Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Morib Beach Ultimate Frishbee, rancak pelancongan sukan MDKL

OLEH ERMIZI MUHAMAD

MORIB, 19 MAC: Penganjuran Program Morib Beach Ultimate Frishbee diyakini mampu menyuntik semangat kesukanan generasi muda di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Yassin Alwi berkata, program anjuran sepenuhnya MDKL dengan kerjasama Tourism Selangor itu diwujudkan bagi memperkenalkan Kuala Langat sebagai daerah destinasi pelancongan sukan di Selangor.

“Program ini pada dasarnya adalah usaha daripada MDKL bagi meningkatkan serta memberi galakan supaya masyarakat menyertai aktiviti sihat.

“Sasaran kita pada awalnya terbuka kepada semua lapisan umur tetapi keutamaannya kepada golongan muda.

“Sukan ini menariknya kita jalankan di pantai pasir dengan persekitaran yang lebih mencabar dan ini menjadi tarikan terbaru kepada MDKL secara amnya juga kepada negeri Selangor,” katanya.

IMG_20170318_192007_559Beliau ditemui SelangorKini selepas hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang program di Dataran Pantai Morib, semalam.

Penyertaan kejohanan julung kalinya ini turut mendapat sambutan baik daripada lebih 10 kumpulan mewakili pelbagai institusi pendidikan seluruh negeri.

Dalam perkembangan itu, pasukan Nest Universiti Teknologi Mara (UiTM Perlis) dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Senior Beach Ultimate Men’s Open 2017 dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000.00 berserta medal.

Pasukan AUE Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam berada di kedudukan kedua dengan membawa wang tunai sebanyak RM700.00 dan medal.

Pasukan TURF juga mewakili Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam) di kedudukan ketiga, membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 dan medal.

Sementara bagi kategori Bons Ultimate Mix’s, pasukan Lycans Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam) berada di kedudukan pertamadan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 dan medal.

Pasukan Pirates Universiti Teknologi Mara (UiTM Shah Alam berjaya di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM300.00 dan medal serta Ulti Mustang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM Gombak) berada di kedudukan ketiga dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00 dan medal.

Pemain Harith Zafry dari kumpulan AUR dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN

AirAsia tawar 3 juta tempat duduk percuma

KUALA LUMPUR 11 MAC: AirAsia menawarkan tiga juta tempatan duduk promosi ke 120 destinasi dengan tambang serendah RM0 sehala, yang tersedia di airasia.com dari 13 hingga 19 Mac, 2017.

Tempoh perjalanan bagi tempat duduk percuma itu bermula 1 Sept, 2017 sehingga 5 Jun, 2018, dengan akses keutamaan promosi dan tempahan untuk ahli AirAsia BIG pada 12 Mac.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata tempahan juga boleh dilakukan secara dalam talian dengan aplikasi mudah alih AirAsia atau menebus penerbangan menerusi airasiabig.com dan aplikasi mudah alih AirAsia BIG.

Ia berkata bagi mereka yang mahu segera melancong, AirAsia juga menawarkan promosi istimewa bagi tempoh perjalanan antara 14 Mac 2017 hingga 31 Ogos 2017 yang boleh ditempah sekarang.

“Menerusi kempen tempat duduk percuma ini, kami mahu penumpang menikmati penawaran kami yang membolehkan mereka menempah penerbangan lebih awal dan menikmati tawaran terbaik.

“Kami sentiasa berusaha menghubungkan pengguna ke destinasi baharu dan menarik seperti pelancaran penerbangan ke Luang Prabang, Laos, Bhubaneswar, India dan Honolulu, Amerika Syarikat baru-baru ini,” kata Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia Siegtraund Teh.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Jalin kerjasama China – India, tingkat promosi pelancongan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 5 MAC : Tourism Selangor giat melaksanakan pelan kerjasama rentas negara antara China dan India sebagai inisiatif mempromosikan produk pelancongan negeri.

Pengarah Urusan Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, ia turut melibatkan penglibatan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia dan Malindo Air.

“Perancangannya kita akan mejemput wakil-wakil media, organisasi pelancongan, agensi pelancongan dari China dan India untuk datang ke Selangor dan merasai sendiri percutian pelancongan di Selangor.

“Komitmen ini turut mendapat kerjasama syarikat penerbangan Malindo Air dan Air Asia yang akan membawa mereka ke Selangor bagi tempoh perancangan sepanjang 2017 ini.

“Usaha ini diharap dapat diterjemahkan mereka kepada kalangan warga China dan India terhadap keindahan dan keunikkan destinasi pelancongan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini pada program Malaysia Women Marathon (MWM) di perkarangan Stadium Shah Alam, hari ini.

Ini bukan pertama kalinya Tourism Selangor menjalankan kerjasama serantau bagi menarik lebih ramai pelancong luar negara melancong ke Selangor.

Terdahulu Memorandum Persefahaman (MOU) antara Tourism Selangor dan Syarikat Penerbangan, Fire Fly turut dijalankan bagi menarik kedatangan pelancong dari Singapura.

Persefahaman itu turut menyaksikan, imej pelancongan negeri dipaparkan di beberapa unit kapal terbang Fire Fly menghubungkan destinasi Lapangan Terbang Subang dan Singapura.

Tidak terhenti setakat itu, Tourism Selangor mewujudkan inisiatif penganjuran program Klang Art Festival yang bakal berlangsung September 2017 dengan mengetengahkan produk berkonsepkan warisan, kesenian dan budaya.

Mengulas lanjut, Noorul Ashikin optimis inisiatif berterusan itu mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari dalam dan luar dengan sasaran 7.4 juta bagi 2017.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Isu buaya Sungai Klang, MPK optimis tingkat pelancongan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KLANG, 12 FEB : Isu viral kemunculan buaya di Sungai Klang mampu menjadi daya tarikan terbaru kepada industri pelancongan negeri, kata Majlis Perbandaran Klang (MPk).

Yang Dipertuanya, Dato’ Yasid Bidin berkata, tarikan tersebut membuka peluang kepada orang awam untuk berkunjung ke Selangor – sempena Tahun Melawat Klang, 2017.

“Kami menganggap ini sebagai peluang baik kerana isu ini mampu dijadikan daya penarik kepada daerah Klang.

“Lebih-lebih lagi tahun ini merupakan tahun melawat Klang,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Thaiponggal peringkat Selangor, di Taman Sentosa malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rakaman video menunjukkan kemunculan buaya di Sungai Klang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Terdahulu, industri pelancongan membabitkan habitat buaya di Malaysia bukanlah sesuatu mengejutkan.

Umumnya, negara ini dikenali dengan habitat reptilia itu di Sungai Kinabatangan Sabah, Sungai Gadoh dan Sungai Rejang Sarawak.

Malah, habitat haiwan ini juga turut menjadi tarikan kepada penyelidik dari dalam dan luar negara menjalankan kajian membabitkan reptilia itu.

Sebelum ini, dilaporkan tular di media sosial kemunculan buaya sepanjang dua meter di Sungai Klang tidak jauh dari Jambatan Kota.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN

Prospek industri pelancongan perubatan cerah dan positif

KUALA LUMPUR 9 FEB: Prospek industri pelancongan perubatan Malaysia dijangka positif dalam jangka masa panjang dengan permintaan meningkat bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan di peringkat tempatan dan luar negara, terutama daripada golongan yang semakin berkemampuan dan berusia susulan harga yang berpatutan.

Penganalisis Ekuiti Penyelidikan Malaysian Industrial Development Finance (MIDF), Athila Razali, berkata kebanyakan rawatan, seperti kardiovaskular dan gastrousus bahagian atas dan bawah, adalah lebih mahal di luar negara berbanding di Malaysia.

Beliau berkata, negara jiran Indonesia dan Singapura, membentuk jumlah terbesar pelancong perubatan, dengan industri itu turut menyaksikan peningkatan aliran dari Asia Barat dan negara Barat lain.

“Malaysia, dengan kepakaran perubatan yang meningkat dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan, turut menyaksikan minat yang meningkat dalam kesihatan dan rawatan pencegahan penyakit dari negara dengan kapasiti perbelanjaan yang tinggi,” katanya lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, Athila berkata, pelancongan perubatan masih penyumbang kecil kepada ekonomi Malaysia, berdasarkan angka daripada Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC).

Pada 2015, perolehan yang dijana daripada pelancongan perubatan adalah sebanyak RM1 bilion, disumbang lebih 850,000 pelancong perubatan ke Malaysia dan kerajaan mensasarkan peningkatan kepada RM1.3 bilion.

“Kami berpendapat walaupun sumbangannya kecil pada masa ini, ia akan meningkat, terutama dengan tambahan hospital swasta baharu di seluruh negara yang menyediakan pelbagai kepakaran perubatan dan sokongan,” katanya.

MIDF berkata, keadaan mata wang semasa turut menjadikan Malaysia destinasi pelancongan perubatan yang lebih menarik disebabkan ia menjadi semakin mampu milik untuk mendapatkan rawatan di sini.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

SWELL lonjak Selangor destinasi tersohor pelancongan kesihatan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 FEB: Ekspo Kesihatan Selangor (Selangor Wellness Expo-SWELL) diyakini mampu melonjak potensi negeri itu sebagai salah satu destinasi tersohor pelancongan kesihatan di rantau ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Selangor kini berada di tangga ketiga di belakang Pulau Pinang dan Melaka, dari segi kedudukan rating negeri pelancongan kesihatan di Malaysia.

Katanya, Kerajaan Negeri bagaimanapun yakin Selangor mampu menyaingi kedua-dua negeri terbabit dalam beberapa tahun akan datang.

“Mereka sudah mula dengan agenda ini sejak 30 tahun lalu, dan kita baru sahaja bermula dalam dua atau tiga tahun lepas. Sebab itu kita agak ketinggalan jauh.

“Tetapi, dengan kedudukan dan status Selangor pada hari ini, saya percaya kita juga mampu sebaris mereka,” katanya pada sidang media SWELL di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) di sini, hari ini.

Dianjurkan Tourism Selangor, ekspo berkenaan dijadual bermula pada 24 hingga 26 Februari 2017, di SACC.

Pada 2016, SWELL menampilkan lebih 50 pempamer dan 14 pakar kesihatan.

“Lebih 2,000 mengunjungi SWELL pada tahun sebelum ini, dan kita sasarkan pengunjung bakal mencecah 6,000 pada 2017.

“Kali ini terdapat 75 pempamer dan 22 penceramah yang bakal membincangkan topik kesihatan sepanjang tiga hari ekspo,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN

Pelbagai program menarik sempena Tahun Melawat Klang 2017

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 6 FEB: Bandar Diraja Klang bersedia menyambut kedatangan pelancong dengan menyediakan pelbagai program menarik sepanjang Tahun Melawat Klang 2017 berlangsung selain memiliki pelbagai destinasi menarik untuk dilawati.

teng01Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, antara destinasi menarik yang boleh dikunjungi adalah Istana Alam Shah dan Royal Klang Heritage Walk.

“Tahun 2017 adalah tahun melawat Klang membabitkan kerjasama Majlis Perbandaran Klang dengan Tourism Malaysia yang mengambil inisiatif untuk meningkatkan dan menperkenalkan produk pelancongan yang ada di daerah Klang bagi menarik lebih ramai pelancong dalam juga luar negara ke daerah ini.

“Klang antara penempatan tertua di Tanah Melayu mempunyai sejarah penting yang perlu dipelihara dan diketengahkan termasuk kegemilangan sejarah bandar itu sebagai bandar warisan yang turut diperkenalkan sebagai bandar diraja serta mempunyai peninggalan sejarah apabila masih mengekalkan bangunan warisan lama,” kata Chang Khim.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Rumah Terbukan Tahun Baru Cina 2017 di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, pada 5 Februari lalu.

Katanya, antara program yang sudah diatur sepanjang tahun ini adalah Jom Berkelah di Klang, We Love Klang Tresure Hunt, Lawatan ke Pulau Ketam, Pertandingan Memancing Selat Tirai di Tanjung Harapan, Klang Art Festival, Pertandingan Fotografi di Jambatan Kota, Kayuhan Basikal Klasik dan We Love Klang Food Festival.

-NFN-

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Taman Alam Kuala Selangor sedia khidmat pusat sumber

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 25 JAN: Taman Alam Kuala Selangor kini menawarkan Pusat Sumber pertama seumpamanya untuk orang awam menelaah atau mengkaji mengenai tanah lembap.

Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan berkata, ia menawarkan pelbagai jenis bahan bacaan termasuk buku, majalah dan jurnal berkaitan sebagai rujukan pengunjung.

Katanya, pusat sumber itu juga menyediakan komputer untuk kemudahan carian internet serta ruang membaca kondusif dan berhawa dingin.

“Bila kita lihat ada ruang milik Persatuan Pencinta Alam (Malaysian Nature Society-MNS) di sini, kita mula usaha dan realisasi hasrat untuk menjadikannya sebagai pusat sumber.

“Dalam tempoh tiga bulan, bermula dari cetusan idea saya, kita mula mencari dana dan akhirnya persiapan fizikal disempurnakan dalam tempoh kurang satu bulan,” katanya.

MDKSTerdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2017 dan Perasmian Pusat Sumber Taman Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden MNS, Henry Goh, ahli majlis MDKS serta kira-kira 200 pelajar sekolah sekitar Kuala Selangor.

Noraini berkata, dana mewujudkan pusat sumber berkenaan diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk sumbangan MDKS berjumlah RM10,000.

“Kita juga menjalankan usahasama dengan pelukis yang menjual hasil lukisan berasaskan alam dan tanah lembap dengan hasil jualan dibahagi sama rata dan kita berjaya peroleh RM30,000.

“Sumber lain termasuk tajaan pemaju seperti IJM Land, Eco World, MKH Berhad dan kilang getah KOSSAN yang digunakan bagi menampung ‘initial cost’ berjumlah kurang RM55,000,” katanya.

Taman Alam dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dengan bayaran kemasukan RM3 seorang dan kemudahan Pusat Sumber adalah percuma dengan setiap kemasukan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

MB sertai kayuhan santai promosi Pulau Indah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyertai kayuhan santai bersama 30 penunggang basikal anjuran Central Spectrum bagi mempromosikan Pulau Indah.

Azmin Basikal (4)Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum, Mahmud Abbas berkata, program kayuhan yang diadakan pada 13 Januari itu adalah persiapan Dato’ Menteri Besar membina stamina, di samping melawat kawasan Pulau Indah bagi program Pulau Indah 180 Malaysia 2017 yang akan diadakan esok.

“Ia adalah salah satu aktiviti riadah bersama 30 penunggang basikal dari Central Spectrum dan Menteri Besar Incorporated (MBI), di samping mempromosi Pulau Indah 180 selain sebagai aktiviti ‘warm up’ kerana beliau akan turut serta dalam perlumbaan esok yang akan bermula seawal jam 7.30 pagi.

“Dato’ Menteri Besar juga berasa teruja untuk menyertai kayuhan esok dan berharap stamina juga ‘fitness’ beliau dalam keadaan bersedia,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Difahamkan, 1500 pelumba basikal dari 36 negara akan menyertai kayuhan di Pulau Indah 180 Malaysia 2017 esok dengan jarak sejauh 180 kilometer.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Selangor Fruit Valley jana industri agro-pelancongan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KEPONG, 7 JAN : Selangor Fruit Valley (SFV) yang sebelum ini dihentikan operasinya bagi proses pemuliharaan bakal dibuka semula secara rasmi Februari ini.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pembukaannya sekali gus diyakini mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan industri agro-pelancongan negeri untuk tempoh 2017.

“Apabila ia dibuka Febuari ini, SFV juga menyediakan tempat memproses madu kelulut yang diusahakan usahawan tani muda yang dilatih menerusi program Agrogems (Pertanian Agro Generasi Muda).

“Pengunjung boleh mengambil peluang ini untuk merasai kemanisan dan keaslian produk madu kelulut yang dihasilkan sendiri usahawan tani tempatan,” katanya.

SelangorKini dimaklumkan, SFV bakal dirasmikan sendiri Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali penghujung Februari ini.

SFV dikenali masyarakat setempat sebagai dusun buah-buahan yang terletak di Rawang dan menjadi antara pusat tanaman buah-buahan tropika terbesar di Malaysia.

Kawasan berkeluasan 1,000 ekar itu sebelum ini turut mendapat perhatian Negara China untuk mengadakan kerjasama ekonomi dalam bidang pertanian bersama Selangor.

Ia susulan rangka kerja delegasi International Oversea Retrunees Promotion Association of Lianing China yang diberi peluang melihat sendiri perkembangan sektor pertanian negeri di SFV, Ogos lalu.

Pembangunan SFV di kawal selia di bawah pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

=EZY

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Pelancong ke Selangor 2016 meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JAN: Kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak membawa signifikan kepada pertambahan kedatangan pelancong ke Selangor,pada tahun 2016.

elizabeth-wongExco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, ia dapat dilihat apabila tiada peningkatan mendadak kedatangan pelancong dari Singapura walaupun jurang nilai ringgit dan dolar Singapura semakin melebar.

“Biasanya pelancong luar negara akan membuat tempahan awal lama sebelum mereka melancong.

“Kita dah dimaklumkan ada peningkatan kedatangan pelancong ke Selangor tahun lalu, berbanding 2015.

“Bagaimapun, kita dapati kejatuhan nilai ringgit bukan faktornya kerana tiada peningkatan mendadak pelancong Singpura walaupun jurang ringgit Malaysia berbanding dolar Singapura semakin besar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, angka sebenar kehadiran pelancong ke Selangor tahun lalu hanya akan diketahui, pada Mac ini.

Katanya, selain Singapura, di negara Asia Tenggara lain secara amnya juga mengalami perkara sama walaupun matawang masing-masing turut menyusut berbanding dolar AS.

Beliau berkata, secara umumnya selain pelancong asing kehadiran pelancong tempatan turut banyak menyumbang kepada peningkatan sektor pelancongan di negeri itu.

-NFN-

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Jambatan Kota pusat tarikan pelancong kesenian

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Dalam usaha memulihkan persekitaran Sungai Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Kelab Warisan Sungai Klang mengadakan program ‘Revive Klang River’ dengan mengetengahkan seni jalanan untuk tarikan pelancongan.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, MPK menerima tajaan sebanyak RM100,000 daripada 99 Speedmart bagi MPK bersama Kelab Warisan Sungai Klang dan Street Art menceriakan lagi bandaraya Klang dengan pelbagai aktiviti sepanjang 2017.

“99Speedmart meluluskan tajaan RM500,000 dan baru-baru ini kita telah menerima wang tunai RM100,000 untuk MPK memulakan program pembangunan.

street“Sebanyak RM30,000 diperuntukkan bagi memulih Jambatan kota dengan mengetengahkan ukiran lukisan graviti pada dinding di bawah jambatan dengan menggambarkan bangunan lama serta sejarah bandar Klang daripada awal pertubuhannya,” katanya ketika Program ‘Revive Klang River’, baru-baru ini.

Seramai 200 pelukis bebas serta pelajar kesenian daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) hadir menyertai pertandingan melukis pada hari tersebut.

Yasid berkata sepanjang jambatan kota itu juga turut diadakan pameran lukisan daripada pelajar UiTM dan pelukis profesional yang dibawa pertubuhan Street Art untuk menghidupkan suasan kawasan itu.

=EZY=