun Twitter yang menggunakan nama iMais-Uma Agencia Sincera, yang dikatakan telah digodam oleh ‘limzhengyan’ pada 7.21 malam tadi.

Ciapan itu menyebut sebuah beg berjenama dengan bom telah diletakkan di concourse KL Sentral serta bom turut diseludup masuk ke Kedutaan Rusia, Jalan Ampang, di sini.

Mazlan berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields yang menerima maklumat pada pukul 9 malam daripada pihak Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) yang menguruskan KL Sentral telah mengerahkan UPB dan Unit K9 (Unit Anjing Pengesan) untuk membuat pemeriksaan.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang objek mencurigakan ditemui dengan operasi tren dan perniagaan di KL Sentral tutup pada 11 malam.

“Di Kedutaan Rusia, Jalan Ampang pula, siasatan telah dibuat dan juga didapati negatif. Dipercayai maklumat yang diberi juga maklumat palsu,” katanya.

Jelas Mazlan, pasukannya sedang menjalankan siasatan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Twitter berkaitan.

Menurutnya lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau Pusat Kawalan IPD Brickfields (03 22979268). – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lima lelaki disyaki samun pemandu Grab ditangkap

Categories
AGENDA JENAYAH

Tak tahu salinan pendua resit RM2 juta tiada dalam buku resit UMNO

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Seorang saksi hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak mengetahui bagaimana salinan pendua resit pembayaran RM2 juta yang diberikan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kepada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong tidak berada di dalam buku resit rasmi UMNO.

Timbalan Ketua Jabatan Pengurusan Kewangan, Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Farahdzilah Abd Kadir, 38, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim pada perbicaraan hari ke-11 kes rasuah RM2 juta yang dihadapi bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Julia: Boleh maklumkan kepada mahkamah adakah terdapat salinan pendua bagi resit 376241 (resit pembayaran RM2 juta) di dalam buku resit rasmi UMNO?

Farahdzilah: Tidak ada.

Julia: Kenapa tidak ada?

Farahdzilah: Saya tidak tahu.

Farahdzilah, yang bertugas di Ibu Pejabat UMNO PWTC sejak Jun 2004 berkata salinan kedua dan ketiga resit tidak pernah dikeluarkan daripada buku resit rasmi UMNO ataupun disimpan secara berasingan di dalam fail.

“Kebiasaannya, jika resit dikeluarkan daripada buku resit rasmi UMNO, salinan pendua bagi resit itu ditinggalkan di dalam buku resit berkenaan.

“Bila pegawai ‘incharge’ akan memasukkan butiran mengenai resit yang digunakan ke dalam sistem komputer bagi tujuan pengauditan, mereka akan rujuk salinan pendua resit yang ada pada buku resit berkenaan,” katanya.

Disoal Julia apakah prosedur yang dilakukan oleh bahagian pengurusan kewangan jika UMNO menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, Farahdzilah berkata: “Sekiranya UMNO menerima sumbangan daripada mana-mana pihak, kebiasaannya ibu pejabat akan keluarkan resit dan resit asal akan diberi kepada pemberi manakala salinan kedua dan ketiga disimpan di dalam buku resit rasmi”.

Menjawab soalan peguam Datuk Tan Hock Chuan, yang mewakili Tengku Adnan, saksi pendakwaan ke-21 itu bersetuju bahawa buku resit rasmi UMNO digunakan secara rawak dan tidak teratur.

Pada 16 Julai lepas, Chai dalam keterangannya di mahkamah mengesahkan pembayaran cek RM2 juta kepada Tengku Adnan adalah untuk dana politik.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tengku Adnan dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tangkap dalang sindiket Macau Scam

SHAH ALAM, 31 JUL : Polis berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang warga Taiwan yang merupakan ketua sindiket Macau Scam dalam serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dua minggu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ACP Fazlisyam Abd Majid berkata ketua sindiket berusia 26 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur pada 17 Julai lepas selepas terlibat dengan penipuan seorang doktor membabitkan kerugian sebanyak RM270,000 di Sungai Buloh.

Beliau berkata, penahanan itu adalah susulan soal siasat terhadap tiga lelaki tempatan berusia 24 hingga 32 tahun yang ditahan pada 16 Julai lepas selepas dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek ini mencari akaun bank individu lain dengan membayar RM200 ke RM400 sebagai upah untuk membuka akaun mereka.”

“Suspek (warga tempatan) ini juga bertanggungjawab menjual kad ATM individu lain kepada warga Taiwan yang dipercayai datang ke negara ini sebulan sekali bagi mengambil kad yang dijual kepadanya. Akaun bank berkenaan digunakan sebagai medium menerima wang yang ditipu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Fazlisyam berkata, pihaknya turut merampas beberapa kad ATM, telefon bimbit dan komputer riba daripada ketiga-tiga suspek warta tempatan itu.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Fazlisyam berkata, sebanyak 187 kes penipuan atas talian sepanjang tahun 2019 membabitkan lebih RM15 Juta berlaku di negeri ini.

Beliau berkata, sepanjang dua minggu ini, pihaknya sudah mengenal pasti 75 individu yang didapati menggunakan akaun bank mereka untuk tujuan penipuan dan 34 darinya sudah didakwa di mahkamah.

Fazlisyam juga menasihatkan orang ramai supaya tidak menjual atau memberi pinjam akaun bank kepada individu yang tidak dikenali kerana ia adalah satu kesalahan. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemandu Grab sambilan hadapi 11 tuduhan perdagangkan wanita

KUALA LUMPUR, 31 JUL: Seorang pemandu Grab sambilan mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini, atas 11 pertuduhan memperdagangkan 10 wanita warga Bangladesh dan seorang wanita warga India bagi maksud eksploitasi seks.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Soo Lian, 40, bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa memperdagangkan tujuh warga Bangladesh dan seorang warga India berumur antara 19 dan 31 tahun bagi maksud eksploitasi seks di sebuah premis di Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi di sini pada 10.40 pagi, 4 Julai lepas.

Di hadapan Hakim Azman Ahmad, lelaki itu bersama seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan perbuatan sama terhadap tiga lagi wanita warga Bangladesh berumur antara 20 dan 37 tahun bagi tujuan sama pada tempat, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Azura, Timbalan Pendakwa Raya S.Kirubini tidak menawarkan sebarang jaminan namun jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihaknya mencadangkan jumlah jaminan tinggi memandangkan kesalahan dilakukan adalah serius yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun jika tertuduh disabitkan bersalah.

Peguam Tan Kian Peng, yang mewakili Soo memohon jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis selain dia perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya melapor diri di balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.

Di hadapan Azman, Tan memohon supaya mahkamah mengguna pakai jaminan sama (RM50,000) bagi ketiga-tiga pertuduhan dihadapi anak guamnya dan permohonan peguam itu dibenarkan serta tarikh sama (15 Ogos) ditetapkan untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA