Categories
AGENDA NASIONAL

PGA tahan tekong darat, 60 pendatang asing sembunyi dalam semak

SHAH ALAM, 6 NOV: Penahanan seorang tekong darat warga tempatan membongkar kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin menerusi Op Benteng Covid-19 di Kampung Sungai Janggut, Kuala Selangor semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rizal Mohamed berkata lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 5 pagi.

Susulan itu pihaknya berjaya mengesan 60 pendatang asing tanpa izin terdiri daripada 38 lelaki dan 22 wanita berusia lingkungan 16 hingga 51 tahun yang bersembunyi di kawasan semak.

“Kesemua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah dan ditahan untuk tindakan lanjut.

“Mereka dipercayai baru tiba ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata, operasi yang turut dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor itu turut merampas sebuah kenderaan, dua unit telefon bimbit serta wang tunai RM147 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM61,400.

Katanya semua tangkapan akan menjalani ujan saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus dalam kalangan pesalah dan juga petugas polis.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis pantau Pulau Ketam, sekat pendatang asing

SHAH ALAM, 1 JULAI: Polis Selangor memantau rapi Pulau Ketam dari diceroboh pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Op Benteng sejak 21 Jun lalu.

Dalam kenyataan, agensi itu memaklumkan ia akan dipertingkatkan bagi mengekang kumpulan berkenaan memasuki negara ini menggunakan jalan tikus serta mengawal ketat sempadan negara terutamanya sepanjang perairan negeri ini.

“Operasi dijalankan juga bertujuan untuk menyekat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Selangor, Dato’ Arjunaidi Mohamed turut membuat rondaan di Pulau Ketam serta tinjauan di sekitar kawasan perairan negeri.

Turut sama Ketua Polis Balai Pulau Ketam, Sarjan Mohd Hadi Silvaraju Abdullah; Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Selangor, Asisten Komisioner Zakaria Ismail dan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.

Op Benteng dilaksanakan di pulau terbabit bagi memastikan tiada individu menjalankan aktiviti penyeludupan warga asing sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Pada 3 Mei lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak membenarkan Pati bergerak bebas di negara ini.

Categories
AGENDA JENAYAH

Ops Bersepadu: 38 pendatang asing tanpa izin ditahan

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Sebanyak 38 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam operasi bersepadu oleh polis dan pelbagai agensi penguatkuasa di Kampung Sungai Serai, Kuang, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Shafa’aton Abu Bakar berkata, operasi itu dijalankan oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh dengan kerjasama Jabatan Imigresen Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Operasi bermula pukul 1 pagi dan seramai 135 pendatang telah diperiksa melibatkan 106 lelaki dan 29 wanita.

“Hasil operasi itu, kami menahan 38 pendatang asing tanpa izin termasuk 27 dari Indonesia, 10 dari Bangladesh dan seorang dari Vietnam.

“Mereka termasuk tiga wanita berusia 25 hingga 50 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen1959/63.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

25 PATI ditahan di Port Dickson

PORT DICKSON, 21 FEB: Sekurang-kurangnya 25 pendatang asing tanpa izin ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di sebuah kawasan perumahan di Lukut, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mereka yang ditahan termasuk 18 lelaki warganegara Indonesia dan Bangladesh, lima wanita dan dua kanak-kanak warga Indonesia.

Katanya, mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

“Operasi juga adalah bertujuan mengurangkan ‘fear of crime’ (ketakutan kepada jenayah) dalam kalangan masyarakat terutama di Port Dickson, di samping memastikan kejadian jenayah dapat dibendung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Operasi selama lima jam bermula 9 malam oleh 33 pegawai kanan dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson itu turut disertai beberapa anggota dan pegawai dari Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja.

“Pada operasi berkenaan, secara keseluruhan kita telah memeriksa seramai 39 orang warga asing.

“Operasi bersepadu itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah berkenaan aman dan sejahtera,” katanya.

– BERNAMA