Categories
AGENDA JENAYAH

Polis nafi tahan pasangan edar risalah agama Kristian

SHAH ALAM, 30 JUL : Polis menafikan telah menahan pasangan suami isteri yang disyaki mengedar risalah berkaitan ajaran agama Kristian di Klinik Kesihatan Bukit Kuda, Klang dekat sini, semalam, sebagaimana yang ditularkan oleh media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata polis hanya mengambil keterangan daripada kedua-dua pasangan berusia lingkungan 70-an itu selepas menerima aduan daripada orang ramai pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya mendapati pasangan itu merupakan penganut agama Kristian dan mereka tidak mengetahui bahawa tindakan mengedarkan risalah agama lain kepada penganut agama Islam adalah salah di sisi undang-undang.

“Pasangan itu mendakwa risalah itu tidak akan diberikan sekiranya seseorang itu menolak dan mereka juga memberitahu bahawa tujuan mereka mengedar risalah itu adalah sebagai mengucapkan rasa syukur kepada Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nurulhuda siasatan lanjut pihaknya mendapati, pasangan itu bertindak mengedarkan risalah berkenaan atas kapasiti peribadi dan bukan dibelakangi oleh mana-mana pihak, dan mereka memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh siasatan dijalankan dan telah dinasihati agar tidak mengulangi perbuatan itu.

Terdahulu tular satu maklumat di media sosial semalam mengenai kononnya polis menahan seorang wanita mubaligh Kristian yang berumur lingkungan 60an kerana mengedar risalah agama kepada orang ramai termasuk mereka yang beragama Islam di klinik kesihatan berkenaan. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pengurus lelaki ditahan cabul tiga wanita semasa temu duga

IPOH, 30 JUL : Polis menahan seorang pengurus syarikat kerana dikaitkan dengan tuduhan mencabul tiga wanita di sebuah pejabat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Medan Gopeng Jalan Raja Dr Nazrin Shah di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Supt Mazuki Mat berkata ketiga-tiga kejadian berlaku pada 7.45 pagi, 12.30 tengah hari dan 4.30 petang semalam ketika semua mangsa yang berumur 20 tahun hadir ke pejabat itu untuk temu duga sebagai kerani di syarikat tersebut.

“Semasa temu duga dijalankan oleh suspek yang berumur 65 tahun, beliau tidak bertanyakan tentang soalan berkaitan temu duga ataupun berkaitan kerja. Suspek banyak menghabiskan masa menceritakan hal peribadi beliau sahaja.

“Selain itu, suspek juga ada mengambil gambar pengadu semasa temu duga dijalankan, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Marzuki berkata ketiga-tiga wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada 9 malam tadi.

Menurut Marzuki, semua mangsa dalam laporan masing-masing memberitahu suspek bukan sahaja memegang tangan dan bahu mereka, malah turut bertindak mencium pipi selain memeluk dari belakang semasa temu duga dijalankan.

Katanya suspek ditahan anggota Balai Kampung Rapat awal pagi ini dan rakaman percakapan telah diambil namun tiada pengakuan. Selain itu rakaman percakapan saksi yang juga anak suspek turut diambil.

“Saksi itu memberitahu, beliau berada di dalam biliknya semasa kejadian dan bukan di pejabat suspek,” katanya
Menurut Marzuki, suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis nafi muat naik laporan kes rogol babitkan EXCO di Facebook

IPOH, 30 JUL : Polis Perak menafikan status yang dimuat naik dalam facebook kononnya laporan perubatan dan laporan forensik oleh Jabatan Kimia berhubung kes seorang Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya awal bulan ini telah hilang.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain menegaskan, sebenarnya pihak polis masih menunggu laporan tersebut dan kedua-dua dokumen itu tidak hilang.

Katanya tindakan pemilik Facebook 1 Malaysia Tolak DAP yang memuat naik status kononnya laporan forensik kes itu telah hilang adalah tindakan tidak bertanggungjawab.

Katanya status tersebut turut memuat naik kenyataan Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie yang mendesak polis Perak memberi penjelasan.

Menurut Razarudin, kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut merupakan satu fitnah yang mampu mencabar kewibawaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan siasatan dengan telus dan teliti.

Sehubungan itu, katanya satu laporan polis telah dibuat oleh polis Perak hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

“PDRM menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis serta menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik PDRM terutama PDRM Perak,” tegasnya.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.

Sehari selepas laporan dibuat, polis Perak telah menahan Exco berkenaan yang kemudian dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan selesai dalam tempoh 24 jam. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Kingpin antara 18 ahli sindiket dadah ditahan, rampas dadah lebih RM6 juta

SEMENYIH, 29 JUL: Raja Dadah, atau juga dikenali sebagai ‘Kingpin’ adalah antara 18 ahli sindiket dadah yang ditahan dalam beberapa serbuan polis di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Jumaat dan Sabtu lepas, yang turut menyaksikan polis merampas lebih 70 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggar bernilai lebih RM6 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam kes pertama, lima suspek ditahan dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Johor antara pukul 5.10 petang dan 6.20 petang.

Beliau berkata, antara yang ditahan dalam serbuan yang melibatkan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu adalah kingpin berkenaan.

“Semua mereka ini berusia antara 32 dan 48 tahun dan seorang daripada mereka positif dadah. Menerusi lima serbuan itu, pelbagai jenis dadah dirampas termasuk syabu seberat 64.5kg, ketamin seberat 2.7kg dan 77,500 pil ekstasi dengan nilai keseluruhan RM5.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas lima kenderaan mewah, wang tunai pelbagai mata wang dan barang-barang kemas bernilai lebih RM400,000 dalam sebuan itu.

Bagi kes kedua, Mohd Khalil berkata, polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah disyaki ketamin di Melaka dan hasil daripada itu, empat serbuan dijalankan di Kuala Lumpur.

“Kami menahan 13 ahli sindiket warga tempatan berusia antara 19 dan 51 tahun yang terdiri daripada lapan lelaki dan lima wanita. Tiga daripadanya mempunyai rekod jenayah manakala sembilan didapati positif dadah.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin seberat 13.4kg, 57 pil ekstasi dan syabu seberat 592 gram dengan nilai keseluruhan RM836,000,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita tujuh kenderaan, tiga jam tangan berjenama, wang tunai RM3,200 dan pelbagai jenis barang kemas serta barang-barang elektronik bernilai RM320,000. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

2,063 individu ditahan dalam Op Icebreaker

SEMENYIH, 29 JUL: Seramai 2,063 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah, ditahan dalam Op Icebreaker yang bermula tengah malam tadi, yang menggempur 117 sarang penagihan dadah di seluruh negara.

Operasi besar-besaran sehingga 4 Ogos itu adalah dalam fasa pertama, dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran, penyeludupan dan penagihan dadah dalam negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Mohd Kader berkata, kesemua mereka ditahan kerana pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki dan positif dadah.

“Seramai 152 individu didapati mengedar dadah, 407 orang memiliki dadah, 1,392 orang positif dadah, 30 orang mempunyai waran tangkap dan 82 orang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Semenyih di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya syabu (319.56 gram); ketamin (0.9 gram); ganja (77.95 gram); heroin (613.15 gram); dan air ketum (106.97 gram).

Sementara itu, Mohd Khalil menyuarakan harapan agar masyarakat turut memainkan peranan dalam membanteras gejala dadah, dan sehubungan itu pihaknya melancarkan talian hotline yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah.

“Orang ramai boleh menghubungi talian hotline 012 2087222 atau melalui mesej WhatsApp berserta dengan maklumat lengkap bagi melaporkan segala gejala dan aktiviti yang disyaki berkaitan dadah,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Ops Bersepadu: 38 pendatang asing tanpa izin ditahan

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Sebanyak 38 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi bersepadu oleh polis dan pelbagai agensi penguatkuasa di Kampung Sungai Serai, Kuang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, operasi itu dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Operasi bermula pukul 1 pagi dan seramai 135 pendatang telah diperiksa melibatkan 106 lelaki dan 29 wanita.

“Hasil operasi itu, kami menahan 38 pendatang asing tanpa izin termasuk 27 dari Indonesia, 10 dari Bangladesh dan seorang dari Vietnam.

“Mereka termasuk tiga wanita berusia 25 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen1959/63.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki warga India dipercayai bunuh rakan senegara sebelum gantung diri

KEPALA BATAS, 27 JUL: Seorang lelaki warga India dipercayai telah membunuh rakan senegaranya dalam satu pergaduhan sebelum bertindak mengantung diri di kipas siling di rumah sewa mereka di premis rumah kedai di Taman Bertam Ria, di sini hari ini.

Mayat kedua-dua lelaki itu ditemui oleh rakan serumah mereka yang baru balik kerja pada kira-kira pukul 6.00 petang tadi, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada majikannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, polis bergegas ke rumah kedai dua tingkat itu selepas menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 6.45 petang, dan menemui mayat Mubarak Ali, 28, dan Azad Mubarakbhai, 26.

“Mayat Azad ditemui tergantung di kipas siling, dan susulan pemeriksaan lanjut polis menemui kesan darah di bahagian bilik air, yang membawa kepada penemuan satu lagi mayat seorang lagi lelaki,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam ini.

Katanya pemeriksaan pada mayat yang ditemui di dalam bilik air itu mendapati terdapat kesan pergelutan serta tikaman, dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibunuh rakannya semasa bergaduh.

Noorzainy berkata, polis juga menemui sebilah pisau panjang kira-kira 30 sentimeter berlumuran darah berhampiran mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan tergantung itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki yang mempunyai permit kerja itu bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Kepala Batas, dan mereka tinggal di tingkat satu rumah kedai yang disewa sekumpulan pekerja asing yang bekerja di restoran berkenaan.

“Hasil siasatan awal polis mendapati dua lelaki itu pulang ke rumah selepas habis kerja pada pukul 12.30 tengah hari, dan kami tidak menolak kemungkinan mereka bergaduh ketika berada di rumah,” katanya motif kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, mayat mereka dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan kes disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pesara wanita ditipu RM123,500 oleh ‘pegawai Bank Negara’

KUANTAN, 27 JUL: Seorang pesara wanita kehilangan kesemua wang simpanannya berjumlah RM123,500 dalam tempoh seminggu, selepas mendakwa diperdayakan oleh seseorang yang mengaku sebagai ‘pegawai Bank Negara’, sejak April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an mendakwa dihubungi suspek lelaki kononnya ‘pegawai polis’ dari Bukit Aman pada 24 April lalu.

Suspek mendakwa nama mangsa dikaitkan dengan sindiket judi haram dan perlu bercakap dengan ‘wakil’ Bank Negara dikenali sebagai Razak bagi membantu siasatan.

“Razak didakwa telah mengarahkan mangsa untuk memindahkan semua wang simpanannya di tiga bank termasuk simpanan Tabung Haji ke akaun sementara yang dibuka Bank Negara supaya wang itu tidak dirampas dalam siasatan.

“Mangsa yang bimbang akan kehilangan duitnya telah melakukan 24 transaksi pemindahan wang dari 26 April hingga 2 Mei lalu ke empat akaun yang diberikan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir menambah mangsa menyedari ditipu selepas gagal menghubungi Razak, namun hanya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam, kerana masih berharap akan menerima panggilan daripada Razak.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata, seorang guru, 43, mendakwa kerugian RM2,200 selepas menyertai pelaburan tidak wujud yang mencari mangsa di laman sosial, sejak 2 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa mendakwa berminat untuk menyertai pakej pelaburan berjumlah RM700, yang dibayar menerusi transaksi perbankan online pada 20 Julai lalu, sebelum diarahkan membuat bayaran tambahan, kononnya sebagai yuran pelaburan.

“Mangsa mendakwa sekali lagi dihubungi wakil syarikat itu semalam, meminta dia memasukkan wang kerana pelaburan itu akan dikenakan yuran antarabangsa kerana melibatkan transaksi kewangan luar negara.

“Bagaimanapun mangsa berasa ditipu selepas mendapati nombor telefonnya disekat oleh wakil syarikat itu selepas tidak menunaikan permintaan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di IPD Lipis dekat sini, semalam. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis berkas suami isteri disyaki terlibat kes samun

KEPALA BATAS, 26 JUL : Polis menahan pasangan suami isteri semalam kerana disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun dan pecah kedai di sekitar daerah Seberang Perai Utara dan Padang Serai, Kedah sejak tiga bulan lepas.

Ketua Polis Daerah SPU, ACP Noorzainy Mohd Noor berkata suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu ditahan dalam sebuah bilik sewa rumah tumpangan di Kulim, Kedah kira-kira 11 pagi hasil risikan dan intipan sejak seminggu lepas.

Katanya susulan penahan pasangan itu, polis merampas 97 utas rantai tangan, 198 bentuk cincin dan 25 bentuk loket warna kekuningan disyaki emas Korea, 53 bentuk cincin berwarna putih serta 40 utas jam tangan dan 32 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Siasatan kami mendapati semua barangan dirampas bernilai RM30,000 itu adalah hasil kegiatan pecah kedai barangan emas Korea dan kedai telefon bimbit yang belum sempat mereka jual kepada pembeli,” katanya di sini.

Selain itu, polis turut merampas beberapa peralatan dipercayai yang digunakan untuk melakukan kegiatan pecah kedai antaranya kuku kambing, pemutar skru, spanar, pemotong wayar, tiga unit topi keledar dan sebuah motosikal jenama SYM.

Beliau berkata ujian air kencing mendapati pasangan berkenaan positif dadah dan mereka yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Peniaga kain dituduh bakar kereta Mufti Perlis

KANGAR, 26 JUL: Peniaga kain dari Baling, Ahmad Mee atau lebih dikenali sebagai Mee Tomoi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan khianat membakar kereta rasmi Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada 22 Mac lepas.

Mee Tomoi, 49, didakwa melakukan perbuatan itu bersama Mohd Azimar Abdul Razak, 36, di kediaman rasmi Mufti tersebut di sini kira-kira pukul 5 pagi.

Tertuduh meminta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mohd Azimar yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen pada 24 Mei lepas bagi tuduhan membakar kereta rasmi Mohd Asri juga mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali mengendalikan pendakwaan manakala peguam Yayasan Biro Bantuan Guaman, Nur Dyiana Syukur bertindak bagi pihak Mee Tomoi.

Dalam rayuan kepada mahkamah supaya mengurangkan ikat jamin, Nur Dyiana berkata anak guamnya itu menanggung seorang isteri serta ibunya yang lumpuh berumur 66 tahun dan bapa tiri berumur 70 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Ainul Shahrin Mohamad membenarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 5 Ogos depan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Penjenayah miliki 21 rekod lampau ditahan samun warga asing

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Dua lelaki yang masing-masing mempunyai 21 dan 19 rekod jenayah ditahan polis, kerana disyaki terbabit dalam kes ragut di hadapan sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, di sini Rabu lepas.

Kedua-dua lelaki terbabit, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 pagi semalam, di kawasan Bandar Tun Razak, di sini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, dalam kejadian samun pada pukul 3.40 petang Rabu itu, dua lelaki menaiki motosikal menghampiri seorang wanita warga China dan seorang daripada lelaki terbabit menarik beg tangan wanita itu.

Beliau berkata antara barang yang dilaporkan hilang termasuklah pasport, telefon bimbit, gelang tangan perak dan wang tunai berjumlah RM4,000.

“Pemeriksaan polis terhadap kedua-dua lelaki terbabit menemui lapan paket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine, lima telefon bimbit dan beberapa peralatan yang dipercayai diguna untuk kegiatan mencuri motosikal,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata ujian saringan awal kencing yang dijalankan mendapati, kedua-dua lelaki terbabit positif dadah dan direman tujuh hari mulai hari ini. – BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Empat individu ditahan bantu siasatan kes bunuh

NILAI, 26 JUL : Polis menahan empat individu berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun hari ini bagi membantu siasatan kes kematian sepasang suami isteri warga emas dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Melati di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan di sini berkata kesemua mereka ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai selepas dipanggil untuk memberi keterangan di IPD berkenaan.

Katanya, susulan itu, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bermula hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dilapor sebagai berkata sepasang suami isteri warga emas ditemukan mati dalam kebakaran pada pukul 10.45 malam di Taman Desa Melati di sini.

Mohamad berkata siasatan awal terhadap kedua-dua mangsa yang telah tinggal selama 10 tahun di situ turut mendapati terdapat kesan tikaman dan kelar pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA